Melalui
laman sosial Facebook dan Twitter milknya, Najib Razak menulis pagi
tadi bahawa beliau kini berada di Thailand setelah mengadakan
perbincangan dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri negara itu,
Jenderal Prayuth Chan-ocha semalam.
Perbincangan
itu dikatakan berkaitan banjir serta menyampaikan ucapan terima kasih
kepada rakan sejawatannya itu atas sumbangan yang dihulurkan bagi
membantu mangsa banjir di Malaysia.
Katanya lagi, mereka juga bertukar pandangan tentang langkah pemulihan dan pengalaman Thailand dalam menghadapi bencana banjir.
Kali
terakhir Najib dilihat berada di dalam negara ialah pada malam tahun
baru di mana beliau berada di sebuah masjid di Pengkalan Kubur,
Kelantan. Selepas itu, berita mengenainya senyap begitu saja dan tiada
sesiapa tahu ke mana beliau menghilang.
Beradanya
Najib di Thailand dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri
Thailand hanya diketahui kerana hebahan yang dilakukan sendiri oleh
Perdana Menteri melalui laman sosial miliknya. Jika tidak, mungkin ramai
yang menyangka beliau berehat saja di Seri Perdana setelah menghabiskan
banyak masa meninjau mangsa banjir di seluruh negara hampir seminggu
sebelum ini.
Kenapa
Najib pergi ke Thailand secara senyap-senyap? Adakah ia lawatan rasmi,
kunjungan peribadi atau menyambung percutian di Hawaii yang tergendala
sebelum ini?
Kalau
lawatan rasmi, siapa anggota rombongannya dan kenapa tiada wartawan
ikut serta dan tiada juga laporan berita mengenai pemergiannya itu
sedangkan yang ditemuinya adalah Perdana Menteri Thailand?
Mengapa
juga tiada gambar Najib bersama Perdana Menteri Thailand sedangkan
sebelum ini beliau amat gemar memuat-naik gambarnya bersama pelbagai
personaliti di media sosial miliknya?
Jika
bercuti pula, kenapa dilakukan secara sembunyi dan tidak diketahui oleh
sesiapa? Jika dimaklumkan, sama ada kerana lawatan rasmi atau bercuti,
tentu ramai yang ingin menghantar dan mencium tangannya di lapangan
terbang.
Sebelum
ini, pemergian Najib bercuti ke Hawaii juga dilakukan secara rahsia dan
ia hanya diketahui ramai apabila gambarnya bermain golf bersama
Presiden Amerika, Barack Obama didedahkan oleh media antarabangsa.
Pemergian
Najib ke Thailand dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya
tiadalah apa-apa yang istimewanya jika tidak diketahui pesawat khas yang
membawanya ke Hawaii sebelum ini, turut sedang singgah di Bangkok
ketika ini.
Melalui
laporan laman penjejak pesawat, FlightRadar 24, pesawat khas kerajaan
dengan nombor pendaftaran 9M-NAA itu yang ditinggalkan ketika Najib
kembali sendirian untuk meninjau keadaan banjir dalam negara, dilaporkan
terbang daripada Hawaii - Indianapolis - Los Angelas - New York -
London - Dubai dan destinasi terakhirnya dikesan semalam ialah di
Bangkok, Thailand.
Sejak
itu, timbul percakapan bahawa jet itu sedang digunakan oleh isterinya,
Rosmah Mansor yang tidak kembali bersama-sama dengan Najib untuk
meninjau suasana banjir sebelum ini.
Apabila
FlightRadar24 mengesan jet itu singgah di Bangkok, ramai yang
tertanya-tanya siapakah yang sedang menggunakannya dan apa yang
dilakukannya di ibu negara Thailand itu?
Tetapi
apabila pagi tadi Perdana Menteri sendiri memaklum beliau berada di
Thailand selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand,
teka-teki orangramai mengenai kehilangan Najib sejak dua hari lalu,
misteri jet singgah di Bangkok dan segala hal berkaitan dengannya
bagaikan sudah mula terjawab.
Cuma
timbul persoalan, apakah perancangan Najib pergi ke Thailand sudah lama
dilakukan atau semata-mata untuk "menjemput" pesawat khasnya di Bangkok
dan kemudian kembali ke dalam negara menaiki jet mewah itu bersama-sama
isteri dan ahli keluarganya yang lain?
Mungkinkah
pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand juga baru saja dirancang,
seiring dengan kebetulan beliau mahu pergi ke negara itu?
Dengan
Najib sendiri mengesahkan beliau berada di Thailand dan jet 9M-NAA juga
"kebetulan" berada di negara itu, janganlah terperanjat jika
kembalinya ke dalam negara dalam waktu yang singkat ini, orang pertama
yang melangkah keluar daripada jet itu nanti ialah Najib sendiri.
Mungkin
juga media akan dijemput secara besar-besaran untuk merakam gambarnya
keluar daripada jet bagi membuktikan selama ketiadaannya, tiada sesiapa
selainnya menggunakan jet itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan