
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen menahan 26 pendatang tanpa izin semasa mereka melaporkan diri bagi memulakan kerja sebagai kedi wanita di sebuah kelab golf terkemuka di Kulaijaya, hari ini. Semua wanita warga Indonesia berumur antara 21 dan 46 tahun itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Johor, Mohd Nakhafi Hasan, dalam satu kenyataan berkata, wanita terbabit mendakwa ditipu ejen pekerja asing bagi mendapatkan permit pekerjaan.
"Akibat gaji RM500 mereka akan dipotong sebanyak RM400 oleh ejen terbabit setiap bulan bagi urusan permit, mereka dipercayai menawarkan khidmat seks pada sebelah malam bagi menampung kos hidup," katanya. "Ops Kutip" hasil maklumat awam itu berakhir dalam masa sejam dan wanita terbabit dibawa ke ibu pejabat Imigresen Johor di Taman Setia Tropika di sini untuk siasatan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan. Mereka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali kerana kesalahan tersebut. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan