SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Memaparkan catatan dengan label Politik/ Mahkamah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik/ Mahkamah. Papar semua catatan

Jumaat, 13 Februari 2015

'Lima tahun penjara tidak berlebihan'

 
Teks penghakiman penuh yang menyabitkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan liwat dan hukuman penjara lima tahun dimuatkan hari ini di laman web rasi Mahkamah Persekutuan.

Penghakiman sepanjang 116 halaman itu ditulis oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan ditandatangani oleh beliau dan juga empat orang anggota panel hakim yang memutuskan perkara itu secara sebulat suara.

Anggota lain dalam panel terseut ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif dan juga tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa lalu hanya mengeluarkan penghakiman sepanjang 56 halaman ketika menyampaikan keputusannya.

Hakim Ariffin dalam penghakiman penuhnya berkata, hukuman penjara lima tahun yang diputuskan ke atas ketua pembangkang itu tidak berlebihan.

“Mengambil kira betapa seriusnya kesalahan tersebut dan juga fakta bahawa perayu mengambil kesempatan ke atas kedudukannya sebagai majikan kepada mangsa yang muda itu, hukuman lima tahun itu tidaklah terlalu berlebihan.

“Kami berpandangan bahawa sekiranya Mahkamah Rayuan membuat kesilapan, ia lebih kepada meringankan hukuman,” katanya.

Mengulas mengenai rayuan balas oleh pihak pendakwaan agar hukuman lebih berat dikenakan, Hakim Ariffin berkata ia tidak memadai untuk membolehkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu kami menolak kedua-duanya, rayuan dan rayuan balas. Maka hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu diperakui,” tegasnya.

DSAI Gagal Lagi

SUNGAI BULOH - Permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pihak berkuasa penjara untuk membenarkannya hadir ke majlis pengebumian bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini, ditolak, kata Nurul Nuha Anwar.

Nurul Nuha bagaimanapun berkata pihak penguasa penjara memberi alasan bahawa permohonan itu ditolak dan ia tertakluk kepada budi bicara 'pihak atasan'.

"Ditolak (permohonan), kita akan hantar mesej rasmi kepada kerajaan untuk memohon melawat, papa sangat sedih kerana Nik Aziz adalah seorang kawan yang baik baginya.

“Kita akan buat rayuan, tapi dia kata pihak atasan akan pertimbangkan dan ia terpulang pihak atasan," katanya kepada pemberita selepas melawat ayahnya yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menerusi peguamnya, Latheefa Koya yang mahu menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Nik Abdul Aziz, di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Sejak Anwar ditahan pada Selasa selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Rayuan kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008, pihak penjara masih belum memberikan sebarang jawapan. - Sinar

'Kami tak minta layanan VIP untuk papa'

 
Perkara yang paling penting bagi keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kesejahteraan beliau di penjara dan bukannya diberi layanan seperti VIP.

Anak perempuannya, Nurul Nuha, berkata keluarganya bimbang Anwar ditahan di dalam sel kecil penjara dan tidur di tilam busa kecil di atas lantai walaupun dengan keadaan kesihatannya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata Anwar tidak akan diberi layanan VIP di penjara Sungai Buloh di mana dia sedang menjalani hukuman lima tahun penjara.

Nurul Nuha, yang menerajui gerakan "March 2 Kebebasan" untuk membebaskan Anwar dan diuar-uarkan mungkin bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, menjelaskan bahawa keluarganya tidak pernah meminta layanan istimewa untuk bapanya.

"Sakit belakangnya semakin teruk," kata ibu berusia 31 tahun dan mempunyai dua orang anak, kepada Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif.

"Kami tidak minta layanan VIP. Sudah tentu, dia tidak sepatutnya berada di sana (dalam penjara), kerana dia ditahan secara tidak adil.

"Tetapi beliau menghidap sakit belakang yang teruk. Dan beliau berusia 67 tahun, orang cenderung lupa perkara itu.

"...tetapi usianya semakin meningkat. Apa yang kami mahu ialah tempat yang lebih selesa agar tidak memburukkan lagi sakit belakangnya," kata Nurul Nuha yang digenangi air mata.

Nurul Nuha menjelaskan bahawa keluarganya hanya mahu Anwar dilayan dengan cara yang tidak akan memburukkan lagi penyakitnya.

"Fokus utama kami adalah kesihatan dan kesejahteraan dirinya," katanya.

Nurul Nuha juga menafikan bahawa Anwar menerima layanan VIP semasa menjalani hukuman penjara sebelum ini pada 1999-2004.

"Mereka berbohong kepada kami sebelum ini. Ketika itu (ketika Anwar pertama kali ditangkap pada tahun 1998), ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor kata Anwar selamat.

"Tetapi apabila kami pergi ke sana, dia dipukul separuh mati. Perkara seperti itulah yang membuat anda paranoid," katanya merujuk kepada kes mata lebam bapanya itu.

Nurul Naha berusia 13 ketika bapanya merengkuk dalam penjara ketika itu.

Dia teringat bagaimana sebagai seorang remaja, dia berasa begitu malang kerana tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.

Tapi kini, Nurul Nuha berikrar untuk menuntut keadilan untuk bapanya melalui gerakan baru itu.

Ucapan Akhir Anwar Ibrahim di dalam Mahkamah "Menikam" 5 Hakim

 
[MSO] Di sini saya poskan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mahkamah yang ditujukan khas kepada lima hakim yang mendengar rayuannya semalam yang berakhir dengan kekalahan berpihak kepadanya.

Sesudah Ketua Hakim Ariffin Zakaria membaca keputusan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengenakan lima tahun penjara ke atasnya, Anwar diberi peluang untuk berkata sesuatu sebagai kesimpulan peribadi daripadanya.

Saya tidak mahu membuat tafsiran berlebihan terhadap apa yang beliau simpulkan, tetapi ia merupakan satu ucapan tajam yang kata-kata dilumuri dengan rasa kecewa dan dukacita yang amat sangat kepada proses perbicaraan kali ini yang dianggap sebagai satu perbicaraan yang sama yang dihadapi sebelum ini dan ia adalah satu frabikasi lengkap daripada konspirasi bagi menamatkan karya politiknya.

Ketajaman dan kepedihan tikaman ucapan itu sehingga kelima-lima hakim itu bangun meninggalkan mahkamah tanpa mendengar sehingga habis Anwar berucap setelah mereka memberi peringatan kepada Anwar agar berhenti berucap.

Pengucapan akhir Anwar ini saya kira penting dan menjadi satu rangkaian kata-kata bersejarah daripada seorang pesalah kepada hakim yang menjatuhkan hukuman ke atasnya. Kita tidak dapat mengesahkan siapa yang benar dan siapa bersalah, kecuali Allah sang hakim Yang Maha Adil saja mengetahuinya.

Tetapi pengucapan yang disepuhi racun yang terbit daripada jiwa seorang yang menganggap dianiaya ini sangat menikam hati dan pedihnya sampai ke hulu hati kesannya bukan saja kepada Anwar dan seluruh rakyat tetapi kelima-lima hakim itu akan mengambil sebagai sejarah dalam kehidupan mereka sebagai hakim pertama kali ditikam sedemikian rupa oleh orang yang mereka hukum.

Dan salah satu rangkaian kata daripada ucapan ini bisa dijadikan hikmah ialah tentang kata janji Anwar yang beliau kekal dengan pendirian tidak bersalah dan menganggap pertuduhan liwat itu jelik dan insiden yang tidak pernah berlaku.

Berikut adalah ucapan berkenaan:

Saya kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelik ini – insiden ini tidak pernah berlaku.

Ini merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan karier politik saya.

Kalian tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini tidak pernah berlaku sama sekali.

Saya mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini, nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari!

Bukan satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman.

Tatkala tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian menjadi sebahagian daripada rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan.

Kalian mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan yang sebenar-benarnya.

Akan tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada kalian.

Benar, kalian menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal menyinari saya.

Tetapi kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa politik.

Mahasiswa undang-undang dan kalangan profesor jurispruden akan meneliti penghakiman kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan.

Jangan sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada prinsip-prinsip yang kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan.

Mereka yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu satu hari nanti kamu juga perlu menjawab kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui Ayat 58 Surah An-Nisa.

Melangkah ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat negara ini Saya berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat negara ini – dan demi rakyat jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat.

Perjuangan saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan ke atas saya.

Kepada sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. Allah SWT menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah! – msomelayu.blogspot.com, 11 Februari, 2015
 
Sumber : Disini

Majlis Peguam persoal kejanggalan kes Anwar

 
Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata terdapat beberapa perkara janggal dalam tuduhan Liwat II yang membangkitkan persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dianiaya.

Leong dalam kenyataannya berkata, Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 377A.

Seksyen 377B memperuntukkan bahawa individu yang melakukan kesalahan seperti dinyatakan dalam Seksyen 377A boleh dihukum untuk tempoh yang mungkin dilanjutkan sehingga 20 tahun, dan boleh dirotan.

"Penting untuk diperhatikan bahawa Anwar tidak didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat secara paksa atau liwat rogol, walau mungkin terdapat dakwaan berlaku paksaan semasa dalam persidangan.

“Ini juga menyebabkan timbul persoalan atau kebimbangan, mengapa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa menyertai perlakuan liwat itu tidak didakwa kerana bersubahat mengikut Seksyen 377A dan 377B, dan dibaca bersama dengan Seksyen 109 Kanun Keseksaan," said Leong.

Katanya, undang-undang itu jarang sekali digunakan untuk pendakwaann, namun Anwar tetap didakwa dan disabitkan dua kali atas satu kesalahan di mana tuduhan itu mengandungi elemen paksaan.

Hal ini menambahkan lagi kesangsian dalam kes ini, katanya.

"Kejanggalan yang jelas ini membangkitkan persepsi bahawa Anwar dianiaya dan bukan didakwa,” kata Leong.

Isnin, 9 Februari 2015

2 hari sebelum keputusan, Saiful luah perasaan

 
Dua hari sebelum keputusan diumumkan Selasa ini, pengadu kes Liwat II Mohd Saiful Bukhari Azlan tampil meluahkan perasaan sedihnya.

Menulis di blog, beliau berkata berasa amat dukacita dan terkilan mutakhir ini kerana suaranya jarang diambil kira.

“Suara, layanan, keadilan dan keprihatinan terhadap saya sebagai mangsa jarang sekali diambil kira, malah dianggap tidak relevan dan tidak penting.

“Walhal saya ini mangsa, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim orang yang dituduh,” tulisnya.

Saiful (kiri) membangkitkan keadaan di mana ramai pihak, termasuk “parti kerajaan” lebih prihatin dampak politik kes itu berbanding “ keadilan buat saya sebagai mangsa.”

“Apapun saya sedar dan insaf, siapalah saya... Saya hanya insan "kerdil" yang tak ada apa-apa kepentingan... Anwar pula seorang VVIP (orang kenamaan), tokoh politik yang banyak 'kepentingannya'.

"Lumrah dunia,” katanya.

Munajat di Gua Hirak

Mengulas kes yang hampir sampai ke hujungitu, Saiful berkata setelah tujuh tahun beliau mengalami perbagai pengalaman pahit dan manis.

Justeru, beliau kini menyerahkan segalanya kepada kuasa Allah.

"Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-Nya yang tegakkan kebenaran.

"Pasti ada hikmahnya," kata bekas pembantu Anwar (atas) itu.

Saiful juga memuatkan gambar beliau bermunajat di Gua Hirak, Mekah pada November 2010 dengan kapsyen “ Cahaya dihujung, Masjidil Haram”.

Ahad, 8 Februari 2015

Apa makna 10 Februari buat rakyat Malaysia?

(Oleh Datin Paduka Dr Tan Yee Kew)

Dr Tan Yee KewAda yang mengatakan 10 Februari akan menjadi tarikh yang akan memeteraikan nasib Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang Malaysia yang dahulunya juga pernah menjadi seorang Timbalan Perdana Menteri di negara ini. Tetapi kebanyakan rakyat Malaysia fikir ini bukan sahaja akan menentukan nasib Anwar tetapi juga nasib negara ini.

Dr Tan Yee Kew

Adakah negara ini akan kekal sebagai sebuah negara demokrasi sebenar, di mana suara-suara yang menentang adalah dibenarkan? Adakah Malaysia yang mengamalkan sistem Parlimen ‘Westminster’, membenarkan parti pemerintah untuk memecahkan semua peraturan dan tradisi untuk menghantar pemimpin pembangkang ke penjara dalam usaha untuk kekal berkuasa? Adakah rakyat negara ini tunduk kepada kuasa kerajaan dan memilih untuk berdiam diri?

Ini adalah soalan-soalan yang akan dijawab pada 10 Februari.
Anwar berkata, beliau begitu yakin akan dibebaskan. Beliau meletakkan ramalan optimistik itu adalah berdasarkan kepada kepercayaannya terhadap prinsip undang-undang yang akan dipatuhi oleh para hakim yang berprinsip.

Bagaimanapun, ada ramai orang kurang keyakinan kerana terdapat degradasi sistem badan kehakiman selepas pemecatan seorang Ketua Hakim Negara dan ramai Hakim-Hakim Kanan oleh Mahathir Mohamad pada tahun 1988.

Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan beberapa keputusan mahkamah yang menyebabkan orang ramai mempertikaikan badan kehakiman negara.

Dua anggota polis telah dijatuhi hukuman mati kerana didapati bersalah membunuh Altantuya Shaaribuu walaupun motif kes pembunuhan itu adalah tidak jelas.

Dalam kes Teoh Beng Hock pula, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan koroner bahawa kematian Teoh adalah ‘neither a suicide nor homicide’ (bukan bunuh diri dan tidak dibunuh). Tetapi salah satu penghinaan terbesar badan kehakiman adalah perbicaraan kes Fitnah II Anwar, di mana Mahkamah Rayuan mengambil masa hanya dua hari untuk menyelesaikannya, walaupun terdapat banyak dokumen bukti dikemukakan. Keputusan pembebasan di Mahkamah Tinggi sebelum ini dibatalkan dan Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara ke atas beliau.

POSTER
Kami percaya keadilan bukan sahaja perlu dilakukan tetapi harus dilihat untuk dilakukan. Oleh itu, pada masa yang sama rakyat telah meletakkan harapan terhadap badan kehakiman dan integriti hakim-hakim supaya sentiasa bebas dalam perbicaraan termasuk perbicaraan kes Anwar. Oleh yang demikian, dalam perbicaraan kes Anwar, kehakiman dan integriti hakim-hakim juga dibicarakan sendiri oleh rakyat.

“Keadilan untuk Anwar” mungkin terdapat sentimen umum penunjuk perasaan dalam tuduhan liwat pertama terhadap Anwar, tetapi sentimen awam dalam liwat II dengan jelas menunjukkan peralihan daripada mendapatkan keadilan bagi seorang individu kepada memperjuangkan keadilan untuk semua orang.

Ini adalah kerana rakyat telah mula menyedari bahawa kita tidak lagi hidup dalam keadaan selamat seperti yang dapat dilihat, di mana orang yang tidak bersalah akan ditindas atas nama undang-undang, manakala pembunuh dilindungi. Malah, ada juga yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi.

Jika anda seorang yang miskin dan ditangkap, anda mungkin boleh mati begitu sahaja di lokap atas sebab yang tidak diketahui atau lebih teruk lagi anda dibawa ke dalam hutan dan diletupkan oleh bahan letupan C4 oleh anggota polis tanpa sebab yang jelas, sepertimana yang dicadangkan oleh Abdul Razak Baginda, bekas penganalisis politik, itu merupakan sesuatu yang agak normal dan tidak boleh dipersoalkan.

Tekanan yang tidak tertanggung

Tekanan yang tidak tertanggung oleh rakyat selain hilang kepercayaan dan keyakinan dalam badan kehakiman dan penguatkuasaan polis, rakyat biasa juga berdepan dengan tekanan hidup yang tidak tertanggung ekoran kos hidup yang semakin meningkat.

Umno dan gabungannya, Perkasa cuba untuk menyalahkan orang Cina kerana telah membuatkan golongan Melayu menjadi miskin. Tetapi helah lama itu telah lenyap dan basi, ramai orang yang teraniaya berani untuk menampilkan diri bagi mendedahkan rasuah, ketidakcekapan dan salah urus kerajaan yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi, pemusatan kekayaan di tangan elit dan peningkatan am kemiskinan di negara ini.

Anwar Ibrahim yang berdiri di barisan hadapan dalam gerakan reformasi sendiri merupakan salah seorang mangsa penganiayaan politik.

Berpuluh-puluh ribu orang telah pergi ke jalan raya untuk menegaskan pendirian dan membuat tuntutan mereka terhadap seruan pembaharuan. Selepas penangkapan Anwar, NGO seperti Hindraf, Bersih, Kebangkitan Rakyat dan Black 505 telah turut serta dalam protes. Ternyata demonstrasi aman besar ini belum pernah dilihat di negara ini sebelum tahun 1998. Ini merupakan satu kesedaran rakyat dan permulaan era baru.
 
Orang yang mengatakan Anwar cuba menghasut dengan menganjurkan bantahan besar-besaran yang bertujuan untuk menyelamatkan dirinya sendiri adalah mereka yang sering melupakan penderitaan atau memandang rendah kecerdasan rakyat.
Kawan atau lawan, seseorang mesti bersetuju bahawa Anwar telah menyalakan api kemaraan rakyat Malaysia dengan memberikan mereka keberanian untuk berjuang. Beliau enggan meninggalkan negara ini kerana mahu terus berjuang. Tindakan beliau ini telah memberitahu rakyat supaya tidak takut, Lawan Tetap Lawan!

* Penulis adalah Bendahari Agung KEADILAN.

Sumber :Disini

Sabtu, 10 Januari 2015

Saman Occupy Dataran - Akhirnya DBKL & PDRM Terbukti Menahan Fahmi Reza Secara Salah Bila Kalah!

Aku petik semula apa yang Fahmi Reza sebut. Dan aku memang suka baca apa yang dia tulis dalam point2 dia. Bagi aku apa yang dia cakap, orang2 biasa macam aku dan kau akan rasa terkesan sebab kita la individu yang paling senang penguatkuasa2 macam DBKL dan PDRM buli sakan.

Baca ;

Tiga tahun dulu pada 22 April 2012, aku telah ditangkap oleh pegawai-pegawai DBKL dan ditahan oleh polis kerana meng-occupy Dataran Merdeka dengan geng Occupy Dataran dan geng mahasiswa anti-PTPTN.

Dengan bantuan kawan-kawan peguam hak asasi manusia Syaredzan & Melissa, aku telah bawa DBKL dan PDRM ke mahkamah kerana membuat tangkapan dan tahanan secara tidak sah, dan mencabul kebebasan dan hak asasi aku pada hari itu.

Setelah hampir 6 bulan perbicaraan yang bermula pada 18 Julai 2014, akhirnya mahkamah telah buat keputusan.

Hari ini masa aku baru sampai New York, aku terima satu e-mail dari peguam aku Syahredzan yang hantar aku gambar ni, sepucuk surat dari Peguam Kanan Persekutuan, Pn. Habibah Binti Haron, peguambela yang mewakili pihak Polis dalam kes aku. Dia telah diarahkan oleh Mahkamah untuk maklumkan keputusan kes aku.

“Keputusan kes adalah tuntutan plaintif (aku) untuk salah tangkap dan salah tahan adalah dibenarkan dan jumlah gantirugi yang dibenarkan adalah seperti berikut;
i. salah tahan - RM5,000 dibayar oleh DBKL dan RM3,000 dibayar oleh pihak polis.
ii. gantirugi teladan - RM20,000 dibayar oleh DBKL dan RM10,000 dibayar oleh pihak polis.”

“Mahkamah memerintahkan pihak DBKL membayar kos sebanyak RM20,000 manakala pihak polis sebanyak RM10,000 kepada pihak Plaintif (aku).”

Kita menang. Akhirnya, kita menang.

——————————————

Kes ni tak pernah pasal duit. Kes ni pasal betapa pentingnya untuk kita bangun bersuara bila berlaku ketidakadilan, untuk kita bangkin melawan bila kita ditindas oleh penguasa, untuk kita berani berjuang untuk mempertahankan kebebasan dan hak asasi kita.

Kau tak akan dengar berita pasal kes ni dalam suratkhabar atau media sebab aku hanya orang biasa macam kau. Kes ni untuk semua orang-orang biasa macam aku dan kau yang pernah kena tangkap polis dan penguasa tanpa bukti dan sebab yang munasabah, yang pernah jadi mangsa ketidakadilan penguasa sebelum ini, tapi tak pernah buat apa-apa dan hanya berdiam diri sebab kita fikir kita orang biasa dan takde siapa akan dengar suara kita. Kali ni aku pilih untuk tidak berdiam diri. Aku pilih untuk melawan.

Kes ni tak pernah pasal duit. Aku tak merancang untuk ambik satu sen pun dari duit gantirugi yang akan dibayar oleh DBKL dan polis. Aku akan bincang dengan geng Occupy Dataran, dan dengan persetujuan mereka aku rancang nak dermakan semua duit tu untuk satu tabung yang akan digunakan untuk membantu bayar kes-kes pencabulan hak asasi manusia dan membantu bayar duit ikat-jamin untuk orang-orang biasa macam aku dan kau yang bakal ditangkap dalam mana-mana demonstrasi atau protes di masa hadapan. Untuk bantu korang yang pilih untuk tidak berdiam diri, yang pilih untuk bangun melawan.

Sekian, terima kasih.

Saya yang tidak menurut perintah,
Fahmi Reza
 

Ahad, 20 April 2014

Penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan dianggap pincang


KUALA LUMPUR: Penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan dalam kes liwat 2 membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap pincang, defensif dan tidak boleh dipertahankan, kata peguam yang juga Naib Presiden PKR, N Surendran.

Surendran merujuk penghakiman bertulis bertarikh 11 April oleh Mahkamah Rayuan yang mengkritik keputusan membenarkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kandang, menerima bukti dikemukakan peguam Saiful Azlan Bukhari dan mendakwa pembelaan Anwar tidak berwibawa.

“Pengadilan ini tidak boleh disokong dari sudut undang-undang dan fakta. Secara dasarnya pincang dari awal hingga akhir,” kata Surendran (gambar) dalam kenyataannya.

Menurut beliau, tidak pernah sebelum ini hakim bertindak "keluar dari lingkungan kes" dengan mengatakan bahawa "rayuan akan ditolak dengan serta-merta".

Surendran yakin pandangan tiga hakim Mahkamah Rayuan itu muncul sebagai respon defensif kepada kritikan luas masyarakat, termasuk satu usul mencela hakim yang dibawa ke Dewan Rakyat terhadap tiga hakim tersebut minggu lalu.

“Tidak sesuai untuk hakim bertindak balas terhadap kritikan kelakuan mereka dengan cara sebegitu.

“Pengadilan dalam satu kes jenayah mesti berdepan dengan fakta dan undang-undang kes dan bukannya hal-hal asing.

“Sebaliknya ia menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan dan objektif hakim. Keadilan perlu bukan sahaja dilakukan, tetapi mesti dilihat untuk dilakukan,” tegas Surendran.

Tambahnya, hakim membuat kesimpulan berdasarkan keputusan Anwar untuk tidak mengangkat sumpah dari kandang saksi, sedangkan di bawah undang-undang jenayah, adalah hak tertuduh membuat kenyataan tidak bersumpah dari kandang.

Surendran merujuk Nelson Mandela yang berbuat demikian dalam kes Rivonia pada 1963 dan Anwar dan melakukannya juga dalam kes Fitnah II kerana diletakkan dalam perbicaraan yang tidak adil dengan sistem politik yang membawanya ke kandang tertubuh.

“Pengadilan Mahkamah Rayuan telah melangkaui semua duluan undang-undang dengan mengkritik Anwar,” kata Surendran. - KeadilanDaily.com

Khutbah sokong GST: Anwar bidas Jawi pertahan penindasan

KUALA LUMPUR 20 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas tindakan menyokong pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam teks khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mei_1_anti_GST
“Kamu (Jawi) yang tulis khutbah ini apa dia, pencacai orang kaya ke?…Guna agama begitu, saya tidak peduli, mufti boleh tanya saya, nak dakwa, dakwa saya, memang saya lawan, apa guna belajar Islam, tetapi pertahan golongan tauke-tauke kaya.

“Faham dahulu, bila naik cukai, (barangan lain) naik harga.
“Belajar ekonomi dahulu, jangan guna ayat Al-Quran pertahankan penindasan,” tegas Anwar.
Khutbah Jumaat Jawi pada 11 April lalu antara lain menyokong pelaksanaan GST dan menyatakan cukai ini baik untuk agama Islam.
Anwar dengan tegas mempertahankan kenyataan kerana menurutnya kenaikan cukai yang menyebabkan rakyat semakin terbeban ini perlu ditentang, dan tidak sepatutnya penindasan kepada rakyat bawahan dipertahankan.
“Ini yang saya bangkitkan sebab ini soal rakyat, kita tidak boleh guna kuasa sewenang-wenang,” kata Anwar.

Rabu, 9 April 2014

Parlimen tiada kuasa gubal undang-undang larang pilihan raya kerajaan tempatan

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini diberitahu bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang melarang pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.
Dalam hujahnya, peguam Tommy Thomas berkata Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghapuskan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di suatu negeri adalah tidak sah.
Katanya Parlimen bertindak melampaui kuasanya apabila ia menggubal Seksyen 15 kerana seksyen itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan badan perundangan negeri mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Thomas mewakili kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas presiden pertubuhan bukan kerajaan, Aliran, P Ramakrishnan (gambar) yang memfailkan petisyen bagi memohon agar pilihan raya kerajaan tempatan kembali diadakan.
Beliau mengemukakan hujah di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif. – Bernama, 9 April, 2014.

Jumaat, 4 April 2014

Kementerian Pertahanan dedahkan identiti Papagomo

papa_M
Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mendakwa Kementerian Pertahanan mendedahkan identiti penulis blog pro-kerajaan "Papagomo" sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris (atas). ‎
Ahli Parlimen Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini mendakwa Kementerian Pertahanan, dalam jawapan bertulis dua hari lepas, mendedahkan identiti penulis blog pro-kerajaan “Papagomo” sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris.  ‎
Dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, Rafizi berkata kementerian itu mengesahkan yang Wan Muhammad Azri Wan Deris dibenarkan bersama wartawan lain masuk ke dalam kapal selam Scorpene pada 9 Disember 2011 untuk “tujuan berkongsi maklumat.”
Rafizi sebelum itu meminta kementerian bila dan kenapa Wan Muhammad Azri, nombor kad pengenalan 830121-03-5019, dibenarkan memasuki kapal selam.
“Saya bertanya soalan itu untuk mendapat pengesahan identiti Papagomo sebab ia diketahui umum yang Papagomo telah memasuki kapal selam atas jemputan menteri.
“Berita ini disebarkan dalam blog-blog pro-Umno, mengesahkan Papagomo sememangnya memasuki kapal selam. Gambarnya dalam kapal selam turut tersebar luas,” kata Rafizi.
Rafizi berkata Wan Muhammad Azri, semasa menjawab soalan dalam kes saman ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan sekeras-kerasnya dia berada dalam kapal selam itu.
“Bagaimanapun, jawapan oleh Kementerian Pertahanan menunjukkan yang Wan Muhammad Azri telah berbohong kepada mahkamah.
“Ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan, iaitu memberi maklumat palsu kepada mahkamah dan membawa hukuman penjara tujuh tahun jika sabit kesalahan.”
Rafizi berkata dia dan N.Surendran (PKR-Padang Serai) akan juga membuat laporan polis pada 8 April.
“Saya hendak melihat sama ada polis akan mengambil tindakan serta-merta terhadap Papagomo dan sama ada mahkamah akan menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.”
Rafizi akan failkan saman fitnah
Rafizi juga berkata dia akan menyaman Wan Muhammad Azri kerana mendakwa dalam laman blognya yang Rafizi dipecat oleh Petronas kerana pecah amanah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada bulan Februari lepas yang Wan Muhammad Azri ialah penulis blog Papagomo dan mengarahkannya membayar pampasan sebanyak RM850,000 kepada Anwar.
Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop, yang memberikan penghakiman di kamar, membuat keputusan ini dalam saman fitnah RM100 juta Anwar terhadap Wan Muhammad Azri.
Wan Muhammad Azri dituduh menyiarkan imej lucah dan kenyataan memalukan mengenai keintiman Anwar dengan seorang lelaki lain dalam laman blognya www.papagomo.com, pada 16 Mac dan 20 Mac.
Keputusan itu ialah penghakiman kedua Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Wan Muhammad Azri sebagai Papagomo walaupun dinafikannya.
Pada 13 September 2013, Wan Muhammad Azri dikenalpasti sebagai Papagomo oleh Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera dan diarah membayar sejumlah RM500,000 sebagai gantirugi kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog itu.
Bagaimanapun, penghakiman itu tidak boleh digunapakai dalam kes mahkamah yang lain sebab Wan Muhammad Azri masih membuat rayuan.

Sabtu, 29 Mac 2014

Kes Bekas Sultanah Di Mahkamah Tertutup



Mahkamah Rayuan Syariah Johor hari ini mengarahkan prosiding rayuan perceraian bekas Sultanah Johor Tuanku Zanariah Tuanku Ahmad dijalankan di mahkamah tertutup.

Keadaan itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mahkamah juga tidak membenarkan putera dan puteri almarhum sultan Johor Mahmud Iskandar, sebagai contoh Tuanku Masera dan saudaranya, hadir dalam mahkamah.

Tuanku Zanariah, yang memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Johor yang mengesahkan perceraian itu, tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan mahu diwakili puterinya.

Malah, peguam yang membantu peguam utama untuk Tuanku Zanariah turut diminta berada di luar mahkamah.

Kamar Ainiah Kamaruzaman, salah seorang peguam Tuanku Zanariah mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini hari ini.

Jumaat, 28 Mac 2014

Papagomo: Mahkamah Kurangkan Gantirugi

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengurangkan jumlah gantirugi daripada RM500,000 kepada RM300,000 untuk dibayar Wan Muhammad Azri Wan Deris kepada seorang ahli perniagaan berhubung artikel berunsur fitnah yang dimuatkan dalam blognya dikenali sebagai Papagomo.
    
Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan sebahagian daripada rayuan Wan Muhammad Azri mengenai jumlah gantirugi tetapi menolak rayuannya tentang liabiliti.
    
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dengan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Wan Muhammad Azri disabitkan memfitnah Abdul Razak Mohd Noor.
    
Pada 13 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengenalpasti  Wan Muhammad Azri sebagai blogger Papagomo dan memerintahkan dia (Papagomo) membayar RM200,000 sebagai gantirugi am dan RM300,000 sebagai gantirugi teladan kepada Abdul Razak.
    
Mahkamah Rayuan Putajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Papagomo membayar RM200,000 sebagai gantirugi am kepada Abdul Razak tetapi mengurangkan jumlah gantirugi teladan kepada RM100,000.
    
Hakim Ariff juga memerintahkan Wan Muhammad Azri, 31, membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Abdul Razak.
    
Abdul Razak, 60, menyaman Wan Muhammad Azri, menuntut RM10 juta sebagai ganti rugi berhubung artikel berunsur fitnah dimuatkan dalam blognya pada 11 Dis, yang secara tersirat membawa maksud beliau (Abdul Razak) seorang penipu yang memperoleh jutaan ringgit melalui kontrak pada Sukan Komanwel.
    
Wan Muhammad Azri diwakili peguam Mohd Arief Emran Arifin dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya sementara Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto.
    
- Bernama
 

Rabu, 19 Mac 2014

'Janji Bola' Antara Taruhan Kak Wan


Pembentukan pasukan bola sepak tempatan bertaraf kebangsaan di Kajang antara taruhan calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk berdepan BN dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Usaha itu dilihat bagi memikat golongan menambat hati anak muda dalam pertarungan menentang lawannya Chew Mei Fun yang juga naib presiden MCA.


Pengarah Strategi Rafizi Ramli, berkata, selain berusaha membolehkannya beraksi di Liga Malaysia, ia sekali gus menjadikan Stadium Kajang digunakan sebaiknya untuk perlawanan dan latihan.

"Di Kajang ada stadium Kajang yang tidak dimaksimakan dari segi penggunaannya.

"Jadi satu manifesto yang akan diusahakan oleh Dr Wan Azizah, iaitu untuk membawa satu pasukan bola sepak beraksi ke Liga Malaysia dari Kajang,” katanya.

Sindir menteri sukan

Rafizi berkata demikian bagi memperincikan empat teras yang terkandung dalam “Manifesto Kajang” yang dilancarkan Wan Azizah hari ini di Bilik Gerakan Utama PKR Kajang.

PKR juga mencetak manifesto berkaitan bola sepak dengan aksi Wan Azizah menyepak bola dengan berkain dan berbaju kebarung.

Aksi itu diperhatikan sekumpulan pemain bola sepak yang kelihatan tersenyum.


Dalam sidang media itu, Rafizi (kanan) juga sempat menyindir sinis Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya bersaing dengan pasukan boleh sepak yang akan dibentuk itu.

"Ini menjadi satu perkara yang menarik sebagai contoh, Dr Wan Azizah mahu mengetuai pasukan bola sepak.

Manifesto juga menggariskan pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalu lintas, membanteras jenayah, meningkatkan keselamatan dan pembangunan serta penyenggaraan perbandaran.

Menurut Rafizi, manifesto itu dicetak 80,000 keping berbentuk poskad untuk diedarkan kepada pengundi, khususnya golongan muda.