KUALA LUMPUR 30 MAC : Wakil MIC datang ke rumah S. Sugumar dan meminta kedua ibu bapanya segera mengebumikan mayat mendiang sebagai cubaan menutup kes, kata sepupu kepada mangsa keganasan polis itu.
“Wakil MIC dah datang dua kali ke rumah dan cuba hasut supaya segera kebumikan Sugumar. Mereka cuba mainkan emosi ibu bapa yang sudah tua dan elak jumpa kami yang masih muda,” kata Anand Thakannan, 40.
Anand berkata, ibu kepada Sugumar juga mendakwa wakil daripada MIC itu menawarkan sejumlah wang untuk mempercepatkan upacara pengkebumian, namun ditolak keluarganya.
“Saya takkan benarkan mereka beli keadilan dengan duit,”
“Kalau MIC betul-betul ikhlas mahu membela nasib kaum India, mereka bekerjasama dengan kami dapatkan keadilan untuk Sugumar, bukan hasut tutup kes,” katanya kesal dengan parti yang kononnya membela kaum India itu.
Dalam kejadian di Hulu Langat Januari lalu, Sugumar yang juga pengawal keselamatan dipukul sekumpulan individu dalam keadaan bergari, selepas dikejar beberapa anggota polis. Saksi mendakwa polis turut memijak tengkuk mangsa dan melumurkan mukanya dengan kunyit.
Laporan bedah siasat Hospital Serdang menyatakan mangsa mati akibat serangan jantung. Namun ditolak keluarga mangsa dan mahu pakar bedah Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, melakukan bedah siasat kedua ke atas mangsa.
Sehingga kini, kerajaan enggan melayan tuntutan berkenaan dan Mayat Sugumar hari ini genap 65 hari diletakkan di bilik mayat Hospital Serdang.
Anand ketika dihubungi Keadilan Daily turut mendedahkan nama dua anggota polis yang terlibat memukul Sugumar sehingga mati.
“Sarjan Lotfi adalah Ketua Balai Polis Batu 14 Hulu Langat yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan ini, dan Koperal Khalid adalah pegawai yang memijak leher Sugumar. Kami mahu dua polis ini disiasat terutama pegawai yang memijak leher beliau sehingga mati,” Tegas Anand.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Undang-undang KEADILAN, S Jayathas berkata, satu demonstrasi menuntut keadilan kepada Sugumar bakal diadakan minggu hadapan.
Demonstrasi di hadapan pejabat perdana menteri itu akan menyaksikan perarakan masuk ‘keranda sugumar’ selepas lebih 65 hari dibiarkan di Hospital serdang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan