Harga pasaran RON95 menggunakan formula yang diumumkan oleh Barisan
Nasional bagi dua minggu pertama Disember 2014 menunjukkan bahawa RON95
telah jatuh di bawah paras RM2 seliter, seperti berikut:
Tarikh | Harga pasaran sebenar (RM/liter) |
1-Dec-14 | 2.05 |
2-Dec-14 | 2.05 |
3-Dec-14 | 2.03 |
4-Dec-14 | 2.01 |
5-Dec-14 | 2.01 |
6-Dec-14 | 2.01 |
7-Dec-14 | 2.01 |
8-Dec-14 | 1.98 |
9-Dec-14 | 1.98 |
10-Dec-14 | 1.94 |
11-Dec-14 | 1.94 |
12-Dec-14 | 1.92 |
13-Dec-14 | 1.92 |
14-Dec-14 | 1.92 |
15-Dec-14 | 1.90 |
Barisan Nasional mengumumkan bahawa harga RON95 bagi sesuatu bulan
ditetapkan berdasarkan harga purata harga pasaran RON95 seperti yang
ditetapkan oleh formula. Bagi 15 hari pertama Disember 2014, harga
purata ini (dikira berdasarkan harga pasaran harian seperti di atas)
telah jatuh ke paras RM1.98 liter (tanpa subsidi). Jika subsidi 30 sen
seliter dikembalikan seperti yang dituntut oleh KEADILAN, harga RON95
bagi dua minggu pertama secara purata telah jatuh ke paras RM1.68
seliter.
Dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh mendadak minggu ini dan
dijangka terus jatuh sepanjang 2015, harga pasaran harian bagi tempoh
16 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014 juga akan lebih rendah dari
RM1.90 seliter (merujuk kepada harga pada 15 Disember 2014).
Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Barisan Nasional
supaya jangan berdolak dalih untuk segera menurunkan harga RON95 kepada
RM1.90 serta merta. Sekiranya harga RON95 yang diumumkan pada 31
Disember 2014 kelak adalah lebih tinggi dari RM1.90 seliter, ini
bermakna Barisan Nasional terus memanipulasi harga RON95 dan diesel
untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak secara tersembunyi.
Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin Barisan Nasional pun yang
berani menafikan kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih
bayar harga minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam
tempoh 45 hari sejak 1 November 2014. Mengikut amalan biasa, jumlah ini
dikembalikan oleh syarikat-syarikat minyak kepada kerajaan sebagai cukai
tersembunyi.
Selagi Barisan Nasional tidak menafikan perkara ini dan menjelaskan
mekanisme sebenar siapa yang menyimpan jumlah RM274 juta yang dibayar
lebih oleh rakyat ini, selagi itulah rakyat akan terus beranggapan
bahawa mereka dicukai secara tersembunyi melalui harga RON95 dan diesel
yang lebih tinggi.
Saya mengulangi pendirian bahawa kerajaan wajib mengembalikan subsidi
sekurang-kurangnya 30 sen seliter yang akan menyaksikan harga minyak
RON95 dalam bulan Januari jatuh ke paras RM1.60 seliter. Penurunan
begini selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia dan harga
petrol diesel yang lebih rendah yang dinikmati oleh negara-negara lain.
Saya juga menyeru supaya semua rakyat Malaysia turun ke Dataran Merdeka pada 31 Disember 2014 bermula 9 malam untuk #tuntut #turunhargaminyak kerana harga yang ada sekarang mengutip cukai secara tersembunyi dari rakyat.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan