SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Selasa, 28 Oktober 2014

Dr Harun Din singkap sejarah kekejaman umno kepada PAS

Datuk, mengapa PAS bertahaluf dengan DAP? Tidakkah DAP itu kafir? Mengapa PAS tidak bertahaluf dengan Umno?

Umno jelas Islam, mana lebih baik bertahaluf sesama Islam atau bartahaluf dengan orang kafir? Penjelasan ini amat perlu khususnya dalam keadaan gawat seperti sekarang ini yang ditunjukkan oleh keputusan PRU13 yang boleh merugikan Islam.

Abdul Quddus Abdul Mukmin, Padang Jawa, Klang, Selangor.

PERKARA pertama yang perlu anda tahu dan faham, bahawa tahaluf itu adalah sesuatu yang diharuskan oleh hukum syara’ dengan syaratsyaratnya. Apa yang dilakukan oleh PAS dalam isu tahaluf dengan DAP, sebenarnya tidak bercanggah dengan syarat-syarat syarak.

Kedua tahaluf yang dilakukan bersama orang kafir, akan tetapi jika sesama Islam tidak pula dinamakan dengan tahaluf. Kerana asasnya umat Islam adalah bersatu pada asalnya, kerana umat Islam perlu bersatu dan tidak boleh berpecah-belah.

Ketiga, Rasulullah s.a.w. pernah bertahaluf dengan Yahudi Madinah apabila kabilah-kabilah Arab Musyrikin Makkah membuat onar dan menimbulkan penindasan dan kezaliman terhadap Rasulullah dan juga Yahudi, maka apa yang dilakukan oleh Rasulullah untuk bertahaluf menghadapi kezaliman Musyrikin adalah diharuskan.

Keempat, banyak kali berlaku pada Rasulullah s.a.w. bermuamalah dengan orang kafir sedangkan baginda boleh bermuamalah dengan orang Islam, contohnya ketika Rasulullah hendak berhijrah ke Madinah, baginda bermuamalah dengan Abdullah bin Uraiqit iaitu seorang musyrik, sedangkan pada waktu itu ramai lagi orang Islam yang boleh Rasulullah bermuamalah dengan mereka.

Begitu juga Rasulullah pernah bermuamalah dengan seorang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya kepada Yahudi itu untuk mengambil bahan makanan bagi keluarganya.

Persoalannya di sini, mengapa dengan Yahudi Nabi bermuamalah? Mengapa tidak dengan orang Islam? Kalau dengan orang Islam, mungkin Nabi tidak perlu menggadai baju besinya atau tidak perlu membeli atau berhutang, mungkin orang Islam akan memberi sebagai satu hibah (pemberian) secara percuma kepada Nabi.

Namun demikian, Nabi meninggalkan orang Islam dan bermuamalah dengan orang Yahudi. Mengapa berlaku demikian? Kerana hendak menyatakan ada ketika-ketikanya dengan sebab-sebab tertentu umat Islam diharuskan bermuamalah atau bertahaluf dengan orang kafir dan tidak dengan orang-orang Islam.

Kelima, PAS pernah memasuki Pakatan Barisan Nasional dengan Umno pasca tragedi 13 Mei 1969, dengannya terselamat Umno daripada tumbang atas gelombang rakyat menolak Umno – Perikatan ketika itu. Dengan penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional (menggantikan Perikatan) ketika itu, maka selamatlah Umno, maka kuat semula Umno dan tegak semula BN.

Maka ia terselamat daripada tumbang dan ditumbangkan oleh rakyat. Selepas Umno kuat semula dan merasakan PAS tidak diperlukan, maka Umno memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN.

Banyak pihak yang mengetahuinya, maka PAS ditendang daripada BN, kesannya PAS berpecah dan bercelaru serta banyak ahlinya meninggalkan PAS, ada yang menubuhkan Parti Islam yang perlu menandingi PAS, PAS hampir terkubur ketika itu angkara perbuatan Umno, pengalaman itu amat pahit dan PAS berhempas pulas untuk bangun semula, dan sekarang sudah terbangun.

Sejauh ingatan saya, Umno tidak pernah menyatakan kekesalannya kerana memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN, malah Umno tidak pernah meminta maaf kepada PAS hingga ke hari ini.

Kalau itulah sikap Umno, maka bagaimana orang PAS mahu memikirkan untuk mendampingi Umno semula seperti ada usaha membayangbayangkan isu itu, pengalaman amat pahit itu bagi PAS amat berguna.

Apabila PAS bertahaluf dengan Pakatan Rakyat khasnya dengan DAP, jelas PAS mengaut keuntungan yang ketara hasil daripada keputusan undi dalam PRU13 baru-baru ini, PAS semakin mendapat pertambahan pengundi dan penyokong.

Namun demikian, ramai orang menyedari, bahawa ‘Tahaluf Siayasi’ bukanlah satu perkara yang qat’ie, ini adalah satu hasil ijtihad daripada ahli-ahli PAS yang layak, hasil ijtihad itu diterima pakai dan namun demikian ia tetap terdedah kepada pelbagai kemungkinan, ijtihad boleh kekal selagi tidak ada keperluan untuk menyemaknya seperti timbul masalah.

Ada perkara-perkara penting yang menjadikan ijtihad itu lagho, maka barulah timbul keperluan untuk melihat semula perkara-perkara ijtihad yang lampau, atas dasar itulah persoalan mengapa PAS dan Umno tidak dapat disatukan yang dapat dilihat dari perkaraperkara yang telah saya sebutkan tadi, sekian wassalam.

Bekas Pemandu Artis Didakwa Pecah Amanah

 

Bekas pemandu kepada pelakon Zahida Mohamed Rafiq hari ini didakwa pecah amanah di Mahkamah Sesyen Ampang, selepas polis cuba menahannya ketika memberikan keterangan dalam kes lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lepas.

Noor Azman Azemi, 40, kini seorang pemandu teksi, mohon dibicarakan terhadap pertuduhan pecah amanah berjumlah RM200,000 wang Zahida yang sepatutnya dimasukkan dalam akaun peribadi pelakon itu.

Insiden itu didakwa berlaku di rumah Zahida di Lorong Kempas 2, Kampung Melayu, Ampang kira-kira jam 11.30 pagi pada 29 Februari 2012.

Noor Azman diwakli peguam Eric Paulsen.

Dia sebelum ini memberi keterangan dalam samannya terhadap Zahida bahawa pelakon itu mempunyai hubungan dengan menteri luar bandar Datuk Seri Shafie Apdal dan bahawa Zahida tidak memberikannya wang itu.

Shafie dan Zahida juga sebelum ini dilapor menafikan dakwaan terhadap mereka.

'Kenyataan Ibrahim Ali tiada kecenderungan menghasut'

 
 
Jabatan Peguam Negara hari ini tampil memberi penjelasan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ibrahim Ali untuk membakar Bible bahasa Melayu, tidak terjatuh di bawah lingkungan definisi kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948.

"Sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah, sebelum sesuatu kenyataan itu dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut, kenyataan itu hendaklah dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh dipisahkan daripada konteks di mana ia dibuat.

"Datuk Ibrahim Ali membuat kenyataan itu di dalam konteks kejadian di SMK Jelutong.

"Apabila dikaji di dalam konteksnya secara keseluruhan, kenyataan Datuk Ibrahim Ali tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, jelas Ibrahim bukan berniat untuk menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanyalah untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Berikut adalah kenyataan penuh Jabatan Peguam Negara:

Pada 21 Januari 2013, satu laporan polis telah dibuat melalui Bukit Tengah Repot: 856/2013 berkenaan kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali yang  menyeru umat Islam untuk merampas dan membakar salinan “Al-Kitab” yang mengandungi penggunaan perkataan Allah atau lain-lain perkataan Arab , dan juga mengandungi tulisan jawi. Kenyataan tersebut telah disiarkan di dalam portal Free Malaysia Today bertarikh 19 Januari 2013 dengan tajuk “Burn Allah Bibles, Perkasa Chief to Muslims”. Kenyataan tersebut telah dibuat di sidang media selepas tamat Konvensyen Perkasa di UITM Pulau Pinang.

Sebelum kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali itu, terdapat laporan media massa berhubung suatu laporan polis melalui Jelutong Repot: 552/13 tentang suatu kejadian pengedaran Bible kepada golongan pelajar di SMK Jelutong, Pulau Pinang. Pada 17 Januari 2013 jam 1.00 petang, tiga orang lelaki Cina dikatakan telah mengedarkan sejumlah Bible (bersaiz poket dalam Bahasa Inggeris) kepada pelajar-pelajar SMK Jelutong, termasuk pelajar-pelajar beragama Islam di hadapan Sekolah berkenaan.

Susulan daripada kedua-dua laporan polis di atas, tindakan penyiasatan telah diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Kertas siasatan yang dibuka telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan lanjut.

Pada 17 September 2013, kertas siasatan berhubung pengedaran Bible seperti di dalam Jelutong Repot: 552/13  telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Kertas siasatan tersebut telah dikaji dan keputusan diberikan supaya kes ditutup (NFA) atas alasan bahawa tiada keterangan yang kukuh untuk menunjukkan Bible tersebut dikehendaki diedarkan kepada pelajar Melayu  sahaja. Apa yang berlaku adalah sesiapa sahaja boleh mengambil Bible tersebut daripada suspek-suspek berkenaan.

Siasatan juga menunjukkan suspek-suspek tidak mempunyai niat untuk mengedarkan Bible  kepada pelajar Melayu sahaja. Oleh yang demikian, elemen di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 tidak dapat dipenuhi.

Seterusnya, pada 3 Disember 2013, kertas siasatan berhubung kenyataan Dato’ Ibrahim Ali seperti di dalam Bukit Tengah Repot: 856/2013 telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Kertas siasatan tersebut telah dikaji dan keputusan diberikan supaya kes ditutup (NFA) atas alasan berikut:

(i) kata-kata yang diucapkan oleh Dato’ Ibrahim Ali adalah seperti berikut:

“Emmm.. Diedar seperti semalam, saya menyeru pada orang Melayu yang beragama Islam, rampas....rampas dan bakar. Ini bukan sentimen ataupun nak menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi ini mempertahankan kesucian agama Islam yang telah jelas dalam undang-undang. Kita dah nasihat, kita dah merayu, kita dah desak mereka bertanggungjawab mengambil tindakan tetapi masih berlaku, dan kalau terus berlaku, saya hanya mengharap umat Islam rampas dan bakar. That only way. So I hope what happened last night is the last. So that kita nak avoid perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Tapi kalau berterusan, walaupun dia edar kepada aaaa... pelajar-pelajar bukan Islam, tetapi jangan setakat untuk pelajar-pelajar Islam tetapi juga untuk pelajar-pelajar bukan Islam. Walau kalau edar dalam versi bahasa melayu ada kalimah Allah, ada tulisan ayat-ayat jawi seperti semalam, kita akan rampas, kita minta orang Islam rampas dan bakar.”

“Yess...bible hanya perkataan yang apanii.. tulisan jawi yang boleh mengelirukan because tengok yang mengedar semalam pakai baju new testament apa...new testament ni maknanya bible versi baru, so we are kita we are not......for quarrel tapi kita terpaksa mempertahankan agama orang Islam. So untuk menyatakan perkara itu, saya merayu kepada semua pihak terutamanya mereka-mereka yang memang bertanggungjawab ini hentikan perbuatan mereka.
Mereka kena tunjuk itu bible kepada pihak yang bertanggungjawab maknanya yang dibuat dalam bahasa melayu tetapi clear dari segi undang-undang baru boleh edar dan jengan menyentuh hal-hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam.”

Kata-kata Dato’ Ibrahim Ali adalah ditujukan kepada kejadian individu-individu yang telah mengedar naskhah Bible yang mengandungi kalimah Allah dan juga tulisan Jawi kepada pelajar-pelajar di SMK Jelutong termasuk pelajar Melayu; dan

(ii) Kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Ibrahim Ali tidak terjatuh di bawah lingkungan definisi kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948.  Sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah, sebelum sesuatu kenyataan itu dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut, kenyataan itu hendaklah dilihat secara
keseluruhan dan tidak boleh dipisahkan daripada konteks di mana ia dibuat. Dato’ Ibrahim Ali membuat kenyataan itu di dalam konteks kejadian di SMK Jelutong.
Apabila dikaji di dalam konteksnya secara keseluruhan kenyataan Dato’ Ibrahim Ali tidak tergolong sebagai kecenderungan menghasut.

Jelas Dato’ Ibrahim Ali bukan berniat untuk menimbulkan kekecohan keagamaan tetapi hanyalah untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Hal ini boleh dilihat melalui ucapan beliau berbunyi:

“Ini bukan sentiment ataupun nak menimbulkan kekecohan agama tetapi ini mempertahankan kesucian agama Islam yang telah jelas dalam undang-undang.”

Elemen di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan juga tidak dipenuhi kerana Dato’ Ibrahim Ali tidak mempunyai niat untuk menghina dan menimbulkan provokasi yang membolehkan ketenteraman awam tergugat.

Tiada  juga kesalahan di bawah Seksyen 298 atau 298A Kanun Keseksaan yang telah dilakukan kerana Dato’ Ibrahim Ali jelas mempertahankan kesucian agama Islam. Tindakan pengedaran Bible secara percuma dan terbuka di luar perkarangan SMK Jelutong boleh menggugat akidah pelajar-pelajar Islam yang kurang pengetahuan agama mereka, jika mereka membaca Bible tersebut lebih-lebih lagi apabila ia mengandungi tulisan jawi.

Setelah mengambil kira fakta dan keterangan kedua-dua kes ini, Peguam Negara berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kedua-dua kes ini dibawa ke Mahkamah.
 

'Saya Maafkan, Tapi Mahathir Masih Ulang'


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tiada apa dapat "mendamaikan semula" hubungan beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat beliau pada 1998.

"Apa lagi yang ada untuk perdamaian semula? Apa isunya? Adakah ia demokrasi, kebebasan, kebebasan kehakiman, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hasutan?," soalnya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Anwar, 67, berdepan kemungkinan untuk kembali meringkuk di penjara sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa tidak memihak padanya.

Menurut Anwar, tiada sebab baginya untuk bertemu dengan Mahathir kerana beliau percaya bekas ketuanya itu mewakili "pemikiran kolot" era dahulu dan tidak lagi relevan.

“Saya telah memaafkan dia tetapi dia asyik mengulang (tuduhan) sama," katanya dengan sinis apabila ditanya sekiranya beliau sudahpun memaafkan Mahathir atas tindakan yang dikenakan ke atasnya.

Mahathir memecat Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri dan juga menteri kewangan pada tahun 1998.

MP Permatang Pauh itu kemudiannya ditangkap dan dituduh atas tuduhan meliwat bekas pemandunya dan juga kes pecah amanah.

Semasa dalam tahanan, beliau diserang oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sehingga matanya lebam, dan seterusnya dipenjara enam tahun atas tuduhan pecah amanah.

Gerakan Reformasi yang digerakkan bagi menyokong Anwar dalam tempoh itu kini berkembang menjadi parti PKR, dan bergabung dengan parti pembangkang DAP serta PAS dalam Pakatan Rakyat.

Anwar juga percaya bahawa Mahathir tidak lagi mampu mempengaruhi rakyat dan pimpinannya.

"Dulu orang takut kepada beliau kerana beliau mungkin ada perkara yang dapat memalukan atau menunjukkan kesalahan orang itu," kata Anwar.

Katanya, beliau kini tidak lagi memendam dendam dan tidak ingin lagi bertegang leher dengan Mahathir – yang pernah membawa beliau masuk ke Umno dan menjadi mentornya satu ketika dulu.

Beliau berkata kini hanya melihat sudut positif dan mengenang semula bagaimana Mahathir pernah berlembut dan bertolak ansur dengannya ketika itu.

Mengimbau semula saat itu, Anwar menceritakan mengenai desakannya agar kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat skandal Bumiputera Malaysia Finance berhubung penggelapan dana berbillion ringgit satu ketika dulu.

Menurutnya kenyataan itu mencetus kontroversi dan memberi tekanan kepada Umno.

Namun, Mahathir dengan lemah lembut meminta beliau, yang menjadi ketua Pemuda Umno ketika itu,
agar bertemu dengan perdana menteri itu terlebih dahulu.

Mahathir boleh berlembut dalam kes sebegitu, namun apa yang dilakukannya semasa mengetuai pentadbiran negara “terlalu sukar untuk diterima”, kata Anwar.

"Walaupun saya puas kerana dapat salahkan Mahathir, ia bukan tujuannya kerana beberapa tuduhan (ke atas dirinya) tiada kena mengena dengan (Mahathir).

"Tetapi dia memulakan kemunduran negara dari segi pentadbiran dan kehakiman. Mahathir menghancurkan kebebasan sistem kehakiman, kebebasan media dan menyebabkan ramai rakyat sengsara," kata beliau

Siswa, Penyokong Rempuh UM Demi Pidato Anwar

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi4gRENpgno4GK9a35nCVrQvxSNgpYEzUsYBDOC0xUNdSK5gVLc6LjXApN81wEmj5yFVIXpvRIuBAwNw5G_yW384TssmUm7WqSMRwKxDlVKAdBXWLVD676bltijkbr07K-fUm6jOIoemv4/s1600/_MG_4972_540_340_100.jpg



 
Ribuan mahasiswa dan penyokong PKR merempuh pintu pagar Universiti Malaya membolehkan mereka memasuki kampus itu bagi mengikuti pidato Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka merempuh pintu pagar Kuala Lumpur yang berkunci dan dirantai oleh pihak keselamatan sambil melaungkan "buka, buka" dan kemudiannya memasuki kawasan kampus.

Kemudian, mereka berarak kira-kira 200 meter dari pintu pagar sebelum berhenti seketika bagi menunggu ketibaan Anwar untuk bergerak ke Dewan Tunku Canselor.

Sementara itu, kira-kira jam 9.40 malam Anwar bersama keluarganya tiba di UM dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan mereka mula berarak bersama-sama ke Dewan Tunku Canselor.

Menyampaikan ucapan atas pacuan empat roda itu di depan dewan itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Fahmi Zainol mencerita sejarah perjuangan mahasiswa UM untuk rakyat.

Beliau juga sedia berdepan dengan tindakan displin daripada pentadbiran universiti selepas ini.

"Saya tahu pihak UM marah dengan saya. Saya sedia menerima hukuman termasuk dibuang universiti," katanya.

Kemudian, Anwar pula memulakan ucapannya dengan mempersoal pentadbiran kampus mahu menghalang beliau berucap di kampus itu

"Saya dihina dan dikeji 16 tahun. Apa salah saya datang bercakap di sini?" katanya sambil mengucap terima kasih dan tahniah kepada Fahmi dan pelajar UM.

Dalam ucapannya juga Anwar yang juga ketua pembangkang berharap pertuduhan berhubung kes liwat terhadapnya dilucutkan

"Saya wajib dibebaskan dengan menggunakan undang-undang hak asasi yang ada. Sheikh Al-Qardawi utus kenyataan kepada Anwar supaya lucutkan pertuduhan ke atas saya.

"Saya masih menaruh harapan hakim lucutkan pertuduhan kepada saya," katanya.

MP Permatang Pauh itu juga menyifatkan para mahasiswa sebagai "suara kesedaran" kerana berani menentang ketidakadilan dan memuji Fahmi Zainol kerana memilih untuk melawan.

Menyimpulkan ucapannya, kira-kira jam 10.30 malam, bekas timbalan perdana menteri itu memegang dan mengangkat tangan Fahmi sambil menyifatkannya "harapan anak bangsa."

Peserta kemudiannya mulai bersurai dan kebanyakan mereka mengekori pacuan empat roda yang dinaiki Anwar menuju ke pintu pagar Kuala Lumpur.

Sebelum itu, keadaan hujan rintik-rintik peserta berkumpul di luar pintu pagar memandangkan pihak keselamatan kampus menutup laluan masuk ke kampus perdana untuk sebarang lalu lintas.

Ada juga di kalangan peserta membuka payung masing-masing.

Pentadbiran kampus itu tidak membenarkan pidato anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya itu kerana tiada permohonan dibuat.

Antara pemimpin yang dilihat hadir MP Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sean bersama beberapa penyokong PKR menaiki sebuah kereta dan memasang sistem audio.

Turut kelihatan ADUN Kuala Sepetang Chua Yee Ling, ADUN Rawang Gan Pei Nie, Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shahrin, aktivis siswa Safwan Anang dan pensyarah Dr Azmi Sharom sebagai pemantau.

Mahasiswa dan penyokong Anwar turut melaungkan "student power" dan "hidup rakyat" sambil meminta pihak keselamatan membuka pintu pagar.

Ini kerana kelihatan sekumpulan pelajar dilarang meninggalkan kawasan kampus menyebabkan siswa yang di luar pintu pagar melaungkan:

"Lepaskan mereka, mereka juga mahu bersama dengan kami," kata mereka.

Pelajar yang awalnya dilarang keluar bagaimanapun dilepaskan selepas perbincangan diadakan.

MP: K'jaan habiskan lebih RM300j insuran BR1M


MP Pandan Rafizi Ramli berkata kerajaan menghabiskan RM350 juta dari wang subsidi kepada rakyat untuk membayar syarikat insurans bagi pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Beliau berkata kutipan itu adalah berdasarkan jawapan bertulis di mana setiap penerima BR1M membayar RM50 untuk bayaran Takaful.

Bagaimanapun jawapan sama daripada Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak 9 Oktober lalu mengesahkan setakat September lalu hanya RM42 juta dituntut daripada RM350 juta yang dibayar.

Ini bermakna, menurut Rafizi, kerajaan memberi untung bersih lebih RM300 juta kepada syarikat konsortium insurans ini.

"Duit yang dibayar adalah termasuk duit bantuan. Jadi bantuan tidak sampai kepada rakyat sebaliknya kepada syarikat besar dan ejen yang mendapat untung dari perkara ini," kata beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bayaran insurans yang dipanggil i-BR1M itu adalah penambahbaikan program BR1M di mana RM50 daripada jumlah bantuan tersebut ditolak bagi pembayaran premium insurans.

Ia memberi perlindungan takaful kepada penerima BR1M bagi kategori isi rumah dengan kerajaan menyediakan premium sebanyak RM50, dan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Rafizi turut mempersoalkan sama ada kerajaan mengkaji terlebih dahulu jumlah tuntutan skim berkenaan dan penggunaan wang yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.

"Oleh demikian saya yakin ada unsur mengambil keuntungan oleh pihak tertentu dengan menggunakan nama rakyat sebagai alasan.

"Siapa individu yang bertanggungjawab membawa cadangan ini kepada kerajaan? Broker ini perlu dihukum.

"Dan syarikat mana yang mendapat komisen memperkenalkan skim i-BR1M kepada konsortium syarikat insurans dan berapa komisen yang dibayar kepada mereka?" katanya. 

Di sebalik sekatan, Anwar berjaya pidato di UM

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PMUM Fahmi Zainol di 
hadapan Dataran Dewan Tunku Canselor. –
 Gambar oleh Afif Abd Halim


Ratusan pelajar dan orang ramai memasuki Universiti Malaya (UM) awal petangini yang ditutup daripada dimasuki semua kenderaan setelah mereka berjaya.

Mereka menuju lokasi di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berucap pada program "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara."

 Pada awalnya, terdapat kira-kira 50 orang berkumpul di pintu masuk utama UM di Jalan Universiti itu.

Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang mengatakan tetap akan datang ke universiti alma mater beliau dan menemui pelajar pada program itu walaupun pentadbiran universiti mengisytiharkannya tidak sah. Program anjuran Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) itu dijadualkan bermula jam 9 malam di Dataran Dewan Tunku Canselor dalam kawasan kampus.

Prof Madya Dr Azmi Sharom cuba berunding dengan pengawal agar mereka
 dibenarkan masuk ke dalam universiti. – 
Gambar oleh Afif Abd Halim

Presiden PMUM Fahmi Zainol memberitahu media, UM tidak mahu memberi persetujuannya kepada program itu walaupun selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin tengahari ini.

Berikut adalah kronologi Lintas langsung dari lokasi program:

 7:57 malam – Lima pelajar dari HELP University mula sampai. "Ini negara kami dan kami mahu tahu apa yang berlaku." 

 8:02 malam – Kira-kira 200 orang mula bergerak ke pintu pagar utama di Kuala Lumpur mengekori sebuah trak pikap PKR. Mereka berkumpul berhampiran trak itu, ingin tahu jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalamnya.

8:04 malam – Hujan rintik mula turun. Seorang lelaki kelihatan memasang sistem pembesar suara di atas trak pikap.

8:04 malam – Pelajar dari UKM, UiTM dan UM antara yang hadir depan pagar utama. Khalilah Ismail, 22, berkata dia berada di situ bagi mendengar sendiri apa yang akan dikatakan Anwar, tidak hanya membaca mengenainya daripada sumber lain.

8:12 malam – Hujan mula lebat. Orang ramai mula mencari perlindungan. Kakitangan PKR masih cuba memasang sistem pembesar suara. Pikap PKR diparkir betul-betul di hadapan pagar utama UM di Kuala Lumpur.

 8:15 malam – Pelajar dari asrama dalam UM dihalang keluar kampus. Mereka berkumpul di hadapan pagar yang dihalang pegawai keselamatan.

8.20 malam – Fahmi cuba berunding meminta mereka dibenarkan memasuki kampus. Seorang timbalan naib canselor juga hadir. Hujan makin lebat. Payung mula dibuka di sana sini.

8.22 malam – Sedikit kekecohan di hadapan pagar apabila pelajar dari dalam cuba keluar. 8.24 malam – Pelajar mula menjerit "Buka! Buka!" di hadapan pagar. Pemimpin PKR Datuk Johari Abdul tiba. Beliau juga alumni UM.

8.27 malam – Orang ramai mencecah 400 orang.

8.30 malam – Johari cuba minta timbalan naib canselor membuka laluan tetapi nampaknya tidak berjaya. Aktivis pelajar Safwan Anang kelihatan berada di lokasi.

 8.32 malam – Orang ramai mencecah 500 di pintu masuk Kuala Lumpur, termasuk di dalam dan luar pagar. Pelajar mula melaungkan "Bangkit! Bangkit!"

 8.36 malam – Kekecohan di hadapan pintu masuk Kuala Lumpur apabila pelajar cuba merempuh keluar.

8.37 malam – Dua kumpulan kelihatan di kawasan kampus – satu berhampiran pagar dan satu lagi tidak jauh dari situ apabila pengawal keselamatan meluaskan sempadan antara pagar dengan penghadang ke 200m dari pagar.

8.39 malam – Wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Fazril Saleh berkata: "Apa yang kami lakukan bukan satu kesalahan. Tolong benarkan pelajar masuk berkumpul."

8.48 malam – Pengurusan UM membuka pagar di tepi bagi membenarkan pelajar dari dalam keluar.

 8.49 malam – Pensyarah undang-undang UM Prof Madya Dr Azmi Sharom kelihatan berada bersama orang ramai yang hadir.

8.57 malam – Orang ramai mula menyanyikan lagu pelajar, termasuk berterima kasih kepada UM. Bilangan yang hadir mencecah 600 hingga 700 termasuk pemerhati. Tiada pegawai polis kelihatan.

9.01 malam – Seseorang mula mengkritik UM kerana mengeluarkan arahan terdahulu hari ini supaya kakitangannya meninggalkan kampus jam 4 petang kerana 'masalah bekalan elektrik.' "Bagaimana UM boleh dakwa ia universiti nombor satu di Malaysia? Bagaimana ia kata ia ikut Perlembagaan Persekutuan jika ia tak benarkan Anwar masuk?"

9.08 malam – Pelajar mula mengambil giliran bercakap, menghangatkan keadaan sementara menunggu ketibaan Anwar. "Ini universiti rakyat," kata seorang daripada mereka.

9.18 malam – Pagar dibuka apabila orang ramai mula agresif dan berjaya memaksa ia dibuka.

9.20 malam – Pelajar berarak masuk melalui pintu masuk utama di Kuala Lumpur, melaungkan "Hidup Mahasiswa!", menuju Dataran Dewan Tunku Canselor.

9.22 malam – Orang ramai diberitahu Anwar akan hadir dalam masa 5 minit.

9.31 malam – Pemimpin pelajar mula bercakap kepada hadirin dalam kawasan kampus. Mereka juga terus menyanyi dan melaungkan slogan. Bilangan yang hadir makin ramai apabila pelajar yang tinggal di asrama turut serta.

 9.36 malam – Seorang pemimpin pelajar mengumumkan Anwar akan tiba tidak lama lagi. Keadaan kelihatan terkawal. Anggota polis masih tidak kelihatan.

9.40 malam – Anwar tiba Dewan Tunku Canselor dengan menaiki sebuah trak pikap yang dipandu perlahan, sambil melambai kepada orang ramai.

9.41 malam – Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah turut kelihatan di atas trak. Pelajar Fahmi Zainol juga bersama mereka. Orang ramai mula melaungkan "Hidup, hidup, mahasiswa! Hancur, hancur kezaliman!"

9.49 malam – Perserta program mencecah kira-kira 2,000 orang.

9.51 malam – Keadaan gelap gelita sekitar Dataran Dewan Tunku Canselor di mana Anwar akan berucap. Tiada satu lampu jalan pun dipasang.

10.04 malam – Orang ramai bersorak apabila Anwar mula berucap.

10.28 malam – Anwar meninggalkan dataran. Semua yang hadir berjalan bersama beliau ke pintu pagar. – OLEH LEE SHI-IAN DAN MUZLIZA MUSTAFA 27 Oktober, 2014.~ SUMBER

Isnin, 13 Oktober 2014

Anwar petik Onn Jaafar jawab isu murka



 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memetik pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dalam mempertahankan perselisihan antara Pakatan Rakyat dan Istana Selangor baru-baru ini.

MP Permatang Pauh itu yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata pemimpin Umno tersebut pernah menegaskan bahawa penubuhan parti itu untuk membebaskan Melayu daripada amalan feudalisme.

Anwar merujuk sindiran Perdana Menteri Datuk Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2015, bahawa Pakatan mengundang kemurkaan Istana Selangor apabila tegar menyerahkan satu nama untuk pencalonan menteri besar baru sebelum ini.

"Saya nak jelaskan perkara ini, sebabnya tidak mahu istilah murka ini disalah guna. Murka ini adalah apabila kita langgar, atau kita tidak hormat kepada raja.

"Saya belum keluar satu kenyataan yang mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu atau menghina raja dalam dewan atau luar dewan. Tetapi saya ingin ingatkan yang kita tegak dengan prinsip ini.

"Apabila Onn Jaafar (atas), seorang pemimpin kebangsaan dan pendiri Umno yang saya sangat hormati, menekankan bahawa penegasan dan hebatnya Umno itu kerana ia diasaskan untuk membebaskan dan memerdekakan minda dan negara ini daripada amalan kongkongan feudalisme.

"Itu datangnya daripada seorang tokoh bangsawan," kata Anwar ketika membahaskan Bajet 2015 di Parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, Umno sendiri bertindak meminda Perlembagaan pada 1983 dan 1993 bagi melindungi institusi diraja daripada melakukan jenayah.

Sependapat dengan Dr M

Ia juga dilakukan bagi menghalang institusi itu daripada bercanggahan dengan Perlembagaan negara yang memberikan rakyat hak untuk memilih pemimpin.

"Yang kita pertahankan - baik BN atau Pakatan Rakyat adalah demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan," kata Anwar.

Menurutnya, dalam hal itu beliau sebenarnya sependapat dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, beliau tidak mahu membaca kembali ucapan Mahathir yang disifatkannya sebagai terlalu 'keras' terhadap institusi raja.

"Saya tak sanggup baca semula ucapan itu kerana nadanya begitu keras menyebut tentang ketelanjuran yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menyoal Anwar sebab di sebalik keengganan Pakatan Rakyat untuk menurut permintaan istana Selangor agar menghantar tiga nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan.

Noh yang juga pengerusi Umno Selangor berkata Pakatan tiada masalah berbuat demikian pada 2008 sewaktu menang pilihan raya di Perak.

Bagaimanapun, Anwar yang juga ketua umum PKR menjawab bahawa perkara tersebut adalah keputusan parti politik masing-masing dalam Pakatan Rakyat.

Rafizi: Najib pembuli lebih besar


 
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini membidas BN yang mendakwa PKR dan DAP membuli PAS.

Menurutnya, layanan Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap MCA membuktikan bahawa Najib adalah 'pembuli' yang lebih besar.

"Jika kita mahu bercakap tentang buli, tanya YB Pekan (Najib) dahulu kerana Pekan boleh hadir ke mesyuarat agung tahunan MCA dan beri amaran kepada pimpinan MCA agar tidak meminta apa-apa dari kerajaan jika orang Cina tak mengundi BN dan jika mereka (BN) tak dapat sokongan.

"Ini pembuli lebih besar berbanding isu Oktoberfest," katanya sewaktu membahaskan Belanjawan 2015 di Parlimen hari ini.

Beliau memberi maklum balas kepada Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang menuduh DAP dan PKR membuli PAS dalam isu sambutan Oktoberfest yang ditentang PAS.

Menurut Noh, wakil rakyat DAP dan PKR menghadiri sambutan festival arak itu walaupun PAS membantah sambutan itu.

"Bukankah itu membuli?" kata Noh Omar.

Menghapuskan ketirisan, mengamalkan ketelusan


DALAM pembentangan Bajet 2015 pada hari Jumaat yang lalu, YAB Perdana Menteri dengan megah mangatakan bahawa Malaysia ini terbina atas usaha Barisan Nasional dan walaupun mengalami pelbagai krisis dan dugaan mutahir ini, Malaysia melangkah gagah dengan banyak catatan pencapaian di peringkat global, antaranya:
Memperbaiki kedudukan dalam Laporan World Competitiveness Index 2014, menduduki tangga ke-12 daripada tangga ke-15 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut menunjukkan kita lebih kompetitif berbanding United Kingdom, Australia dan Finland;
Menduduki tangga ke-3 terbaik daripada 22 buah negara bagi penilaian Best Emerging Markets yang dikeluarkan oleh Blomberg;
Menduduki tangga ke-6 daripada 189 buah negara, dalam Laporan Ease of Doing Business oleh Bank Dunia, di mana kita menduduki tangga pertama dalam aspek mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Apa yang menarik ialah, nampaknya YAB Perdana Menteri hanya berani menyatakan laporan-laporan atau indeks-indeks antarabangsa yang menunjukkan betapa Malaysia adalah sebuah negara yang “business-friendly” tetapi langsung mengenepikan dan mendiamkan diri dalam laporan-laporan dan indeks-indeks yang menunjukkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa dalam isu-isu integriti, kebebasan media, ketelusan, perang terhadap rasuah dan akauntabiliti.

Masalah kita pada hari ini bukannya Malaysia ini tidak “business-friendly” tetapi masalahnya ialah Malaysia dilihat sebagai “corruption-friendly”. Kalau YAB Perdana Menteri menggunakan 3 indeks untuk menunjukkan betapa hebatnya Malaysia di bawah pentadbiran BarisanNasional, saya juga ingin menggunakan 3 contoh indeks antarabangsa untuk membuktikan betapa teruknya pemerintahan Barisan Nasional, antaranya:

Dalam Indeks Perspesi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini lebih teruk dari zaman Tun Dr Mahathir di mana pada tahun terakhir pentadbiran Tun Mahathir iaitu tahun 2003, Malaysia masih berada di kedudukan ke-37. Bukan itu sahaja, malah persepsi rasuah di Malaysia pada hari ini lebih teruk daripada negara-negara seperti Rwanda, Estonia dan Botswana yang mempunyai ranking yang lebih baik daripada Malaysia.
Dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram atau (illicit financial outflows) yang berjumlah USD370.38 billion di antara tahun 2002-2011.Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.
Dalam Laporan World Press Freedom Index 2014 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, Malaysia mendapat tempat ke-147 daripada 180 negara yang diselidik dari segi tahap kebebasan media mereka. Ini bermakna tahap kebebasan media di Malaysia lebih teruk daripada negara-negara seperti Myanmar, Ehthiopia, Burundi, Cameroon dan Mozambique.

Hasil Kerajaan

Masalah terbesar dalam Bajet Kerajaan Persekutuan bukannya kita kekurangan hasil tetapi pertambahan hasil yang sebesar mana pun tidak akan dapat menampung perbelanjaan yang tidak terkawal sekiranya tidak ada usaha untuk menutup lubang kebocoran kewangan negara akibat daripada ketirisan, pembaziran dan rasuah yang berleluasa dalam perbelanjaan sektor awam.

Hakikatnya, jumlah hasil yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun walaupun sebelum GST dilaksanakan. Pada tahun 2000 semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir, jumlah hasil negara hanya RM61.8 billion. Pada tahun 2008, semasa era Tun Abdullah Badawi, hasil negara meningkat ke tahap RM159.8 billion. Pada tahun 2013, dalam era YAB Pekan, jumlah hasil negara mencecah RM213.3 billion! Tahun 2015, anggaran hasil Negara mencecah RM235.2 billion.

Kalau dilihat dalam tempoh 15 tahun ini, hasil negara telah meningkat lebih 3 kali ganda walauipun tanpa pelaksanaan GST. Tetapi dalam tempoh tersebut juga, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak pernah berimbang dan sentiasa mengalami defisit.

Hutang Negara

Perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal ini yang disebabkan oleh ketirisan, pembaziran dan rasuah menyebabkan hutang negara memuncak sehingga 54.7% KDNK atau RM540 billion pada tahun 2013 tanpa mengambil kira hutang yang dipinjam secara tidak langsung oleh Kerajaan atau “contingent liability” dan pinjaman-pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan seperti hutang IMBD dan sebagainya.

Disebabkan pengurusan kewangan yang tidak berhemah selama ini dan perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal, setiap tahun kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung defisit bajet Negara.Perbelanjaan untuk menampung hutang negara pula, terutamanya kos membayar faedah pinjaman dan lain-lain semakin meningkat.

Daripada RM10.92 billion pada tahun 2004, perbelanjaan kerana hutang negara telah mencecah RM24.4 billion pada tahun 2015. Bayangkan, kalau RM24 billion ini disalurkan untuk tujuan pembangunan, sudah tentu ramai rakyat di bawah yang menerima tempiasnya.

Ketirisan dalam Perbelanjaan

Sekiranya tidak ada usaha bersungguh-sungguh dan serius untuk menghapuskan ketirisan dan pembaziran daripada perbelanjaan kerajaan terutamanya untuk pembelian perkhidmatan dan perbekalan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun, pengenalan GST dan pertambahan hasil daripada GST tidak akan sesekali menyelesaikan masalah defisit yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan.

Pokoknya, kerajaan perlu mengamalkan dasar ketelusan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara dalam semua bentuk perbelanjaan yang melibatkan wang awam. Namun, janji-janji manis ini yang termaktub dalam GTP dan ETP tidak diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Apakah kerajaan mengamalkan ketelusan dengan menggunakan pendekatan tender terbuka dalam semua pelaksanaan projek-projek mega kerajaan? Dalam pembentangan Jumaat lepas, YAB Perdana Menteri mengumumkan 7 projek pembinaan mega yang merangkumi 4 lebuh raya baru, projek MRT jajaran kedua, projek LRT fasa 3 dan menaik taraf landasan keretapi Pantai Timur. Nilai 7 projek ini sahaja mencecah RM48.25 billion.

Saya ingin bertanya kepada YAB, adakah projek-projek ini dianugerahkan melalui proses tender terbuka ataupun proses rundingan terus? Istilah “direct-nego” memang sinonim dengan Barisan Nasional. Mengapakah projek-projek yang memakan belanja yang begitu besar ini tidak ditender supaya memaksimakan nilai setiap ringgit yang dibelanjakan dan mengurangkan kos projek tersebut. Saya meminta pihak kerajaan menjawab satu persatu syarikat mana yang mendapat setiap projek yang diumumkan tersebut, butiran kosnya dan justifikasi mengapa syarikat tersebut dipilih?

Jabatan Perdana Menteri

Bukan sahaja tidak ada ketelusan dalam penganugerahan dalam projek-projek mega, malah banyak perbelanjaan dalam Jabatan Perdana Menteri yang bersifat “mengikut budi bicara” Perdana Menteri ataupun “discretionary spending” yang tidak ada unsur “check and balance” dan mudah disalahgunakan.

Saya mengambil beberapa contoh perbelanjaan dalam Jabatan Perdana Menteri yang tidak telus yang perlu dipersoalkan dalam Dewan yang mulia ini:

- Projek khas yang diperuntukkan RM1.61 billion
- Program pembangunan yang diperuntukkan RM1.1 billion
- Penyusunan semula masyarakat yang diperuntukan RM750 juta
- Projek Mesra Rakyat yang diperuntukkan RM670 juta
- Projek-projek kecil yang diperuntukkan RM300 juta

5 contoh ini sahaja memberikan satu “blank cheque” kepada Perdana Menteri yang bernilai RM4.43 billion. Apakah projek khas yang dimaksudkan, apakah program pembangunan yang disasarkan, bagaimanakah penyusunan semula masyarakat dijalankan, apakah projek yang memesrakan rakyat dan apakah projek-projek kecil yang akan dilaksanakan? Semua persoalan-persoalan ini dan butir-butir perancangan projek ini tidak dapat dipantau oleh Ahli-ahli Parlimen kerana kekurangan “political will” Barisan Nasional untuk mengamalkan ketelusan.

Bukankah pendekatan yang tidak telus seumpama ini yang akan mewujudkan ruang ketirisan, kebocoran dan rasuah? Mengapakah semua “kuasa perbelanjaan” atau “spending power” ini terletak dalam tangan Perdana Menteri? Saya menggesa supaya tujuan-tujuan perbelanjaan ini perlu dinyatakan secara telus dan perlu ada mekanisme untuk memantau semua perbelanjaan kerajaan dengan efektif.

Di Amerika Syarikat pun, Presiden Obama mewujudkan sebuah Suruhanjaya yang bernama National Commission on Fiscal Responsibility and Reform yang terdiri daripada Ahli-ahli Kongres secara bi-partisan untuk merangka strategi fiskal dan dasar baru untuk mengurangkan defisit bajet Kerajaan Amerika Syarikat dan hutang negaranya.

Select Committee untuk setiap Kementerian

Justeru itu, saya mengulangi pendirian kami bahawa sepatutnya Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Terpilih secara tetap (Select Committee) untuk setiap kementerian supaya Ahli-ahli Parlimen dapat memainkan peranan “check and balance” yang lebih efektif untuk menghapuskan ketirisan dan rasuah dalam setiap Kementerian. Langkah ini sudah pasti mendapat sokongan padu daripada Pakatan Rakyat sekiranya YAB Perdana Menteri mempunyai “political will” untuk melaksanakannya.

Namun, apa yang berlaku sekarang dalam Parlimen adalah sebaliknya. Bukan sahaja Parlimen Malaysia tidak ada mekanisme “select committee” untuk memantau setiap kementerian, malah soalan-soalan Ahli-ahli Parlimen tidak dijawab secara serius.

Pada minggu lepas, saya telah mengemukakan beberapa soalan lisan kepada Jabatan Perdana Menteri mengenai butiran penerbangan dan kos yang terlibat dalam beberapa penerbangan yang melibatkan Perdana Menteri dan isterinya yang menggunakan pesawat khas milik kerajaan. Soalan-soalan ini ditanya kerana penerbangan-penerbangan ini melibatkan lawatan bukan rasmi seperti percutian Perdana Menteri di Eropoh pada awal bulan Ogos dan penerbangan isteri Perdana Menteri ke Padang, Indonesia untuk menerima anugerah darjah kebesaran.

Persoalan yang timbul ialah kewajaran dan kelayakan Perdana Menteri dan isterinya menggunakan pesawat kerajaan untuk lawatan peribadi. Dan lebih teruk lagi, kos yang terlibat dirahsiakan oleh YB Arau. Apakah peranan YB Arau dalam Parlimen ialah untuk melindungi Perdana Menteri dan isterinya daripada dipersoalkan?

Semasa kerajaan meminta rakyat supaya memahami perlunya tindakan kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi dan menaikkan harga minyak, Putrajaya membelanjakan RM180 juta setahun untuk kos minyak dan penyelenggaraan beberapa pesawat khas untuk kegunaan Perdana Menteri dan beberapa VVIP kerajaan. Ini tidak termasuk lagi kos sewaan untuk pesawat-pesawat ini yang memakan berpuluh juta setiap tahun.

Bagaimana pemimpin negara boleh memahami masalah kesempitan hidup yang dialami oleh rakyat jelata akibat daripada kenaikan harga minyak dan  cukai GST sekiranya mereka hidup secara begitu mewah dengan khazanah kekayaan negara sehingga bil elektrik di Seri Perdana pun mencecah RM2.5 juta setahun yang dibayar oleh pembayar cukai.

Kos Sara Hidup Rakyat

YAB Perdana Menteri mengatakan bahawa Kerajaan begitu prihatin dan memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat. Maka penjualan runcit minyak RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST yang bernilai 6%. Cakap-cakap ini cukup indah tetapi rakyat Malaysia pada hari ini tidaklah mudah diperdaya dengan dakyah dan propaganda kerajaan kerana mereka sedar pada hakikatnya harga runcit RON95 telah pun dinaikkan sebanyak 10% seminggu sebelum pembentangan Bajet 2015. Ini taktik baru Barisan Nasional untuk memperdayakan rakyat. Percayalah….tak ada sesiapa yang percaya dengan dakyah kononnya kerajaan BN ni prihatin dengan rakyat.

YAB Pekan juga menyatakan 532 jenis barangan dalam basket of goods akan mengalami penurunan harga sehingga 4%. Peniaga-peniaga di Seremban mengatakan ini “angan-angan kosong” Jangan harap ia akan berlaku.

Hakikatnya, pengenaan cukai GST pada kadar 6% ditambah pula dengan kenaikan harga minyak merupakan faktor berkembar yang akan menyumbang kepada kadar inflasi yang tinggi. Kesimpulan ini tidak perlu dinyatakan oleh pakar ekonomi, peniaga warung kopi pun tahu jawapannya.

Kita tak perlu pergi ke jauh. Kafeteria untuk Ahli Parlimen di sebelah Dewan ini pun telah menaikkan harga sejak bermulanya sidang pada minggu lepas. Dulu, harga teh tarik, nescafe dan milo semuanya RM2 secawan. Sekarang, cawan yang sama besarnya telah dinaikkan harga sehingga RM3 secawan. Kenaikan harga 50%. Mengapakah YB Kuala Pilah tidak mengambil tindakan terhadap operator tersebut iaitu PWTC Catering? Siapa yang memiliki syarikat tersebut?

Tuntutan rakyat

Kos sara hidup rakyat Malaysia pada hari ini memang tinggi dan rata-rata kebanyakan pekerja yang berpendapatan sederhana dan rendah menuntut supaya kerajaan memainkan peranan dengan memastikan harga minyak tidak dinaikkan pada ketika harga minyak di pasaran global turun.

Janganlah pula Perdana Menteri memberitahu kepada rakyat “kalau nak buat tuntutan kepada kerajaan, janganlah sokong Pakatan Rakyat”.

Saya cukup kecewa dengan ucapan YAB Perdana Menteri di Perhimpunan Agung MCA pada pagi semalam di mana beliau berkata masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat. Kenyataan tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya keluar dari mulut pemimpin tertinggi negara.

Apakah Perdana Menteri tidak faham konsep utama dalam demokrasi ialah membenarkan rakyat untuk membuat pilihan mereka dalam pilihanraya? Hak dan kebebasan untuk memilih parti mana dan calon mana untuk mewakili mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan dalam demokrasi.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan selepas pilihanraya untuk mentadbir negara dan berkhidmat untuk semua rakyat tanpa membalas dendam terhadap pengundi yang tidak menyokong mereka.

Sekiranya beliau tidak faham perkara yang begitu asas ini dalam demokrasi, janganlah memalukan diri sendiri dengan mengatakan beliau ingin menjadikan  “Malaysia the best democracy in the world”!

Tambahan pula, saya ingin mengingatkan YAB Perdana Menteri bahawa yang tidak menyokong Barisan Nasional bukan sahaja di kalangan masyarakat Cina tetapi dalam Pilihanraya Umum ke-13, 52% pengundi Malaysia telah menolak Barisan Nasional. Sudah tentu jumlah pengundi  masyarakat Cina tidak mencecah 52% dan jumlah ini melambangkan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama yang bersatu menolak pentadbiran Barisan Nasional!

Saya nak tanya YAB Perdana Menteri apakah 52% rakyat Malaysia yang tidak menyokong Barisan Nasional ini juga tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan? Kalau rakyat tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan, apakah 52% rakyat ini dikecualikan daripada membayar sebarang cukai termasuk cukai GST?

Masyarakat Cina sama seperti dengan semua rakyat Malaysia bukannya meminta sedekah daripada kerajaan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan dasar yang adil kepada semua seperti memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua aliran sekolah. Peruntukan RM50 juta untuk dibahagikan kepada lebih 1,200 SJKC yang puratanya tak sampai RM40,000 untuk sebuah sekolah seolah-olah “melepaskan batuk di tangga”.

Namun, yang lebih memalukan ialah parti komponen BN yang mengatakan dirinya mewakili masyarakat Cina iaitu Presiden MCA sendiri mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri.

Orang putih kata, “It’s peanuts” ….”SHAME ON YOU,  MCA!”

Pelancongan

Industri pelancongan memang memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembangunan negara. Industri tersebut bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sector perkhidmatan malah ia merupakan satu penjana peluang pekerjaan yang cukup besar di kalangan rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan syabas kepada YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana kementeriannya diperuntukkan RM316 juta untuk melaksanakan pelbagai program bersempena dengan “Malaysia – Year of Festivals 2015”. Kami memang mengakui bahawa Menteri Pelancongan sekarang lebih mesra dan adil kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat khasnya Pulau Pinang memandangkan Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang cukup penting dan strategik dalam pembangunan industri pelancongan negara.

Sikap yang adil, professional dan mesra merupakan ciri-ciri yang sangat penting untuk kita bersama-sama membawa industri pelancongan negara ke persada yang lebih tinggi. Marilah kita sama-sama “Think Tourism”.

Justeru itu, sukacita saya mencadangkan kepada YB Menteri supaya memperuntukkan RM22 juta daripada RM316 juta tersebut untuk mengadakan festival di setiap daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia. Saya mencadangkan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM100 ribu dan Ahli Parlimen masing-masing dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Festival bersama masyarakat tempatan pada tahun 2015 untuk merakyatkan “Year of Festival”.

Setiap kawasan Parlimen ada keunikannya dari segi budaya dan warisan sejarahnya. Saya yakin keunikan dan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi dalam penganjuran sesuatu festival ini akan memberikan pengalaman yang berbeza dan menjadi tarikan kepada pelancong. Ia juga dapat menghidupkan semula pekan-pekan kecil di seluruh negara dan memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat. Jangan kita mewujudkan persepsi kepada pelancong asing bahawa Malaysia hanyalah berkenaan dengan Kuala Lumpur. Kita perlu menunjukkan kekayaan dalam kepelbagaian kita seiring dengan tagline “Malaysia truly Asia”.

Rakan saya YB Kluang telah menganjurkan Festival Kluang baru-baru ini dengan mempromosikan keindahan semula jadi di Gunung Lambak dan menghidupkan semula warisan-warisan lama di Bandar Kluang dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat. Dengan adanya dana peruntukan, saya yakin Seremban boleh menganjurkan Festival Seremban dengan mempromosikan “siew pao halal”, Kuching boleh buat Festival Kuching dan lain-lain.

Untuk memajukan lagi sektor pelancongan negara, kerajaan perlu memberikan fokus untuk membangunkan sektor cruise tourism yang merupakan salah satu sektor yang telah dikenalpasti dalam Economic Transformation Program sebagai salah satu Entry Point Project (EPP). Walaupun Malaysia Cruise Council telah ditubuhkan untuk mengariskan dasar pembangunan sektor tersebut, namun masih belum ada tindakan yang holistik dan bersepadu di antara stakeholders terutamanya di antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan-kerajaan negeri yang terbabit.

Saya difahamkan bahawa Syarikat Perkapalan Royal Caribbean telah pun melabur untuk membina sebuah cruise terminal yang baru di Melaka dalam projek Melaka Gateway.

Namun, kerajaan persekutuan belum lagi memutuskan pelan pembangunan untuk Swettenham Pier yang mempunyai potensi untuk menjadi sebuah cruise terminal yang dapat menarik kemasukan ramai pelancong asing. Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pengangkutan sama ada Penang Port Commission telah menyerahkan operasi Swettenham Pier kepada Seaport Terminal?

Saya mendapat maklumat bahawa sebuah konsortium antarabangsa mempunyai minat untuk melabur dalam pembangunan semula Swettenham Pier tetapi terdapat banyak halangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Memandangkan Swettenham Pier merupakan sebuah terminal yang strategik untuk pembangunan cruise tourism di Malaysia, saya menyeru Kerajaan supaya memangil tender untuk projek tersebut  dalam kadar yang segera dan menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai pengalaman dan perancangan yang paling baik untuk memaksimakan pulangan kepada industri pelancongan negara.

Rencana di atas adalah ucapan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook dalam perbahasan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Isnin, 13 Oktober 2014.

Bajet: Orang berpendapatan rendah masuk penjara BN

 KENAIKAN harga minyak dan GST yang bakal melonjakkan inflasi pada tahun 2015 adalah satu gaung bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Gaung ini adalah satu penjara yang dicipta BN bagi golongan ini di mana pemberian BR1M secara ansuran dijadikan satu senjata untuk membudayakan mereka untuk terus bergantung hidup pada kerajaan.

Dengan pengurangan subsidi yang dilakukan dan peningkatan pemberian BR1M dari tahun ke tahun yang menyebabkan kenaikan kadar inflasi jauh melebihi kadar pendapatan, golongan ini akan terus terperangkap di dalam penjara yang dicipta BN.

Apakah ini satu strategi BN untuk kekal berkuasa dengan membudayakan majoriti rakyat Malaysia untuk terus bergantung hidup dengan insentif yang diberikan kerajaan?

Ini tidak mustahil berdasarkan apa yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung tahunan MCA semalam di mana beliau mengingatkan masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu daripada kerajaan jika mereka menyokong pembangkang.

Berdasarkan logik ini, apakah BR1M sebenarnya adalah satu strategi politik yang dijelmakan sebagai bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan undi rakyat bagi BN?

Perbezaan ketara antara jumlah peruntukan RM4.9 bilion one-off termasuk BR1M dan RM1.1 bilion yang boleh dijimatkan melalui kenaikan harga minyak juga membenarkan dakwaan bahawa gaung ini sengaja digali untuk rakyat marhaen.

Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan. Oleh kerana harga barangan melambung, rakyat perlu membayar lebih untuk GST, kerana 6% akan dikenakan pada barang dan perkhidmatan yang sudah dinaikkan harga dan bukan harga sekarang.

Pada akhirnya, segala apa yang diberi kepada rakyat sebenarnya akan dipungut kembali oleh kerajaan. Yang berbeza ialah rakyat telah ditolak ke dalam gaung dan terpaksa bergantung hidup dengan pemberian kerajaan.

Datuk Seri Najib juga perlu ingat bahawa semua yang membayar cukai kepada kerajaan (sama ada secara langsung melalui cukai pendapatan atau tidak langsung seperti cukai eksais kereta) berhak membuat tuntutan kepada kerajaan.

Sebagai pembayar cukai, rakyat berhak memilih siapa sahaja untuk menguruskan negara pada setiap pilihan raya. Dan sebagai sebuah kerajaan yang dipilih, ia bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira pendirian politik mereka.

Itulah asas kepada sistem demokratik yang adil dan saksama dan berfungsi.

Naib Presiden PAS
13 Oktober 2014

Nota Perbahasan Bajet 15 Ketua Pembangkang

NOTA PERBAHASAN
BAJET 2015
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
13 OKTOBER 2014

Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 10 Oktober 2014 yang lalu.
MUQADDIMAH


“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain di antara kamu dengan cara yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para penguasa kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, ketika kamu mengetahui (salahnya)”. Al-Baqarah 188

PENDEKATAN DAN KONSEP BELANJAWAN 

  1. Belanjawan negara bukannya hanya mengenai angka perbelanjaan yang berubah dan meningkat saban tahun. Pastinya ianya bukan hanya lakaran yang dihiasi dengan akronim-akronim menarik yang dikitar semula tetapi tidak ketara dalam penghasilannya.
  1. Belanjawan negara sewajarnya menjawab dua persoalan utama. Pertama, mengukuh paksi ekonomi dan memacu pertumbuhan rancak, dengan maksud meningkat hasil dan pendapatan negara. Kedua, mempastikan perbelanjaan terurus untuk memperkemas prasarana dan memastikan pengagihan adil dan saksama buat segenap lapisan masyarakat.
  1. Justeru itu, pendekatan belanjawan Pakatan Rakyat 2015 disandarkan kepada sepuluh asas utama iaitu;
    1. Pengukuhan tatakelola untuk menghapuskan rasuah dan ketirisan
    2. Pengurangan defisit belanjawan negara kepada kadar 2.6%
    3. Lebihan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan
    4. Menentang GST yang mencukai gologan miskin dan memperkenalkan CGT untuk mencukai keuntungan modal
    5. Menjaga amanah khazanah minyak dan gas negara
    6. Mempertahankan perdagangan bebas yang adil untuk semua
    7. Penetapan gaji yang adil untuk hidup bermaruah
    8. Bebas daripada kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meningkat
    9. Pembangunan desa yang menyeluruh
    10. Menjamin hak perumahan untuk rakyat
  1. Lantaran kerangka dasar dan kebijakan ekonomi kami bermula dari pimpinan dan pengurus tertinggi mengamalkan tatakelola baik dan urustadbir yang berkesan. Apakah kita punyai tekad politik dan keupayaan menghentikan amalan boros dan rasuah, memperkaya kroni dan elit yang mengakibatkan peningkatan kos dan bebanan terhadap rakyat terbanyak? Disinilah pada asasnya pertembungan ketara pendekatan Bajet 2015 BN dan Belanjawan PR.
  1. Di dalam belanjawan Pakatan Rakyat 2015, kami juga telah mengenalpasti beberapa kepincangan pentadbiran ekonomi amalan Barisan Nasional yang bakal mendatangkan kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negara. Pada hemat saya, kepincangan ini wajar diperbetulkan dahulu sebelum perancangan ekonomi jangka sederhana dan panjang dapat dilaksanakan:
    1. Sistem cukai yang lebih mesra golongan maha kaya untuk kekal kaya manakala golongan bawahan dipaksa menanggung bebanan cukai negara
    2. Tatakelola yang lemah, akibatnya budaya rasuah terus membarah didalam kerajaan dan pentadbiran ekonomi
    3. Ketidaktelusan dan ketidakcekapan dalam menangani rundingan peringkat antarabangsa seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang boleh memberikan kesan yang besar kepada daya saing industri tempatan dan kos sara hidup rakyat
    4. Pergantungan berterusan kepada hasil industri minyak dan gas, ditambah pula dengan pengurusan hasil sedia ada yang tidak berhemah
KRITIK BELANJAWAN BARISAN NASIONAL
  1. Tinjauan Pakatan Rakyat mendapati bahawa rakyat dan komuniti perniagaan rata-ratanya melihat belanjawan ke 6 ini sebagai ‘non-event’ kerana masih tiada usaha dari pihak kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan asas yang mengakibatkan defisit negara membengkak sementara ketirisan dan amalan boros tetap berleluasa berlaku.
  1. Perbelanjaan pengurusan negara yang sentiasa bertambah setiap tahun semenjak belanjawan-belanjawan yang terus dikekalkan. Perbelanjaan pengurusan bertambah kepada RM 223.4bn (2015) daripada RM 217.7bn (2014). Kadar pertambahan tahunan dilihat sedikit berkurangan kepada 3.71% berbanding 4.96% tahun sebelumnya. Walaupun ini relative satu pembaikan boleh dikira sebagai pembaikan dari segi disiplin fiskal, namun soal tatakelola masih parah.
  1. Perbelanjaan pembangunan pula memecahkan tradisi pengurangan tahun ke tahun, di mana ianya bertambah kepada RM 50.5bn (2015) daripada RM 46.5bn (2014).
  1. Nisbah perbelanjaan mengurus kepada pembangunan kekal sekitar 82:18, sama seperti 2014. Perlu dinyatakan bahawa nisbah yang lebih baik telah diunjurkan oleh Menteri Besar Selangor yang baru untuk digunakan sebagai asas belanjawan negeri Selangor 2015.
  1. Meskipun belanjawan Barisan Nasional diramalkan akan mengurangkan defisit negara kepada 3% KDNK pada 2015 daripada 3.5% 2014. Namun belum tampak tanda-tanda permasalahan deficit mampu dibendung.
  1. Pertambahan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri terus meningkat belanjawan ini dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 22.62bn. JPM perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah. Perbelanjaan JPM dibawah PM sekarang adalah tertinggi dalam sejarah.
  1. Kementerian Belia dan Sukan juga tidak terelak dalam mencatatkan kadar peningkatan pembangunan tahunan tertinggi sebanyak 138.5% kepada RM 415juta? Sementara kita akui keperluan latihan dan aktiviti belia, namun acara pesta-pestaan yang membazir wajar dihentikan. Peruntukan sukan perlu diukur dengan keupayaan mengangkat mutu sukan negara.
  1. Saya anggap satu keanihan manakala  terdapat peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah Perbendaharaan bagi penubuhan cawangan Bank Dunia di Malaysia. Bank Dunia seharusnya menyalurkan ransangan tetapi Malaysia memilih untuk menyediakan dana.

KEMURUNGAN EKONOMI DUNIA 

  1. Permasalahan tatakelola lebih merebak tatkala kita berhadapan dengan kemelut ekonomi dunia kini. Umpamanya, dasar Amerika Syarikat untuk menamatkan program ‘Quantitative Easing’ bakal mengakibatkan peningkatan kadar faedah pada pinjaman. Jerman dan Jepun dilaporkan bakal mengalami kemelesetan ekonomi, manakala ketidaktentuan terus menyelubungi ekonomi China akibat dari kejatuhan nilai sektor hartanah dan tahap hutang (credit bubble).
  1. Ketidaktentuan ini bakal menyebabkan kemurungan ekonomi pada rakan dagang utama negara seperti China, Kesatuan Eropah, Jepun dan seterusnya menjejaskan pendapatan eksport Malaysia sebagai sebuah negara dagang.
  1. Tentunya apabila pendapatan eksport terjejas, permintaan domestik harus digalakkan untuk terus menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan. Akan tetapi, beberapa petanda awal menunjukkan bahawa negara juga sedang dilanda kemurungan ekonomi.

PERBELANJAAN NEGARA TERUS TIRIS

  1. Pakatan Rakyat saban tahun telah menegur pihak kerajaan akan amalan boros dan rasuah yang diamalkan kerajaan. Namun begitu, teguran ini adalah ibarat mencurah air ke daun keladi. Saban tahun kita terus menyaksikan pembaziran demi pembaziran dilaporkan dalam laporan Ketua Audit negara. Jika diteliti teguran-teguran Ketua Audit Negara menzahirkan pembaziran dan ketirisan berterusan. Slogan NKRA yang mensasarkan pemberantasan rasuah kekal sebagai slogan semata.
  1. Hutang kerajaan persekutuan untuk 2013 berjumlah RM 569bn atau 53% KDNK, jumlah contingent liability RM 158bn serta anggaran kehilangan dana terkumpul berjumlah RM 1.2 trillion dari Malaysia semenjak 2002 hingga 2011 menurut laporan Global Financial Integrity. Mengapa masalah besar ini tidak disentuh dalam kerangka bajet negara?
  1. Malah, perangkaan Corruption Perception Index meletakkan Malaysia sebagai negara ke-53 dilihat paling rasuah daripada 177 negara, dibelakang Rwanda dan Botswana. Laporan terkini Asia Pacific Fraud Survey Report series 2013 bertarikh Oktober 2014 daripada Ernst & Young mengatakan Malaysia adalah negara paling rasuah di Asia Pasifik selepas China dan lebih gemar mengambil jalan pintas untuk mencapai sasaran ekonomi, akibat peningkatan persaingan dan keadaan ekonomi yang mencengkam.
  1. Kajian Pakatan Rakyat yang dalam belanjawan 2015 mendapati bahawa terdapat 4 komponen perbelanjaan kerajaan persekutuan yang terdedah besar kepada amalan rasuah akibat tatakelola yang lemah. Ianya adalah komponen khidmat dan bekalan, aset, bayaran/kenaan tetap dan belanja pembangunan. Jika diandaikan 15% sebagai kadar ketirisan dan rasuah yang konservatif, pada jumlah perbelanjaan ini, maka sebanyak RM 18bn ke RM 20bn boleh dijimatkan. Ini bersamaan dengan pengurangan angka defisit negara sebanyak 1.5%. Nah, jika ini berlaku, negara tidak perlu pada GST 6% dan langkah pengurangan subsidi petrol yang mendadak.
  1. Penaiktarafan Lebuhraya Pan-Borneo yang dicanangkan setiap tahun semenjak 2010. Ia bermula dengan jarak 2239km dan kos RM 22bn, juga telah diulang kembali dalam ucapan Perdana Menteri. Anehnya jajaran ini kini berjarak lebih pendek, iaitu 1663km tetapi kosnya telah melonjak naik ke RM 27bn (+23%). Perlu ada penjelasan mengapa lebuhraya dipendekkan dan kos meningkat.
  1. Malaysia juga dilihat terperangkap dengan ekonomi nilai rendah dan kini terpaksa pula bersaing dengan negara-negara baru yang struktur kosnya lebih rendah. Akibatnya kadar peningkatan pendapatan rakyat jauh ketinggalan berbanding kadar kenaikan kos sara hidup.
KENYATAAN PENDAPATAN RAKYAT
  1. Angka Jabatan Perangkaan Negara melaporkan bahawa purata kenaikan gaji tahunan semenjak 2010 hingga 2013 hanyalah pada kadar 4% setahun, manakala kos pengangkutan dan makanan (menurut sub-indeks CPI) masing-masing mencatatkan kenaikan yang berterusan pada kadar 5.4% dan 3.6% setahun. Harga rumah kediaman pula naik pada kadar purata 8% hingga 10% setahun.
  1. Akibatnya, rakyat terpaksa berhutang semata-mata untuk menampung perbelanjaan asas. Angka terkini nisbah hutang isirumah keluarga Malaysia kepada pendapatan lebihan (disposable income) adalah pada kadar 140%, antara yang tertinggi di dunia. Jumlah hutang isirumah Malaysia juga telah mencecah 86.6% daripada keseluruhan nilai ekonomi negara, berbading 81% pada tahun 2012.
  1. Laporan awal Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014 ke atas 42,000 isirumah menunjukkan bahawa 50% pewarta berpendapatan kurang daripada RM 4,258 sebulan manakala masih terdapat 28.7% daripada rakyat negara ini yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.
  1. Sejak tahun lalu, karya menarik Thomas Piketty ”Capital In The 21st Century” telah mengundang wacana segar termasuk Paul Krugman dan Joseph Stieglitz. Penekanan tesis beliau adlah tentang pertumbuhan ekonomi tanpa kepedulian dan peningkatan taraf hidup serta pendapatan rakyat terbanyak TIDAK mampan dan mampu dipertahankan. Dalam sidang belanjawan kali ini saya le3bih merujuk penyelidikan Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” ada menggambarkan beberapa realiti pencapaian ekonomi rakyat Malaysia yang akan saya sebut di sini;
    1. Dalam sektor pengilangan dan pekerja bawahan, bumiputera berjumlah 30%, Cina 20% dan India 46% pada tahun 2011. Untuk sektor pengurusan dan professional, Bumiputera hanyalah 15%, manakala Cina 23.4% dan India 16.8%. Masyarakat Melayu/Bumiputera melahirkan kebimbangan kerana terbatas peluang di sektor swasta. Kami merujuk kajian oleh Dr Lee Hwok Aun (Universiti Malaya) dan Dr Muhd Abdul Khalid (UKM) ”Does Race Matter In Getting An Interview” (2012). Manakala masyarakat bukan Melayu mengungkit kerana peluang terhad di sektor awam. Bagi memperbaiki perbezaan ini, ingin saya mencadangkan agar diwujudkan suatu ‘Equal Opportunites Commission’ untuk memastikan bahawa ruang-ruang pekerjaan terus dibuka tanpa mengira kaum bagi mengelakkan pengekalan diskriminasi pekerjaan mengikut kaum.
    2. Perdana menteri ada menyebut akan pentingya negara mempunyai pasaran saham yang rancak. Soalnya siapa yang untung, kerana realitinya lebih 53% rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang aset kewangan dan lebih 70% daripada golongan ini adalah Bumiputera.
    3. Golongan 10% terkaya dilaporkan memiliki 77% aset kewangan negara pada tahap 14,211% lebih tinggi daripada purata rakyat. Manakala 80% rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah hanya memiliki 5.5% daripada aset kewangan.
    4. Walaupun Amanah Saham Bumiputra (ASB) dikhaskan untuk Bumiputra, lebih 55% bumiputra tidak mempunyai akaun ASB. Orang-orang kaya dari kalangan Bumiputra (yang hanya berjumlah 0.2% dari kesemua penabung ASB) memiliki 1.5 kali ganda lebih tabungan ASB dari keseluruhan 80% penabung biasa yang lain.
    5. Majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai aset kewangan dengan indeks Gini melebihi 0.8 untuk kesemua kaum.
    6. Gologan 10% terkaya juga dilaporkan memiliki aset hartanah pada tahap 294% lebih tinggi daripada purata rakyat. Dari segi pemilikan hartanah, 32% daripada penduduk bandar tidak memiliki hartanah manakala kadarnya hanyalah 17% untuk penduduk desa.
  1. Jelas golongan maha kaya terus membolot kekayaan negara. Ingatlah larangan Allah

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).” Al-Hasyr, 7

RASIONALISASI SUBSIDI DAN KESANNYA KE ATAS EKONOMI DAN ISI RUMAH MISKIN MALAYSIA

  1. Kajian daripada Professor Dr Fatimah Kari (Universiti Malaya) juga menunjukkan bahwa nisbah pendapatan pekerja bandar adalah 2 kali ganda melebihi pekerja. Lebih membimbangkan lagi bahawa nisbah ini terus kekal semenjak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan pada 1970-an.
  1. Kajian Dr Lee Hwok Aun, 2013 menunjukkan bahawa pencapaian pendidkan bumiputera di Sabah dan Sarawak lebih jauh ketinggalan daripada kaum Melayu di sana. Lebih kurang 58% kanak-kanak Iban dan 46% kanak-kanak bukan Kadazan hanya berpendidikan tahap sekolah rendah. Sudah tentunya ini akan mengakibatkan pendapatan bumiputera Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan berbanding rakyat di Semenanjung.
  1. Emolumen penjawat awam yang dunjurkan bertambah pada kadar 3.3% untuk 2015 dijangka lebih rendah daripada anggaran CPI kami pada 4%. Oleh itu, penjawat awam dijangka akan merasai himpitan kos sara hidup pada tahun perlaksanaan GST, 2015, meskipun pihak kerajaan mengatakan akan terus membela nasib mereka.

GST SISTEM CUKAI REGRESIF, CGT SISTEM CUKAI PROGRESIF

  1. Ahli ekonomi Perancis, Thomas Picketty menyarankan supaya cukai-cukai yang bersifat progresif (iaitu mencukai golongan kaya dan melindungi golongan miskin) diperkenalkan malah diperkukuhkan.
  1. Mengambil pakai saranan ini, Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menggunapakai kaedah yang paling adil untuk mencukai pelbagai bentuk modal dan keuntungan modal yang diperolehi kerana modal serta keuntungan itu lebih tertumpu di tangan golongan kaya. Kami juga berpendapat bahawa cukai konsumpsi seperti GST yang bakal dikenakan kepada semua hanya akan berkesan apabila kesemua penerima gaji membayar cukai. Lebihan cukai wajar dikenakan kepada penerima gaji yang bergaji besar bagi mengimbangi pengurangan cukai kepada golongan bergaji rendah, apabila cukai konsumpsi dilaksanakan. Dalam keadaan hanya 18% penerima gaji membayar cukai di Malaysia, langkah mengenakan cukai konsumpsi kepada semua amatlah tidak wajar.
  1. Keghairahan kerajaan untuk melaksanakan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang regresif pada kadar 6% perlu dipersoal. Regresif disini bermaksud kesan bebanan cukai akibat GST adalah lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah, berbanding golongan berpendapatan tinggi.
  1. Perbendaharaan Malaysia menganggarkan bahawa isirumah yang berpendapatan kurang RM 4,000 sebulan akan menyaksikan kesan pertambahan perbelanjaan di antara RM 140 hingga RM 700 setahun akibat GST. Manakala, isirumah berpendapatan lebih RM 4,000 sebulan dijangka mencatakakan kenaikan sekurang-kurangnya RM 1,550 setahun.
  1. Ini bermakna GST bakal mengurangkan pendapatan lebihan rakyat terbanyak. Misalnya bagi golongan berpendapatan rendah di bawah RM 4,000 sebulan, 32.6% perbelanjaan bulanan mereka dijangka tertakluk kepada GST, manakala bagi golongan berpendapatan sederhana peratusan ini naik kepada 60%.
  1. GST akan dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbelanja. Pakatan Rakyat menganggarkan bahawa GST akan memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM 8bn untuk 2015. Ini disokong oleh kenyataan dari Jabatan Kastam yang menganggarkan angka RM  5bn ke 6bn dan juga bahagian percukaian KPMG yang menganggarkan RM 9 ke 10bn untuk 2015. Jelas ini berbeda daripada kenyataan Menteri Kewangan bahawa hasil bersih kutipan GST hanyalah RM 0.69bn, kerana sekiranya betul sekalipun, maka apakah gunanya GST dilaksanakan jika pendapatan tambahan hanya kurang dari RM 1bn!
  1. Komuniti perniagaan juga banyak menyuarakan kebimbangan bahawa sekiranya GST dilaksanakan, kelewatan pembayaran rebat GST dapat menjejaskan aliran tunai (cashflow) syarikat. Sekiranya kelewatan pembayaran berlaku, maka para peniaga terpaksa menaikkan harga barang bagi memastikan aliran tunai yang baik dapat dikekalkan. Sebab inilah Pakatan Rakyat tetap berkeras bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang yang bakal menekan rakyat.

KELEBIHAN CGT BERBANDING GST

  1. Cukai Keuntungan Modal (CGT) seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat akan hanya dikenakan pada sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mendapat keuntungan daripada urusniaga melibatkan modal seperti saham, instrumen kewangan dan bon. Walaupun bilangan yang bakal dicukai CGT adalah jauh lebih sedikit daripada GST, Pakatan Rakyat menganggarkan pengenalan CGT akan berjaya mengutip cukai permulaan dalam tahun 2015 sebanyak RM 3bn.
  1. Sudah tentunya golongan yang dicukai CGT ini berpendapatan besar kerana mereka tentunya mempunyai lebihan pendapatan untuk dilaburkan dalam urusniaga berisiko tinggi seperti saham dan bon. Tidak wujud kerisauan bahawa CGT akan merencatkan pelaburan kerana Amerika Syarikat dan United Kingdom kekal menjadi hab pelaburan kelas dunia walaupun masing-masing mempunyai kadar CGT yang tertinggi di dunia pada 50.8% dan 46.7%.
  1. Malahan, jika CGT dikenakan kepada para spekulator saham maka pasaran saham akan tertebat daripada aktiviti spekulasi. Ini akan mencerminkan asas sebenar syarikat-syarikat yang disenaraikan dan menjamin kestabilan pasaran. Pasaran saham yang stabil juga akan menarik minat lebih banyak institusi-institusi asing dengan modal yang lebih besar untuk melabur dalam syarikat-syarikat Malaysia untuk jangka masa panjang.
  1. Matlamat utama polisi percukaian Pakatan Rakyat adalah untuk mengekalkan kadar cukai pendapatan yang rendah dan pada masa yang sama meningkatkan nisbah pendapatan cukai kepada KDNK. Dalam kata lain, jumlah cukai ditingkatkan dengan menggalakkan peningkatan jumlah pembayar cukai tetapi mengurangkan kadar cukai bagi setiap pembayar secara keseluruhan.
  1. Untuk memastikan ini berjaya dilakukan, taraf hidup majoriti rakyat miskin mesti ditingkatkan, golongan elit yang mengelak membayar cukai mesti terus diburu dan segala kelemahan di dalam sistem percukaian perlu diperbaiki untuk memudahkan rakyat membayar cukai.

KADAR SIFAR (ZERO-RATED) DAN TIDAK DIKENAKAN (EXEMPTED)

  1. Kefahaman mengenai barangan kadar sifar (zero-rated) dan barangan tidak dikenakan cukai (exempted) perlu diterapkan kepada rakyat. Perbezaan antara keduanya adalah, barangan berkadar sifar (zero-rated) tidak akan terdedah kepada risiko kenaikan harga, manakala barangan yang dikatakan tidak dikenakan cukai (exempted) boleh dinaikkan harganya kerana para peniaga enggan menelan kos-kos akibat perlaksanaan GST.
  1. Perdana Menteri ada menyebut beberapa barangan makanan dan ubat-ubatan yang tidak dikenakan GST. Kami percaya barang-barang ini akan mengalami kenaikan harga kerana kenaikan kos komponen-komponen dan perkhidmatan lain yang tidak dikenakan cukai digunakan dalam rangkaian pembuatannya. Mengambil kenyataan dari Presiden Malaysian Automotive Association (MAA) baru-baru ini bahawa: “It is not correct to say that car prices will come down simply because the current 10% sales tax will be replaced by a 6% GST come April next year. Under the GST system there will be a different implication to businesses in various areas ranging from tax computation, collection, refunds, reconciliation, costing, etc. when compared to the existing Sales and Services tax regime. As such, vehicle distributors would need to review their entire cost structures and supply chain in the light of these implications.”
  1. Penting juga dinyatakan bahawa jumlah kutipan daripada barang-barang yang dikenakan GST adalah RM 23.3bn manakala jumlah kutipan daripada barang-barang yang tidak dikenakan cukai hanyalah RM 3.8bn. Jelas, barang-barang yang akan dikenakan GST adalah lebih banyak bilangannya.

BR1M TIDAK CUKUP MENAMPUNG KESAN GST

  1. Pada pembentangan yang lalu Perdana Menteri ada menyebut bahawa BR1M akan dinaikkan dari RM650 kepada RM 950 untuk isirumah berpendapatan bulanan RM 3,000 ke bawah. Manakala untuk isirumah berpendapatan di antara RM 3,000 dan RM 4,000 sebulan nilai BR1M ditingkatkan daripada RM 450 kepada RM 700.
  1. Perbendaharaan Malaysia menganggarkan bahawa isirumah yang berpendapatan kurang RM 4,000 sebulan akan menyaksikan kesan pertambahan perbelanjaan di antara RM 140 hingga RM 700 setahun akibat GST. Jelas, sebahagian besar daripada BR1M terpaksa digunakan untuk menampung bebanan cukai GST.

KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK 40sen/liter SEMENJAK PRU13

  1. Pengumuman bahawa subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan sebanyak 40sen/liter semenjak PRU13, dianggarkan akan memberikan penjimatan tambahan kepada kerajaan hampir RM 9bn untuk 2015. Mengikut anggaran kami, setiap 10sen/liter pemotongan subsidi petrol dan diesel bersamaan dengan penjimatan subsidi hampir RM 2.2bn setahun.
  1. Bagi pengguna Myvi dan proton Exora (kenderaan paling popular di Malaysia), berdasarkan andaian jumlah perjalanan 15,000km setahun, masing-masing akan mencatatkan kenaikan kos petrol tahunan sebanyak RM 428 dan RM 812 akibat pengurangan subsidi 40sen/liter. Walaupun kelihatan kecil, jumlah ini cukup untuk membiayai perjalanan pergi-balik KL ke Alor Setar sebanyak 4 kali setahun. Besar kemungkinan pemandu-pemandu ini juga adalah penerima BR1M. Jika ditambah dengan kenaikan kos petrol dan juga bebanan cukai GST ternyata rakyat masih perlu berbelanja lebih daripada pemberian BR1M.
  1. Berdasarkan laporan Maybank Research, dianggarkan juga sebanyak 3.5bn liter diesel diseludup setiap tahun. Ini bersamaan dengan 35% daripada jumlah penggunaan diesel negara dan subsidi yang dibazirkan berjumlah hampir RM 1.5bn setahun. Justeru perlu ada lebih banyak usaha daripada pihak kerajaan untuk mengurangkan pembaziran sebegini.
  1. Penjimatan RM 9bn setahun ini juga adalah jauh lebih kecil daripada penjimatan yang bakal diperolehi sekiranya hanya 15% (bernilai minima RM 18bn) daripada ketirisan perbelanjaan kerajaan persekutuan diberhentikan. Nyata, kerajaan terus menekan rakyat akibat kelemahan tatakelola dan pengurusan di pihak mereka.

PENGURANGAN  KADAR CUKAI, MENGUNTUNGKAN SIAPA?

  1. Langkah Perdana Menteri untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan amatlah dialu-alukan. Walaubagaimanapun, tindakan mengurangkan kadar cukai maksimum 26% kepada 24%, 24.5% dan 25% serta menaikkan kadar maksimum kepada RM 400,000 daripada RM 100,000 dilihat masih tidak dapat merapatkan kesenjangan pendapatan yang semakin melebar di negara ini.
  1. Sebagai contoh, isirumah (4 orang) yang berpendapatan RM 4,000 sebulan atau RM 48,000 setahun akan hanya mencatatkan penjimatan cukai sebanyak RM100 setahun. Golongan hartawan seperti Pengarah Eksekutif Genting Berhad yang berpendapatan RM 136juta setahun (pada 2013), dapat menjimatkan hampir RM 3juta sekiranya kadar cukai pendapatan beliau dikurangkan daripada 26% kepada 24%.
  1. Inilah bukti, bukan retorik, bahawa kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan mesra maha kaya dan mengenepikan kepentingan rakyat terbanyak. Justeru, CGT lebih wajar dilaksanakan untuk memastikan golongan maha kaya ini dicukai sewajarnya bagi menambah pendapatan negara.

KOMITMEN PAKATAN RAKYAT UNTUK MENAMBAH PENDAPATAN RAKYAT

  1. Mengenalpasti keperluan untuk menambah pendapatan rakyat, Pakatan Rakyat dalam belanjawan 2015 telah menyatakan komitmen untuk mencapai nisbah pendapatan kepada KDNK kepada 50% pada 2020.
  1. Hasrat kerajaan Barisan Nasional (bukan komitmen) pula seperti yang disebut Perdana Menteri dalam ucapannya; “…adalah menjadi hasrat kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34% pada masa ini kepada 40% daripada KDNK menjelang 2020”.
  1. Bandingkan betapa berbedanya komitmen kami berbanding dengan hasrat kerajaan yang juga ditetapkan pada tahap yang lebih rendah.
  1. Diantara langkah drastik yang kami unjurkan adalah untuk memperluaskan skop dan bidang kuasa Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan (National Wages and Consultative Council) dengan memberikannya mandat dan kuasa membina consensus menetapkan kadar kenaikan gaji tahunan keseluruhan bagi semua pekerja dan industry di Malaysia (berbanding skop sekarang yang hanya menetapkan gaji minima). NWCC ini perlu diwakili secara tripartite-plus iaitu wakil daripada pihak majikan, pekerja, masyarakat sivil dan kerajaan.

KELEMAHAN TATAKELOLA, KETIDAKTELUSAN

  1. Belanjawan yang hanya dihiasi angka-angka besar tanpa disiplin tatakelola yang baik sudah pasti tidak akan dapat mencapai matlamat pengagihan hasil negara untuk dinikmati rakyat terbanyak.
  1. Laporan daripada juruaudit antarabangsa seperti KPMG, Ernst & Young dan juga penemuan didalam laporan Ketua Audit negara perlu dipandang serius dan beberapa pembaikan perlu dilakukan segera.
  1. Dalam keadaan ekonomi yang berdefisit, serta tanggungan hutang negara pada tahap RM 569bn, setiap sen pendapatan haruslah dibelanjakan sebaiknya. Suatu proses tatakelola yang didasarkan kepada usaha yang ikhlas dan serius amat diperlukan bagi memerangi rasuah.
  1. Ukuran sebenar keikhlasan dan kesungguhan Dato’ Sri Najib memerangi rasuah adalah jumlah ahli politik yang didakwa dengan kesalahan rasuah sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Angka terkini daripada YB Senator Dato’ Paul Low menunjukkan hanya 9 orang ahli politik yang disiasat dan hanya 5 akhirnya didakwa semenjak 2010 hingga Ogos 2013.
  1. Negara digemparkan dengan pertuduhan rasuah oleh orang kedua terkaya di Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan kepada adik-beradik Maran ketika mereka di Kementerian Komunikasi India bernilai hampir RM 700juta untuk kepentingan didalam Aircell melalui Astro All Asia Networks (AAAN) Plc, yang kini difailkan di New Delhi. Apabila Khazanah Nasional memegang 21% daripada saham AAAN, maka akan adakah siasatan dilakukan SPRM ke atas Khazanah dan juga pemegang saham utama AAAN iaitu Usaha Tegas Entertainment Systems Sdn Bhd (42.3%) untuk penjelasan transaksi ini kiranya ia benar berlaku? Apakah SPRM akan menyiasat bagaimana Tan Sri Ananda memenangi bidaan lesen operator mudah alih MAXIS di Malaysia, sekiranya beliau dengan berani boleh merasuah kakitangan kerajaan asing?
  1. Bagaimana pula dengan 1MDB yang dibenarkan untuk terus berhutang walaupun pinjaman terkininya bernilai RM 36.25bn dan ianya juga tidak mempunyai aliran tunai sepertimana perniagaan-perniagaan yang biasa. Bagaimana 1MDB boleh diberikan projek 3B yang bernilai RM 11bn dan ura-ura bahawa sebuah janakuasa gas di Melaka juga telah diberikan secara rundingan langsung dengan TNB?
  1. Walaupun dibebani hutang, 1MDB dijangka akan menyenaraikan aset tenaganya di Asia menerusi Virtus Energy yang dianggarkan menjana RM 16.5bn (IPO terbesar Asia) pada Januari 2015. Adakah ini bertujuan untuk menjana dana bagi membayar hutang-hutang awalnya (bail-out)?
  1. Sekiranya Perdana Menteri sanggup mengungkap sabda nabi Muhammad:

Diampuni bagi orang yang syahid semua dosa kecuali hutang-riwayat Muslim
bagi menggesa para graduan universiti kita untuk segera membayar balik hutang PTPTN mereka, perlu juga beliau menyampaikan sabda ini kepada 1MDB agar ia membayar balik hutang-hutangnya sebelum 1MDB benar-benar menjadi 1Malaysia Debt of Billions.

  1. Dalam Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA), Pakatan Rakyat tidak menentang dagangan bebas, tetapi perdagangan bebas haruslah adil dan tidak berat sebelah. Bagaimana kita hendak menilai kedudukan rundingan TPPA apabila kita tidak dibekalkan dengan angka cost-benefit dan segala maklumat bertulis? Ahli-ahli Parlimen kami, rakyat dan juga industry tempatan dibiarkan dalam kegelapan tanpa sebarang penjelasan, kononya rundingan ini penuh kerahsiaan. Amerika diwakili oleh lebih 400 penasihat lantikan, peguam dan pakar dari pelbagai industri Malaysia. Kami telah berkali-kali menggesa pihak kerajaan untuk melantik pakar-pakar tertentu dari dalam dan luar negara untuk memastikan kita dapat mendepani proses rundingan ini dengan lebih cekap dan memastikan industri kecil dan sederhana di Malaysia mendapat imbuhan yang adil (fair deal).

PERGANTUNGAN KEPADA HASIL MINYAK & GAS

  1. Pergantungan kepada hasil tahunan minyak dan gas yang kini membentuk 31% daripada pendapatan kerajaan persekutuan ini berbahaya kerana 2 sebab utama:
  1. Pertama, ianya memberikan gambaran seolah-olah kedudukan ekonomi negara adalah baik sedangkan kerajaan terus gagal membina industry yang lebih mampu bertahan. Pendapatan negara juga terus terdedah kepada turun naik harga minyak di pasaran antarabangsa.
  1.  Keduanya, pergantungan ini akan terus melemahkan kedudukan kewangan PETRONAS secara mendadak apabila keuntungganya dipindahkan oleh kerajaan persekutuan untuk perbelanjaannya yang sememangnya diketahui tiris. Kewangan yang lemah ini akan merencatkan kebolehan PETRONAS untuk bersaing di peringkat antarabangsa untuk meneroka dan membeli rizab minyak dan gas yang baru untuk negara.
  1. Oleh itu, Pakatan Rakyat mencadangkan agar kerajaan persekutuan perlu meletakkan sasaran yang drastik untuk mengurangkan pergantungan ini dalam tempoh 5 tahun. Langkah-langkah khusus juga perlu dilaksanakan segera untuk memastikan pengurusan hasil ini dilakukan dengan penuh ketelusan dan kebertanggungjawaban.

MEMPERBAIKI PENGANGKUTAN AWAM

  1. Bajet 2015 telah mengumumkan beberapa projek infrastruktur, antaranya termasuk tiga projek lebuh raya yang berkaitan dengan negeri Selangor, iaitu: Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Pantai Barat (LBP) dari Taiping ke Banting. Khusus untuk projek SUKE dan DASH, saya ingin menegaskan dalam dewan yang mulia ini bahawa pembinaan lebuh raya sahaja bukan jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan memandangkan penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur masih terpaksa bersesak biarpun jaringan lebuh raya bertol banyak dibina. Lebih inisiatif patut diambil bagi memastikan penyediaan sistem pengangkutan awam yang sempurna.
  1. Kita juga mencadangkan agar pihak kerajaan mengkaji dan menggunapakai konsep ‘Bus Rapid Transit’ seperti yang diamalkan di Colombia dan Brazil untuk menyelesaikan masalah penghubungan (connectivity) diantara stesen-stesen MRT dan LRT untuk keselesaan rakyat. Sistem ini terbukti berkesan untuk menyelesaikan masalah feeder bus yang ada kini.

RAJA BERPERLEMBAGAAN DAN DEMOKRASI BERPARLIMEN

  1. Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong  dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mempunyai kedudukan yang istimewa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu raja atau sultan harus patuh dan bertindak seiring dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan yang istimewa ini juga bererti bahawa YDP Agong dan raja-raja merupakan institusi yang neutral dan tidak melibatkan diri dalam hal-hal politik.
  1. Malaysia telah menyaksikan berakhirnya sistem beraja mutlak apabila pemimpin-pemimpin negara yang mendapat kemenangan dalam Pilihanraya Umum 1955 telah membuat keputusan bahawa sistem politik dan pentadbiran di negara ini adalah Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Sistem ini adalah formula yang ditinggalkan Suruhanjaya Reid yang menjadi rujukan negara kita sejak itu, baik di peringkat Persekutuan atau di negeri-negeri. Sistem ini menjadi pilihan kerana negeri-negeri Melayu pada ketika itu yang diperintah oleh Raja-Raja Melayu dilihat sangat lemah dan gagal untuk membawa keamanan dan menguatkuasakan undang-undang yang akhirnya terpaksa meletakkan negeri di bawah telunjuk kuasa-kuasa asing seperti British dan lain-lain.
  1. Sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu pada ketika itu adalah sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan bertulis. Untuk rekod, saya pernah menyebut tentang ‘feudalisme’ di dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO Yang Ke-51 di mana saya sebut bahawa Dato’ Onn Jaafar pernah berkata konsep kemerdekaan di negara ini bukan beerti menghidupkan semula feudalisme. Ini juga harus jelas bahawa mengkritik feudalisme dan menggesa supaya menukar cara berfikir tidak sama dengan menggesa supaya institusi beraja dihapuskan.
  1. Pokoknya, kekuatan pemerintah itu mestilah berdasarkan sokongan dan dokongan rakyat. Konsep ini jugalah yang dianjurkan Pakatan Rakyat dimana kepentingan rakyat dinobatkan menjadi asas kekuatan. Apa saja keputusan haruslah berlandaskan Perlembagaan dan selari dengan kehendak rakyat. Rakyat berkuasa mengangkat kita ke atas, dan rakyat juga berkuasa untuk menurunkan kita.
  1. Dr Siddiq Fadzil dalam bukunya ‘Melayu dan Islam: Martabat Umat dan Daulat Rakyat’ merujuk kepada peringatan Raja Ali Haji (pengarang kitab Tuhfat-al  nafis) dalam bukunya “Thamarat al- Mahammah”:Raja Ali Haji mengingatkan makna raja bukan membuat apa sukanya di atas rakyatnya, tetapi merujuk pengertian tiga istilah politik Islam; khalifah, sultan dan imam. Raja dalam pengertian khalifah bermaksud pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi. Raja dalam pengertian sultan pula sebagai penguat kuasa keadilan dan undang-undang dan Raja dalam pengertian imam pula dimaknai sebagai pemimpin dan ikutan.”

PENUTUP

  1. Saban tahun belanjawan negara dibentangkan dan kami selaku pembangkang mewakili rakyat, saban tahun juga akan terus membahasnya bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela. Permasalahan kesempitan hidup rakyat akibat kebobrokan dasar-dasar kerajaan yang mesra golongan maha kaya perlu diatasi. Apakah gunanya kita terus mengejar kebendaan tanpa segan silu akan halal-haram cara perolehannya.
  1. Memimpin negara suatu amanah. Ingatlah bahawa setiap kita datang dari Allah dan pastinya kita akan kembali kepada-Nya jua;

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudia Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat), akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)” Al-baqarah, 28


  1. Permasalah kesenjangan pendapatan wajib ditangani kerana masalah ini dilihat semakin meruncing wujud dalam setiap kaum, di antara kaum dan diantara lokasi di Malaysia.
  1. Ingin saya cadangkan disini agar suatu ‘Budget Oversight Committee’ yang dianggotai kerajaan dan pembangkang diwujudkan dengan kuasa untuk memastikan setiap yang dijanjikan kerajaan, dikotakan dengan betul dan telus. Ini penting bagi memastikan tatakelola yang baik dapat diterapkan. Berdosa kita sekiranya kita mewariskan bebanan hutang dan ekonomi yang rosak kepada generasi akan datang.