Perutusan Maulidur Rasul 1436 Hijrah
Sirah Rasulullah S.A.W memperihalkan betapa kebijaksanaan Baginda
selaku pemimpin masyarakat menyelesaikan perseteruan kalangan kabilah
Arab Quraisy melalui peletakan Hajarul Aswad serta menggagas penggubalan
Sahifah Madinah sebagai pemupukan ukhuwah Islamiyyah antara Ansar dan
Muhajirin.
Keperibadian Baginda yang sederhana namun bersifat strategis dan
ikonik jelas merupakan teladan terbaik bagi sekalian umat Islam. Inilah
yang seharusnya dicontohi dan dimaknai oleh sekalian pemimpin Islam
khususnya dalam meraikan jamak budaya tanpa mengkesampingkan nilai-nilai
Islami yang bersifat sarwajagat.
Menguruskan kepelbagaian tidak harus bersandar kepada slogan dan
cogankata semata-mata, tidak juga bersifat obses melulu pada agenda
sempit dengan mengatasnamakan agama. Sebaliknya ia memerlukan
kesungguhan dan pemaknaan yang betul ke atas prinsip-prinsip Islam yang
akhirnya diterjemahkan dengan istiqamah, adil dan saksama.Inilah cabaran terbesar kita: menyantuni kepelbagaian dan memimpin
ummah dengan iktibar kepemimpinan Rasulullah S.A.W sebagai pedoman. Ini
menepati penegasan Al-Quran menerusi Surah Al-A’raf ayat 157:Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan
memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang
diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Salam Maulidur Rasul 1436 Hijrah buat sekalian umat Islam Malaysia.
Semoga Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mengukuhkan kecintaan kita
kepada Baginda seterusnya mengembalikan kita kepada fitrah Islami yang
menganjurkan keadilan, kedamaian, dan kesederhanaan.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan