SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Memaparkan catatan dengan label Polis/Masyarakat/Jenayah/Undang2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Polis/Masyarakat/Jenayah/Undang2. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Mac 2016

Hero Highlands Towers Teringin jumpa Nur Hamidah - Tragedi Highland Tower 1993 Read more: http://www.kitabantai.info/2016/03/hero-highlands-towers-teringin-jumpa.html#ixzz42hRbHNE0 Follow us: @kitabantai on Twitter | kitabantai on Facebook


Putrajaya: Pada 1993, pegawai bomba ini menjadi perhatian apabila dia menyelamatkan seorang bayi berusia 18 bulan yang terperangkap dalam runtuhan kondominium Highland Tower dan kini dia sangat berharap dapat bertemu dengan insan yang diselamatkannya itu.

Jika diberi kesempatan dan diizinkan Allah, saya ingin bertemu dengannya,” kata Norizan Saad.

Harian Metro melaporkan Norizan, 46, antara watak penting dalam usaha menyelamatkan bayi berkenaan, Nur Hamidah Najib selepas dia ditemui terperangkap dalam runtuhan di Blok A Kondominium tersebut, 23 tahun lalu.

Dalam kejadian yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu, seramai 48 mangsa dilaporkan maut apabila kondominium mewah itu tumbang menyembah bumi.

Mengimbau kembali tragedi itu, Norizan yang kini merupakan Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, berkata ketika kejadian itu dia baru sahaja tiga tahun bertugas sebagai anggota bomba dan dipertugaskan untuk membawa turun adik Nur Hamidah.


Dia (Nur Hamidah) terperangkap dalam runtuhan. Rakan setugas mengesannya selepas mendengar tangisan. Kita (anggota bomba) mengambil masa agak lama untuk mengeluarkannya kerana bimbang sebarang kesilapan akan menyebabkan runtuhan lain berlaku.

Sebaik berjaya dikeluarkan, Nur Hamidah diberikan kepada saya untuk dibawa keluar dari kawasan runtuhan,” katanya.

Tambah beliau, ketika itu adik Nur Hamidah hanya memakai lampin.

Tangisannya memenuhi ruang...kuat dia menangis, bayi biasalah. Saya terus peluk dia sebelum bergegas membawanya keluar dari kawasan berkenaan.

Saya serahkan Nur Hamidah kepada pasukan perubatan yang sudah menunggu di kawasan berkenaan sebelum kembali meneruskan tugas menyelamat,” katanya.

Nur Hamidah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

Dia individu yang terselamat dalam insiden itu. Ia boleh dikatakan satu keajaiban,” katanya 

Jumaat, 20 Februari 2015

MP ugut adukan IGP pada SPRM

 
Seorang ahli parlimen DAP mengugut untuk membuat laporan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya beliau enggan menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Sirul Azhar Umar.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, laporan terhadap Khalid juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) jika ketua polis negara itu tetap kekal dengan pendirian yang sama dalam masa seminggu.

"Saya akan memberinya masa selama seminggu.

“Dengan kenyataan (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) hari ini, kini Khalid bertanggungjawab untuk menyiasat (dakwaan Sirul)," katanya kepada Malaysiakini.

Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng pagi ini yang menggesa supaya pihak polis menyiasat dakwaan Sirul bahawa bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu hanya mengikut arahan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Musa Hasan: Sirul mesti dedahkan dahulu

Sirul Azhar Umar harus mendedahkan apa yang diketahuinya terlebih dahulu sebelum siasatan dapat dibuat, kata bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hasan.

“Polis tidak dapat menyiasatnya jika dia hanya ancam mahu lakukan perkara itu. Nampaknya seperti beliau hanya hendak cakap, tetapi tidak cakap,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Musa berkata Sirul harus mendedahkan dia bertindak atas arahan siapa dan siapa yang didakwanya mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.

Katanya jika bekas polis itu mendedahkan nama pihak itu, siasatan harus dimulakan.

“Jika terdapat bukti baru, polis mesti menyiasat. Mungkin beliau patut balik (dari Australia) dan bantu polis,” katanya.

Musa berkata beliau setuju dengan ketua polis negara sekarang Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa polis memerlukan alasan cukup untuk memulakan siasatan.

Sumber : Disini

Sirul: Saya tak pernah mengaku bunuh Altantuya

 
Bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar berkata beliau tidak pernah mengaku membunuh  Altantuya Shaariibuu, walaupun Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, dia mengulangi kenyataan bahawa dia bertindak atas arahan dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

“Sampai hari ini tiada saksi terhadap kematian itu.

“Semua ini hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan yang dikaitkan dengan saya (terhadap pembunuhan itu)

“Saya faham bahawa keterangan mengikut keadaan tidak sekuat keterangan langsung,” kata Sirul (kanan), 43, bapa kepada dua orang anak itu.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan mensabit dan menjatuhi hukuman mati pada Sirul dan seorang lagi bekas komando polis Azilah Hadri ekoran kes pembunuhan pada 2006 itu.

Mereka berdua dikatakan menembak mati dan meletupkan seorang warganegara Mongolia di dalam hutan.

Bagaimanapun, mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menentukan motif di sebalik tindakan itu.

Ia mencetuskan spekulasi apabila Razak Baginda, penganalisis politik dan rakan rapat perdana menteri, dikaitkan dengan perkara itu.

Razak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, menafikan mempunyai sebarang kaitan dalam kes itu dan bersumpah dengan nama Allah.

Polis juga membersihkan namanya.

Najib (atas) pagi ini diminta oleh pemberita mengulas dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan dan pihak yang mempunyai motif masih bebas.

Najib hanya menjawab perkara itu “mengarut”.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Sirul tidak berpuas hati dengan prosiding undang-undang, termasuk kegagalan memanggil pegawai atasannya DSP Musa Safri.

Musa bekas pembantu Najib.

Kenapa polis dedah muka?

Sementara itu, bekas komando polis itu juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan gambarnya.

 ”Kenapa dedah gambar saya tanpa kebenaran? Sejak awal pendengaran hingga rayuan di Mahkamah Persekutuan, saya berjaya tutup muka.

 ”Apa tujuannya (dedah gambar saya),” soalnya.

Sirul tidak hadir ketika keputusan diumumkan kerana berada di Australia.

Dia kini ditahan oleh imigresen negara kanggaru itu di Sydney.

Undang-undang Australia tidak membenarkan pihak berdepan hukuman mati dieksradisi ke negara hukuman dijatuhkan.

Sirul sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala-galanya berhubung kes itu.
 

Jumaat, 13 Februari 2015

Hanya tilam dan bantal untuk Anwar


SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilayan sama seperti banduan lain di Penjara Sungai Buloh.

Sumber dalaman Penjara Sungai Buloh yang enggan namanya didedahkan berkata, Anwar hanya akan dibekalkan bantal dan tilam di dalam sel yang menempatkannya.

Isnin, 2 Februari 2015

Tiada Tangkapan Kata Polis Johor Berkaitan Tifo Anjing

 
Polis Johor menafikan menahan dan mereman 12 penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) ekoran insiden menghina Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan gambar anjing semalam.

Perkara itu bertentangan sama sekali dengan kenyataan Johor FA dan FAM bahawa 12 orang direman lima hari bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru  Sulaiman Salleh berkata tiada tangkapan dibuat seperti makluman dalam Facebook rasmi  Johor Southern Tigers.

“Tetapi kami tidak tangkap sesiapa pun, jadi bagaimana boleh ada yang direman pula?” katanya.

Sulaiman patut berkata pihak terbabit patut merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Bernama petang tadi melaporkan, seramai 12 penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) ditahan ekoran insiden dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin FAM pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu malam semalam.

Pada perlawanan semalam, JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 dengan mengalahkan juara Piala Malaysia musim lepas, Pahang 2-0.

Johor FA: 12 orang cuma disiasat

Sementara itu, Ketua Media dan Pemasaran Johor FA Ahmad Yani Ismail menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa 12 orang itu sebenarnya hanya disoal siasat.

Katanya, kesalahan itu berlaku kerana salah faham.

“Dua belas orang ditahan pada malam itu dan dibebaskan pada malam sama selepas memberi kenyataan,” katanya.

 Sumber : Disini

Ahad, 1 Februari 2015

Mayat Farouk Dalam Plastik Hitam

 PDRM
KEPALA BATAS - Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing, yang dibungkus dengan plastik hitam, ditemui dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, mayat lelaki bersama sekeping nota itu ditemui pada 3.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis.

"Lelaki  itu menemui bungkusan plastik hitam seperti mayat dikafan selepas terhidu bauan wangi di kawasan semak itu...dipercayai air mawar yang disiram ke atas mayat itu.

"Bersama mayat itu terdapat sekeping kertas yang diletakkan atas dadanya yang ditulis nota dalam Bahasa Melayu iaitu 'Assalamualaikum, Nama saya Farouk, saya Muslim, saya mahu sembahyang dulu'," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Namun, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.

Abdul Rahman berkata, tiada sebarang kecederaan atau kesan lebam ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis  sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa. Mayatnya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Isnin, 26 Januari 2015

'Anak besar kepala jika rotan jadi jenayah'

 

Cadangan menjadikan kesalahan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 disaran ditarik balik kerana dibimbangi melahirkan generasi 'besar kepala' dan tidak menghormati ibu bapa.

Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata pelaksanaan akta seumpama itu akan disusuli dengan tindakan memisahkan anak dengan ibu bapa sehingga berusia 18 seperti yang berlaku di Sweden.

Katanya, kesalahan jenayah melibatkan dua elemen iaitu actus reus (perlakuan) dan mens rea (niat jenayah).

"Niat jenayah hanya wujud andai ia berlaku secara konsisten dan tidak bersebab. Merotan anak bagi tujuan mengasuh jelas terkeluar daripada pengertian ini," katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata merotan anak berkemungkinan menjadi kesalahan dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.

Khairul Anwar turut berkongsi maklumat bahawa beberapa pihak di Sweden mendakwa undang-undang perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 4A, Bab 4 Kanun Keseksaan Sweden dimanipulasi untuk mengaut keuntungan apabila wujudnya 'industri anak angkat' di negara itu.

Beliau berkata pemberi maklumat dan ibu bapa angkat di negara itu diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan bagi seorang anak angkat yang dijaga.

Tambahnya, merotan anak-anak adalah diharuskan oleh Islam bagi tujuan mendidik seperti yang disebut di dalam hadis Nabi Muhammad.

Senada dengan Khairul Anuar, Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mencadangkan agar ia dikaji secara terperinci, merangkumi pelbagai aspek terutama berkaitan tuntutan agama Islam yang mengharuskan ibu bapa merotan anak-anak bagi tujuan mendidik.

"Perkara ini perlu dikaji secara mendalam dengan melibatkan pandangan banyak pihak dan meneliti pelbagai aspek termasuk peranan ibu bapa dalam mendidik anak dengan cara tersendiri kerana mereka lebih mengenali anak-anak mereka," katanya.

Mas Ermieyati berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu meneliti tafsiran merotan yang terkandung dalam perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) kerana ia merujuk kepada aspek penderaan termasuk penderaan mental terhadap kanak-kanak.

Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut berkongsi pendapat sama berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baharu itu sebaliknya perlu menelitinya dengan lebih mendalam.

"Saya harap pihak kementerian (KPWKM) mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak berkepentingan seperti Persatuan Ibu Bapa, pakar psikologi, NGO dan pakar-pakar berkenaan sebelum keputusan dibuat.

"Jabatan Peguam Negara juga perlu mengadakan satu pertemuan segera dengan semua pihak termasuk Wanita Barisan Nasional (BN) untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap undang-undang yang akan dilakukan," katanya.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim menyokong cadangan itu kerana perbuatan merotan hanya akan menyebabkan anak-anak dilanda kemurungan dan memberontak.

Katanya, hukuman merotan sudah tidak relevan pada masa sekarang.

- Bernama

Sabtu, 24 Januari 2015

Zahid ke imigresen 'disambut' lelaki berang

 
Lawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi ke Jabatan Imigresen mendapat 'sambutan' mengejutkan.

Beliau diserbu individu tidak puas hati berhubung sistem baru pendaftaran permit pekerja asing secara atas talian.

Berdasar video dirakam KiniTV, lelaki 40-an itu berdepan sendiri dengan Zahid dan pegawai imigresen yang mengiringinya serta menghamburkan kritikan tanpa henti dengan nada tinggi.

Lelaki itu kedengaran membangkitkan isu orang tengah dan pendaftaran insurans melalui atas talian, tetapi tidak jelas konteks percakapannya.

"Nak tangkap saya, tangkaplah. Saya cakap terus terang depan menteri. (Orang tengah) kata nak bagi imigresen sikit, (pihak) ini sikit.

“Tolonglah, buang birokrasi ini. Kita nak buang (unsur) rasuah. Berhentikan segala-galanya," kata lelaki yang berkemeja kotak-kotak itu.

Zahid pula bagaimanapun serius dan tenang mendengar rungutan itu walaupun ia menarik perhatian orang ramai yang mengerumuni.

Malah, sebahagian mereka kelihatan mengambil gambar dan merakam video melalui telefon bimbit.

"Awak dengar sendiri," kata Zahid kepada pegawai-pegawai imigresen di sebelahnya ketika berdepan rungutan lelaki itu.

Menjawab soalan berkaitan unsur rasuah itu, pegawai imigresen yang mengiringi Zahid antaranya menjelaskan:

"Sebab itu kita buat undang-undang online (atas talian), itu sebenarnya," katanya.

Timbalan Zahid, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada 19 Januari lalu menjelaskan Pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing secara atas talian bertujuan menangani peranan orang tengah yang mengenakan caj berlebihan.

'Mahu lihat keberkesanan'

Sementara itu, dalam video kira-kira 3 minit itu juga kelihatan pihak yang mahu orang ramai dan juruvideo memberhentikan rakaman masing-masing.

Bercakap kepada media selepas itu, Zahid (kiri) berkata lawatannya ke ibu pejabat imigresen di Putrajaya bertujuan melihat sendiri keberkesanan sistem baru Jabatan Imigresen itu.

Beliau mengakui terdapat rungutan beberapa syarikat yang selama ini berurusan melalui kaunter dan terpaksa beralih kepada Internet.

"Tetapi untuk tempoh sehingga akhir Februari, kita memutuskan supaya sistem atas talian, juga disekalikan sistem kaunter.

“(Ini) agar pihak syarikat dapat membiasakan diri (dengan) permohonan dan pendaftaran atas talian," katanya.
 

Isnin, 19 Januari 2015

Bagaimana pembunuh Altantuya boleh ke luar negara?

KUALA LUMPUR 17 JANUARI- Pengerusi Pemantau Jenayah MyWatch, Sri Sanjeevan mempersoalkan bagaimana suspek pembunuhan kes berprofil tinggi Altantuya Shaariibuu dibenarkan ke luar negara.

Menurutnya, pergerakan tertuduh, Koperal Sirul Azhar Umar yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) sepatutnya dipantau secara rapi selepas dibebaskan dengan ikat jamin.

“Bagaimanakah seorang suspek kes pembunuhan berprofil tinggi meninggalkan negara tanpa disedari? Ini mesti disiasat dan sepatutnya kita berasa malu dengan ketidakcekapan pihak berkuasa kita,” katanya dalam kenyataan.

Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Azilah Hadri didaapti bersalah kerana membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutan pada 13 Januari lalu.

Keputusan itu mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013 yang membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh warga Mongolia berkenaan.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan ketika keputusan perbicaraan dan peguamnya memaklumkan tidak dapat menghubungi tertuduh sejak enam bulan lalu.

Media kemudian melaporkan Sirul berada di Australia dan tidak mempunyai wang untuk kembali ke tanah air.

Kerajaan Australia bagaimanapun tidak membenarkan ekstradisi dibuat ke atas Sirul bagi menjalani hukuman gantung kerana tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Sanjeevan berkata, alasan kesempitan wang untuk tidak kembali ke Malaysia bagi menghadapi pendengaran di Mahkamah Persekutuan tidak dapat diterima sama sekali.

“Secara peribadi, saya ingin menawarkan tiket penerbangan percuma kepada Sirul untuk pulang ke Malaysia dari Australia,” ujarnya.

Menurutnya, jika alasan itu adalah benar dan tiada niat melarikan diri, beliau pasti tertuduh akan menerima tawaran berkenaan dan pulang ke Malaysia untuk dijatuhi hukuman.

 Sumber : Disini

PAKCIK TRAUMA NYARIS MAUT DITEMBAK POLIS TANPA SEBAB

 
YAN - Seorang petani nyaris cedera apabila kereta dipandunya terkena tembakan didakwa dilepaskan anggota polis di Batu 3, Tandop, Alor Setar, awal pagi, semalam.
Mangsa, Md Zaki Md Hassan, 45, mendakwa, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, dia dalam perjalanan dari  Kuala Kedah ke rumahnya dekat Kuala Sedaka.

Menurutnya, dia singgah di sebuah restoran terletak di tepi jalan berkenaan sebelum pulang ke rumah.

“Kebetulan, ada sebuah kereta peronda polis yang turut berhenti di hadapan restoran itu.

“Tiba-tiba kereta peronda itu undur dan saya pun terpaksa undur sedikit untuk elak daripada berlanggar. Kemudian, seorang polis di tempat duduk depan sebelah kiri, keluar melihat saya sambil mengacukan pistol,” katanya, semalam.

Terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudiannya, memandu kereta dengan laju untuk menyelamatkan diri.

“Peronda itu kejar saya, sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena cermin belakang.

“Nasib baik, tiada anak-anak dan isteri dalam kereta,” katanya.

Difahamkan, kereta peronda jenis Proton Waja itu kemudiannya mengejar kereta mangsa sehingga ke satu persimpangan sebelum menggari tangan mangsa.

“Saya bukan penjenayah! kenapa mereka gari saya? dan tembak saya?  Kalau tembakan itu kena saya, siapa nak bertanggung jawab?.

“Saya sempat dengar perbualan telefon salah seorang anggota polis itu dengan seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang meminta supaya saya dilepaskan,” katanya.

Md Zaki berkata, dia belum bersedia membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana masih trauma dan bimbang keselamatannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya ketika dihubungi memaklumkan sedang menyiasat insiden tersebut dan belum menerima sebarang laporan. 

Sumber : Disini

Sabtu, 17 Januari 2015

Tertuduh pandang kawasan paya hari diberkas

 
Satu-satunya tertuduh wanita dalam insiden pencerobohan Lahad Datu kelihatan memandang ke arah kawasan paya berdekatan rumahnya apabila dia ditahan, Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu diberitahu hari ini.

Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Inspektor Radin Ramlan Radin Taha berkata dia mendapati Norhaida Ibnahi menoleh ke kawasan paya apabila dia membawanya keluar ke hadapan rumahnya pada pagi 22 Mac 2013 berhampiran Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin, katanya beliau pergi untuk memeriksa kawasan berpaya selepas menerima arahan daripada komander operasi, ACP Hazani Ghazali untuk memeriksa kawasan di belakang rumah Norhaida dan juga mencari seorang lagi suspek Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Saksi itu, yang memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan oleh militan Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu, menyifatkan kawasan paya itu dipenuhi semak dan ada muara sungai yang luas, cukup untuk bot melaluinya.

"Adakah kamu menemui sasaran (Datu Amir Bahar) ini?" Jamil bertanya dan saksi menjawab: "Tidak."

Radin Ramlan memberitahu mahkamah sebelum operasi untuk menangkap Norhaida dan Datu Amir Bahar, 30 anggota UTK termasuk beliau telah diberi taklimat pada malam sebelumnya oleh Hazani di Pangkalan Marin Semporna.

Beliau berkata 30 anggota itu berpecah kepada lima pasukan dengan beliau mengetuai pasukan enam anggota ditugaskan untuk menyerbu ke rumah-rumah yang disasarkan.

Beliau juga berkata pasukan dari Cawangan Khas (SB) akan membantu dalam operasi dengan bertindak sebagai penunjuk arah ke lokasi bagi serbuan.

Dalam operasi itu, Kampung Sri Melor dibahagikan kepada lima sektor -- sektor A, B, C, D dan E -- dengan setiap pasukan ditugaskan bagi setiap sektor, kata beliau.

"Setibanya di Kampung Sri Melor kira-kira pukul 5.40 pagi (22 Mac 2013), saya dan pasukan saya masuk ke sektor yang ditetapkan iaitu sektor C untuk membuat serbuan dan mencari suspek," katanya dan menambah ada empat buah rumah dalam sektornya.

Radin Ramlan memberitahu mahkamah beliau dan pasukannya menggempur keempat-empat rumah terbabit dan menahan sembilan orang. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek yang dicari, kata beliau.

"Selepas pemeriksaan mendapati suspek bukan antara sembilan orang tersebut, saya dan pasukan saya mendapat arahan daripada ACP Hazani untuk memeriksa kawasan di belakang sektor saya.

"Sebaik menerima arahan tersebut, saya dan pasukan saya terus bergerak ke kawasan yang diarahkan di mana kawasan itu jauh di luar sektor kami," kata saksi itu.

Radin Ramlan berkata beliau dan pasukannya menjumpai sebuah rumah tersorok di belakang pokok kelapa sawit.

Selepas memperkenalkan pasukannya sebagai polis dan menyerbu ke rumah terbabit, saksi itu berkata beliau menemui Norhaida membawa beg plastik dan seorang kanak-kanak perempuan, semua berpakaian seperti hendak keluar.

Beliau berkata terdapat juga seorang wanita yang sakit terbaring di atas katil.

Selepas menangkap Norhaida, Radin Ramlan berkata beliau memeriksa beg plastik dan menemui tiga telefon bimbit, kad bank dan dompet mengandungi wang kertas berjumlah RM41 dan satu wang kertas US bernilai $5.

Saksi itu juga berkata beliau menemui tiga lagi telefon bimbit di atas meja dalam rumah itu.

Pegawai polis itu menyerahkan telefon bimbit kepada pegawai SB, ASP Nik Adzian Wan Ismail yang memulangkan telefon itu kepada Radin Ramlan 10-15 minit kemudian selepas memeriksanya.

Radin Ramlan berkata beliau membuat laporan polis mengenai penangkapan dan Norhaida dan sembilan orang lagi yang ditahan di sektor C dan juga barang-barang yang dirampas kira-kira 11.30 pagi itu di ibu pejabat polis Semporna.

Kesemua tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Isnin ini.

- Bernama

Jumaat, 16 Januari 2015

SPRM: Bekas CEO Tekun Nasional ditahan reman

 SPRM

PUTRAJAYA - Mahkamah Majistret Putrajaya sebentar tadi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman bekas Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.
Perintah reman selama tujuh hari dikeluarkan Majistret Lukman Hakim Abu Bakar Sedik bagi membantu siasatan kes suspek berusia 60 tahun itu atas kesalahan meminta suapan.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Perintah reman itu dipohon Penolong Kanan Penguasa (PKPs), Hanif Awaludin dan Penolong Penguasa (PPs), Norazilatulakmar Said.

Suspek yang belum melantik peguam itu ditahan semalam dan dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya jam 9.30 pagi, hari ini.

 Sumber : Disini

Khamis, 15 Januari 2015

Bayaran pasport antarabangsa turun RM100

 
Bayaran bagi permohonan pasport antarabangsa Malaysia bagi warga berumur 13 hingga 59 tahun untuk tempoh lima tahun diturunkan daripada RM300 kepada RM200 berkuatkuasa hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Imigresen, kadar bayaran bagi pemohon berumur 60 tahun ke atas dan 12 tahun ke bawah pula serta jemaah haji ialah RM100.

Permohonan Orang Kelainan Upaya (OKU) kekal percuma.

Serentak dengan itu semua permohonan pasport antarabangsa untuk tempoh dua tahun dengan bayaran RM100 adalah dimansuhkan.

- Bernama
 

Rabu, 14 Januari 2015

Kes Altantuya: Siapa, apa dan mengapa

 
Kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariiibuu telah berakhir dengan bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah dan dihukum mati.

Perbicaraan itu menyaksikan 75 saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan hanya memanggil Azilah dan Sirul.

Terdapat beberapa persoalan yang masih berlegas di minda, seperti:
  • Mengapa ada perubahan hakim dan pendakwa?
Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kes itu pada mulanya dijadual didengar oleh Hakim KN Segara, yang dikenali sebagai seorang hakim yang tegas.
 
Segara telah mendengar rayuan tiga tertuduh (termasuk penganalisis politik Abdul Razak Baginda) apabila mereka mula-mula dihadapkan ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, kes itu kemudian dipindahkan untuk didengar oleh Hakim Mohd Zaki Yasin. Segara kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan di mana beliau kemudiannya bersara.
 
Terdapat juga perubahan pendakwa dan juga bekas ketua pendakwaan Selangor Sallehuddin Saidin digantikan pada saat-saat terakhir dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang dikenali rapat dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, manakala Sallehuddin pula rapat dengan bekas peguam Ketua II Mohd Yusof Zainal Abiden.
 
Sallehuddin akhirnya berhenti daripada Pejabat Peguam Negara. Tun Abdul Majid juga mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes tipu terhadap bekas menteri pengangkutan Dr Ling Liong Sik yang melibatkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
 
Turut menarik perhatian ialah hakikat bahawa peguam Wong Kian Kheong, yang dikatakan rapat dengan peguam negara, telah mewakili kedua-dua Abdul Razak dan Ling.

Wong pada mulanya berkhidmat di Pejabat Peguam Negara tetapi beliau kemudiannya menyertai Lee Hishammuddin, sebuah firma guaman yang diasaskan oleh sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang ketika itu menteri dalam negeri.

Wong telah pun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
  • Mengapa dan siapa Azilah telefon?
Azilah telah menelefon seorang individu yang tidak dikenali sebanyak dua kali dari Puncak Alam (tempat kejadian) selepas jam 11 malam pada 19 Oktober 2006 sebelum pembunuhan berlaku, berdasarkan rekod telefon bimbitnya. Mengapa dan siapa yang dihubunginya?
  • Mengapa motif tidak dijelaskan?
Hakim Mohd Zaki tidak menyentuh motif di sebalik pembunuhan Altantuya, dan memutuskan bahawa ia bukan satu keperluan kepada kes pembunuhan itu.
  • Mengapa pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu?
Ini ekoran apa yang mereka dakwa sebagai dapatan fakta dalam afidavit penganalisis politik itu berkenaan dengan permohonan ikat jaminnya. Afidavit itu tidak diperolehi sepenuhnya oleh media.

Afidavit itu telah difailkan oleh Wong apabila Sirul dan Azilah ditangkap, dengan menuding jari pada mereka.
  • Mengapa Sirul mendakwa dia telah dijadikan sebagai "kambing hitam" untuk melindungi "rancangan mereka" dan siapa yang dia maksudkan?
     
  • Adakah kedua-dua anggota polis ini bertindak atas kehendak mereka sendiri? 
       
  • Apakah peranan DSP Musa Safri - bekas adikong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - hanya terhad kepada menghantar Azilah ke rumah Abdul Razak di Damansara Heights dan pejabat di Jalan Ampang untuk menyelesaikan masalah?
     
  • Apakah peranan yang dimainkan oleh Altantuya dalam perjanjian Kementerian Pertahanan dalam pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis yang bernilai berbilion ringgit? Adakah dia tahu sesuatu lebih daripada itu?
(Kerajaan telah melantik Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Abdul Razak, yang mengaku mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, untuk membeli dan menyelenggara kapal selam sewaktu Najib menjadi menteri pertahanan)
  • Adakah Najib kenal Altantuya seperti yang didakwa dalam Akuan Bersumpah (SD) pertama P Balasubramaniam yang menurutnya adalah berdasarkan apa yang Abdul Razak beritahu kepadanya?
Balasubramaniam dikatakan dipaksa menarik balik SD pertama itu dan menandatangani SD kedua. Dia didakwa telah dibantu oleh peguam kanan Datuk Cecil Abraham, yang kini disiasat oleh Lembaga Tatatertib peguambela dan peguamcara.
 
Selepas itu, Balasubramaniam dan keluarganya berlepas ke India selepas didakwa diminta berbuat demikian selama lima tahun sebelum pulang pada tahun 2013. Penyiasat persendirian itu meninggal dunia akibat sakit jantung tidak lama selepas itu.

Najib telah bersumpah dalam masjid pada tahun 2008 bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan Altantuya.
 
Keluarga Balasubramaniam telah memfailkan saman RM1.9 juta terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Cecil, serta enam orang lain, tetapi saman itu telah ditolak bulan lepas.


Sumber : Disini

Mahfuz: Saya tak kata Paulsen wajar ditahan

 
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau tidak pernah berkata bahawa peguam Eric Paulsen wajar ditahan kerana mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya tak kata macam itu,” kata Mahfuz kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan laporan Bernama berkaitan perkara itu.

Sebaliknya, jelas Mahfuz, beliau berkata Paulsen tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang dikatakan mengkritik khutbah Jumaat.

"Orang Islam tidak pernah mempertikaikan ucapan paderi Kristian pada setiap hari Ahad di gereja dan apa yang dibicarakan mereka, sebab bagi kami itu hak orang Kristian.

"Sama juga Paulsen (kanan) yang membangkitkan isu ini atau persoalkan Jakim, kerana khutbah Jumaat adalah ibadah (orang Islam),” ujarnya.

Tambah Mahfuz, jika Paulsen mempunyai bukti Jakim mempromosikan extremisme, beliau harus mengemukakan bukti terperinci.

Ini, kata Mahfuz, termasuk tarikh, tempat serta tajuk khutbah itu supaya ia boleh disemak semula.

“Bagi saya cukup kalau Paulsen tarik balik dan mohon maaf atas ketelanjuran dia," katanya.

Laporan Bernama itu antaranya menyebut Mahfuz sebagai berkata, penahanan Paulsen satu tindakan wajar.

Paulsen ditahan polis di Kuala Lumpur malam tadi.
 
Sumber: Disini

IGP Jelas Kenapa Tak Tangkap Ibrahim, Mashitah

 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan pasukan keselamatan itu tidak pilih kasih dalam membuat tangkapan, seperti dibangkitkan DAP hari ini.

Merujuk kes Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang menggesa membakar Bible berbahasa Melayu, Khalid berkata perkara itu sudah dijelaskan oleh peguam negara dan tidak perlu disentuh lagi.

Sementara dalam kes Mashitah Ibrahim yang mendakwa terdapat aktiviti membakar al-Quran di Kedah, beliau berkata bekas timbalan menteri itu tidak dapat ditangkap kerana disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang tidak memperuntukkan tindakan itu.

“Justeru, persoalan berhubung pilih kasih tidak berbangkit.

“Siasatan dibuat tanpa mengira kaum, jantina dan lain-lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mencabar Khalid menahan dua pihak berkenaan, yang didakwa menyentuh keharmonian kaum sebelum ini.

Beliau juga meminta Khalid tidak pilih kasih dan komited menjaga keharmonian kaum di Malaysia, ketika mengulas penahanan peguam Eric Paulsen semalam.

 Sumber : Disini

Selasa, 13 Januari 2015

Marina Mahathir dilarang masuk universiti

 

Aktivis Datuk Marina Mahathir tidak dibenarkan memasuki sebuah universiti awam selepas diundang bercakap dalam sebuah program anjuran mahasiswa.

Menurut Marina, perkara itu dimaklumkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti itu kepada penganjur acara.

“Ia menjadikan 'pengharaman' kelima saya daripada universiti awam.

"Mesti saya sungguh berkuasa,” sindirnya dalam tulisan di Facebook hari ini.

Beliau juga berkata, beliau bagaimanapun dijadual akan bercakap di sebuah kolej swasta esok dan mengundang mahasiswa universiti awam itu turut serta.

Marina juga berkata undangan terhadapnya tidak pernah dibatalkan ketika ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sebelum ini.

Kes Altantuya: Mahkamah Persekutuan Putuskan Hukuman Mati terhadap Azilah dan Sirul

[Berita Harian] PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas membenarkan rayuan mereka.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Suriyadi berkata, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong oleh bukti kukuh oleh kedua responden.

Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).
 
Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas beliau gagal hadir untuk menerima penghakiman.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, peguam bela, Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad mewakili Azilah selaku responden pertama manakala Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak respoden kedua iaitu Sirul Azhar.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu.

Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006. -13/1/15

Sabtu, 10 Januari 2015

Gopal: Jangan reka cerita isu wakili Anwar

 

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram berkata beliau mencapai persetujuan bersama untuk meninggalkan jawatannya sebagai perunding di firma guaman Soo Thien Ming dan Nashrah.

Sri Ram menafikan dakwaan bahawa beliau menerima tekanan sehingga terpaksa meninggalkan firma tersebut ekoran keputusannya untuk mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II di Mahkamah Persekutuan.

Ketika ditanya Malaysiakini, peguam kanan itu menegaskan bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan firma tersebut.

“Tolongan jangan reka cerita yang boleh jejaskan persahabatan kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan portal The Malaysian Insider bahawa beliau ditekan sehingga terpaksa meninggalkan firma tersebut kerana mewakili Anwar.

Katanya, beliau menubuhkan firmanya sendiri selepas mendapati persetujuan bersama untuk meninggalkan jawatan perunding di Soo Thien Ming & Nashrah.

"Saya hanya mahu buat kes yang saya suka, supaya tidak timbul konflik,” kata Sri Ram.