SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Khamis, 28 Mac 2013

Apa selepas PRU13 ― Abdul Muiz Azmi


Ketika artikel ini ditulis dan disiarkan, Dewan Rakyat masih berbaki empoh sebulan lebih untuk terbubar secara automatik. Masih ada dalam kalangan kita terkeliru di antara Parlimen dan Dewan Rakyat. Parlimen sebenarnya merujuk kepada dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tetapi apabila sudah terbiasa menyebabkan ramai yang menganggap Parlimen itu Dewan Rakyat dan Dewan Rakyat itu Parlimen.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia apabila Parlimen dibiarkan lanjut sehingga menghampiri tempoh matangnya. Banyak telahan dibuat seperti BN takut partinya kalah,BN sedang mengatur strategi dan sebagainya. Terdapat juga yang mengatakan bahawa BN mahu melaksanakan sehabis mungkin segala inisiatif dan dasar transformasi yang dibawa oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Pilihanraya umum kali ini diakui ramai bahawa akan menjadi paling sengit. Hal ini kerana PAS, DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi berperangai seperti parti pembangkang biasa. Mereka sudah tekad dan mula menunjukan diri mereka sebagai kerajaan dalam penantian selepas mereka Berjaya menafikan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Selepas pilihanraya umum 2008 yang dianggap sebagai “tsunami politik”, Barisan Nasional (BN) sudah mula mempercayainya bahawa selepas 2008, mereka berkemungkinan akan menjadi parti pembangkang pada masa akan datang.
Hikmah daripada “tsunami politik 2008”, Malaysia mula menuju ke arah dimensi politik baru. Malaysia sudah ke arah mengamalkan sistem dua parti iatitu BN dan PR. Kini, pada tahun 2013, buat pertama kalinya parti-parti pembangkang seperti PAS, DAP dan PKR akan turun ke gelanggang pilihanraya sebagai satu muafakat politik di bawah nama PR. Adapun begitu, masih terdapat parti-parti lain yang boleh menjadi seperti PSM, KITA, Berjasa dan lain-lain boleh dikategorikan mewakili suara ketiga dalam politik Malaysia. Namun begitu, saya merasakan berkemungkinan Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menyertai PR. Parti-parti politik dan NGO yang lain sekadar tidak memberi apa-apa impak. Bahkan apabila saya membaca berita bahawa Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) akan bertanding di dalam pilihanraya umum ke-13 ini menggunakan logo parti Berjasa serta Gerakan Mahasiswa13(GE13)mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan, saya rasa kedua-dua pihak ini hanya menyibuk dan memanaskan suasana pilihanraya sahaja. Walaubagaimanapun, di ambang pilihanraya umum ke-13, suasana sememangnya makin panas dan menarik.
Dasar BN dan PR
Setakat ini, BN belum mengeluarkan apa-apa manifesto pilihanraya. Tetapi PR telah bertindak lebih awal dengan mengumumkan manifesto mereka. Saya telah pun membaca manifesto PR beserta dengan Buku Jingga yang mereka pernah tonjolkan sebelum ini. Secara peribadinya, saya melihat manifesto pilihanraya PR merupakan kesinambungan daripada Buku Jingga. Pemimpin-pemimpin PR mendakwa kebanyakan idea dan dasar PR telah ditiru oleh parti pemerintah BN. Saya memerhati sedikit sebanyak manifesto PR. Kebanyakannya relevan namun adakah semua dasar ini akan dilaksanakan dengan jayanya selepas PR membentuk kerajaan persekutuan?. Saya tidak mahu bincang manifesto PR di sini. Anda semua boleh baca dan menilai sendiri. Seharusnya politik negara kita perlu bergerak dengan lebih matang dan professional. Ini adalah satu perkara positif apabila kedua-dua gabungan parti politik ini memperkenalkan gagasan masing-masing demi kesejahteraan rakyat.
Apa Selepas PRU13?
Saya tidak mahu membuat ramalan parti manakah yang bakal menguasai Putrajaya nanti. Walaupun saya sudah mendapat sedikit gambaran mengenainya tetapi biarlah ramalan itu terus menjadi ramalan sehingga pada hari mengundi nanti. Sebagai rakyat Malaysia, saya cuma berharap politik Malaysia akan berubah. Politik Malaysia perlu melakukan anjakan paradigm. Amalan politik fitnah dan politik lucah mesti dihentikan segera. Saya berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang membaling cat, telur, batu serta menganggu majlis orang. Saya juga mahu badan-badan penguatkuasa seperti polis bertindak dengan professional. Pihak yang berjaya menguasai Putrajaya nanti haruslah betul-betul membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat. Tiada lagi rasuah, kronisme, nepotisme dan segala perkara keji dan mungkar di dalam politik pentadbiran. Manakala pihak yang kalah harus redha. Jangan pula nanti ada parti politik membuat huru hara terutamanya bagi parti yang sudah lama memerintah dan tetiba meroyan kerana kalah. Jika merasakan bahawa pilihanraya itu penuh dengan penipuan dan penyelewengan maka ia harus di bawa ke muka pengadilan. Sebab itu, tanpa segan-silu, saya menyokong 10 tuntutan BERSIH. Pilihanraya kita masih ada keraguan dan perlu ditajdidkan demi kebaikan negara. Seperkara lagi, budaya politik pasca pilihanraya umu ke-13 mesti berubah. Tiada lagi istilah “kuda tunggangan”, “balaci”, “macai”, “pencacai”, “alat”, “ejen” dan sebagainya.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
The Malaysian Insider/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan