SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Jumaat, 10 Oktober 2014

Ekonomi Malaysia 2015 sangat mencabar

 
DENGAN pelbagai ketidaktentuan, khasnya rakan dagangan utama Cina yang menampakkan ekonomi yang mula perlahan dan kesan akibat dasar Amerika untuk menamatkan dasar ‘Quantitatve Easing’ yang meninggalkan kesan buruk kepada ekonomi negara membangun. Begitu juga kesan langsung konflik di Timur Tengah dan Ukraine-Rusia ke atas harga minyak mentah.

Pencapaian pertumbuhan ekonomi 6.4% dalam suku kedua tahun ini selepas mencapai pertumbuhan 6.2% dalam suku pertamanya adalah agak terpencil apabila dibandingkan dengan rekod pencapaian ekonomi Barisan Nasional sepanjang perlaksanaan RMK10. Dalam tempoh itu, Barisan Nasional gagal mencapai sasaran yang mereka tetapkan sendiri yakni 6%. Pertumbuhan sepanjang 5 tahun lalu antara adalah di antara 4.5% hingga 5.5%.

Ramalan untuk setengah tahun terakhir 2014 juga dijangka tidak memberangsangkan terutamanya akibat penguatkuasaan GST pada April 2015 yang akan menjejaskan sentimen berbelanja pengguna. Ini sekaligus mengurangkan permintaan domestik.

Suka diingatkan faktor permintaan domestik dan faktor peningkatan eksport bertanggungjawab memacu pertumbuhan dalam dua suku pertama tahun 2014 ini. Dengan faktor sentimen pengguna yang dijangka terjejas dan faktor ekonomi serantau seperti di atas, adalah ramalan pertumbuhan 2014 akan berada di antara 5.5% ke 5.8% adalah munasabah.

Gambaran kedudukan ekonomi negara dapat diukur dengan prestasi harga Minyak Mentah Sawit (CPO) untuk enam bulan lalu. Pada September 2014, harga CPO terus menjunam ke paras serendah RM2,000 satu metrik ton. Penurunan sebegini memberi kesan yang sangat besar kepada ekonomi negara kerana sektor eksport CPO ini menjana RM80 bilion setahun dan melibatkan 400,000 pekerja. Dengan 113,000 peneroka Felda yang berkongsi hasil buah mereka, pendapatan mereka pastinya lebih terjejas. Dengan itu, permintaan domestik desa tentunya juga akan merosot.

Kedudukan rakyat di bandar tidak juga menunjukkan keadaan lebih baik. Hutang isirumah telah mencapai ke tahap 89.2% KDNK dalam Julai tahun ini. Kajian FOMCA memberi pecahan jenis pinjaman seperti berikut: pinjaman perumahan 29%, pinjaman kenderaan 51%, pinjaman peribadi 15% dan pinjaman pelajaran 33%.

Kami juga berpendapat bahawa inflasi ‘sebenar’ berbanding angka rasmi Indeks Harga Pengguna (atau CPI) sebenarnya berbeza hingga 100 ke 200 mata asas. Mengikut laporan ekonomi Reuters, dalam tahun 2015 CPI akan melonjak ke 3.2% sementara CPI untuk makanan berada di tahap tinggi iaitu 4.5% dan pengangkutan pada 5%.

Rakyat lebih memahami himpitan inflasi di akar umbi. Harga secawan kopi kini ialah RM1.80 sementara sekeping roti canai sudah mencecah RM1.20. Dengan GST, secawan kopi akan naik sehingga RM2.00 dan sekeping roti canai kepada RM1.30. Ramalan perbelanjaan akan meningkat sebelum GST dan menurun selepas pelaksanaannya. Keseluruhannya kami meramalkan perbelanjaan sektor runcit dan barangan pengguna akan berkurang pada tahun 2015 nanti.

Kelompok kelas menengah sebelum ini telah berbelanja secara kredit atau menggunakan pinjaman ketika kadar faedah rendah semasa regim ‘Quantitative Easing’ (QE) bermula 2010-2013. Sebahagian besar telah digunakan membeli dan melabur dalam sektor hartanah.

Secara tidak disengajakan, kenaikan hartanah ini telah menimbulkan kesan buruk kepada golongan berpendapatan rendah. Apabila Amerika Syarikat memutuskan untuk menamatkan regim QE, ini serentak akan menyaksikan peningkatan kadar faedah. Akhirnya kelompok kelas menengah akan terasa tertekan ketika harga hartanah mula turun berikutan penamatan QE ini.

Hutang kerajaan Persekutuan juga dilaporkan telah melepasi had yang dibenarkan undnag-undang pada Ogos 2014 lalu yakni 55% KDNK yang mereka sendiri tetapkan seumpama dalam Akta Pinjaman Tempatan 1959. Pada 2013 hutang kerajaan Pusat adalah pada paras RM540 bilion bersamaan 54.7% KDNK. Ketika itu hutang yang dipinjam secara tidak langsung oleh kerajaan (selalu disebut “contingent liability”) berada pada paras RM157 bilion atau 15.9% KDNK.

Sementara syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (atau GLC) yang menanggung hutang yang dijamin Kerajaan Persekutuan tidak diramalkan akan menjadi hutang tidak berbayar atau ‘NPL’; keyakinan yang sama tidak wajar diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hutangnya telah mencecah RM40 bilion. 1MDB kini telah menjadi ‘ikon’ atau mercu tanda segala kebobrokan tadbir urus kewangan Barisan Nasional.

Adalah sedia diakui selama ini Malaysia berada di dalam ‘zon selamat’ apabila dilihat dari segi mencatatkan lebihan dagangan (atau ‘trade surplus’) dan simpanan antarabangsa (atau ‘foreign reserve’) yang sihat.

Walau bagaimana pun, lebihan akaun semasa kita juga telah menurun dari RM102 bilion ke RM37.3 billion pada 2013. Kita berdepan pula dengan ekonomi negara-negara jiran yang semakin rancak dengan dasar-dasar pendekatan pembangunan yang pernah kita gunakan satu ketika dahulu. Kita tidak boleh lagi menggunakan kelebihan persaingan (atau ‘competitive advantage’) negara semata-mata. Persaingan sengit memerlukan negara mencari pendekatan model yang berbeza bagi membina kelebihan baru berbanding negara-negara saingan.

Kita jangan fikir ketempangan tadbir-urus fiskal Barisan Nasional akan dapat kita atasi dengan mengulangi sebutan mengenai asas kekuatan ‘fundamentals’ yang kuat dan mampu menjana lebihan dagangan. Ketahuilah bahawa itu juga tertakluk kepada permintaan global khasnya rakan-rakan dagangan utama yang kini berdepan dengan ancaman ekonomi mereka sendiri.

Setelah mampu memacu pembangunan yang agak pesat dalam dekad-dekad awal pasca-kemerdekaan, Malaysia berjaya melonjak dari kelompok status negara berpendapatan rendah ke berpendapatan status sederhana. Sementara 5 negara Asia termasuk Jepun tadi berjaya melonjak ke negara berstatus pendapatan tinggi, Malaysia sebaliknya kekal dalam jajaran negara yang dianggap terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana (atau lebih dikenali sebagai “middle income trap”).

Cabaran untuk terus menjana pembangunan negara ini (baik amanah kepada kerajaan yang ada kini atau kerajaan yang bakal mengambil alih kepimpinan) bukanlah kepalang. Benar, Malaysia tidak lagi dapat membangunkan negara dengan model pembangunan berteraskan input semata-mata sama ada modal, buruh, sumber dan teknologi.

Sebaliknya Malaysia sangat berhajatkan pembangunan yang mengizinkan pacuan inovasi yang lahir dari sebuah kepimpinan politik yang memberdayakan institusi-institusi penting negara bagi menzahirkan seluruh potensi dan aset negara.

Tahun 2015 dengan segala cabaran ekonomi dalaman dan luaran bakal menguji sejauh mana Malaysia bersedia untuk melepaskan diri dari bayang-bayang pentadbiran ekonomi Barisan Nasional.

 Tulisan di atas dipetik daripada Belanjawan Malaysia 2015 Pakatan Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan