KUALA LUMPUR 12 APRIL: Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, KEADILAN menerima maklumat ‘ugutan serius’ terhadap keselamatan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“KEADILAN terima maklumat yang sangat membimbangkan, iaitu ancaman keselamatan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti, semalam.
Justeru katanya, pertemuan langsung dengan Ketua Polis Negara (KPN) perlu disegera untuk mendedahkan identiti dan sumber maklumat tersebut.
“Kami menilai info ini sebagai satu perkara serius. Maklumat mengenai potensi ancaman tak boleh dipandang ringan.
“Kita akan maklum (kepada media) bila KPN sedia bertemu. Sebab itu saya memilih untuk menulis sekali lagi untuk (pertemuan) pada bila-bila masa (mengikut) kelapangan Tan Seri (Ismail Omar),” kata Saifuddin.
Ditanya pemberita mengapa laporan polis tidak dibuat, Saifuddin menjelaskan KEADILAN berpengalaman membuat puluhan laporan polis beserta bukti. Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap penyerang dan provokator.
Tambahnya, surat permohonan pertemuan dibuat sejak 13 Mac, tetapi masih tidak dibalas.
“Kena terus jumpa langsung, hanya dengan KPN yang boleh,” kata Saifuddin sambil memberi jaminan akan mendedahkan jenis ancaman dan butirannya selepas pertemuan dengan Ismail. – SDQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan