Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein mempertikaikan pihak yang membangkitkan isu perkahwinan mega anak lelaki Ketua Menteri Melaka Ali Rustam.
Katanya, perkara tersebut sengaja dibangkitkan memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.
"Dalam masa pilihan raya (semakin tiba) apa benda boleh dijadikan isu. Isu atau sesuatu kes tahun lepas mungkin akan ditimbulkan hari ini."Kalau pemimpin kita buat kerja kahwin anak, kalau musim lain tak jadi isu, sekarang jadi isu.
"Esok saya akan berjumpa dengan Ali. Saya nak beritahu dia, jangan kecewa kerana musim politik sekarang ini, semua faham. Saya nak jumpa hari tu tak sempat... Faham-faham sajalah musim sekarang ini," katanya.
Sehubungan itu, menteri dalam negeri itu juga mengingatkan supaya tidak terikut-ikut dengan amalan kebencian dan serangan peribadi sehingga kerja kahwin pun hendak dipolitikkan.
"Walhal itu satu perkara, yang semua keluarga terpaksa melaluinya termasuk saya," katanya ketika diminta pemberita mengulas kontroversi itu di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan rasuah terhadap Ali Rustam berikutan penganjuran majlis kenduri kahwin anak lelakinya baru-baru ini yang diisytihar bernilai RM600 ribu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Mohd Shukri Abdul berkata, siasatan akan dilakukan secara menyeluruh.
"Kita teliti satu persatu, tengok perbelanjaan daripada mana, siapa yang keluarkan duit, kita periksalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelas lanjut kerana siasatan baharu sahaja bermula.
Majlis perkahwinan anak Mohd Ali pada hujung minggu lepas dihadiri lebih 130,000 orang sekali gus diiktiraf 'Malaysia Book of Records' sebagai tetamu teramai pada majlis perkahwinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan