KEADILAN telah mengambil langkah mengumumkan terlebih dahulu harga
RON95 dan diesel mengikut harga pasaran dan formula jaminan keuntungan
dan bayaran kos kepada syarikat minyak untuk memastikan Kerajaan
Persekutuan tidak berdolak dalih dalam menurunkan harga minyak.
Semalam pada jam 1130 pagi, saya telah mengeluarkan kenyataan bahawa
harga RON95 mengikut formula purata bulanan adalah RM1.91 seliter dan
diesel adalah RM1.94 seliter.Harga itu tepat seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan
lewat malam semalam yang sekaligus mengesahkan bahawa kaedah dan
pengiraan KEADILAN adalah tepat seperti formula yang ditetapkan Kerajaan
Persekutuan.
Lebih penting lagi, ia juga mengesahkan bahawa kiraan jumlah cukai yang dikutip secara senyap (hidden tax) akibat harga yang dibayar lebih tinggi dari harga pasaran juga adalah tepat.Maka, pendedahan KEADILAN bahawa bagi bulan Disember 2014 Kerajaan
Persekutuan telah mengutip cukai petrol dan diesel secara senyap
sebanyak RM633 juta perlu diberi perhatian serius oleh rakyat.
Keadaan ini dijangka berterusan dalam keadaan harga minyak mentah
dunia terus jatuh dan perubahan harga hanya dilakukan sekali sebulan
seperti yang diamalkan Kerajaan Persekutuan. Akibatnya, Kerajaan
Persekutuan akan mengutip cukai pada purata RM400 juta sebulan dan boleh
mencecah berbilion ringgit dalam tahun 2015.
Saya sangat khuatir durian runtuh dalam bentuk cukai yang dikutip
secara senyap ini akan dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan
Persekutuan apabila ia dimasukkan di dalam akaun pendapatan yang sama
iaitu wang disatukan.
Dalam tempoh satu tahun akan datang, harga minyak berkemungkinan akan
naik kembali sekiranya pasaran minyak mentah dunia pulih dan ekonomi
dunia kembali rancak. Pada ketika itu, rakyat terpaksa berdepan dengan
kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang.
Tindakan Kerajaan Persekutuan menghapuskan subsidi menyebabkan rakyat
bakal terdedah kepada kenaikan mendadak harga petrol dan diesel.
Kerajaan Persekutuan pula akan memberi alasan subsidi terlalu mahal dan
tidak mampu ditanggung sedangkan berbilion ringgit cukai petrol dan
diesel yang dikutip selama ini telah dibelanjakan bagi projek-projek
besar.
Oleh yang demikian, saya mendesak supaya satu akta digubal segera
untuk memastikan sebarang kutipan cukai akibat dari perbezaan harga yang
ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan harga pasaran (seperti yang
berlaku sekarang) diasingkan dan dikumpul di dalam satu Tabung
Pengimbang Harga Minyak.
Dana dari Tabung Pengimbang Harga Minyak ini hanya boleh digunakan
untuk menstabilkan harga petrol dan diesel untuk melindungi rakyat dari
kenaikan mendadak harga petrol dan diesel apabila harga minyak mentah
kembali pulih ke paras lama.
Dana RM633 juta yang dikutip dalam Disember 2014 perlulah segera
diasingkan dan dimasukkan di dalam tabung sedemikian sementara satu akta
digubal dan dikuatkuasa serta merta.
Saya akan menggubal akta tersebut sebagai inisiatif rang undang-undang persendirian (private member bill)
untuk diangkat ke Dewan Rakyat dalam sessi akan datang yang bermula Mac
2015 nanti. Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen
Barisan Nasional untuk memastikan rang undang-undang Tabung Pengimbang
Harga Minyak ini dapat diluluskan Dewan Rakyat.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan