KUALA LUMPUR:Menjelang pilihanraya umum ke 13, PAS percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menceduk lebih banyak janji Pakatan Rakyat kerana situasi semakin mendesak buat beliau dan Umno-BN.
“Menjelang tarikh PRU yang semakin dekat, tidak mustahil PM akan mengumumkan langkah drastik termasuklah menghapuskan pinjaman PTPTN dan penurunan harga minyak.
"Ini akan dilakukan demi mendapat sokongan rakyat terbanyak khususnya di kalangan anak-anak muda,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.
Tuan Ibrahim juga mengulas tindakan Najib ke Masjid Sri Petaling dengan memakai kopiah dan berkain sarung dan membawa keluarga untuk beristirehat di The Curve di khalayak orang ramai.
Baginya, tindakan itu tidak mengejutkan apatah lagi bilamana ia berlaku menjelang PRU13.
“Kerana pada pandangan umum, dalam situasi terdesak seperti dialami BN-Umno kini yang sudah di ambang kekalahan, pelbagai wajah boleh dijelma asal ianya berjaya menarik perhatian pengundi.
"Nampaknya satu persatu tindakan yang dilakukan oleh pimpinan PR akan diikuti oleh Perdana Menteri, bahkan tawaran Buku Jingga turut diikuti, walau pada mulanya ia diserang habis-habisan,” kata Tuan Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut berkata tindakan meniru tawaran PR dengan terus mengisytihar melalui pelbagai jenama baru, walaupun asasnya sama, membuktikan Najib kekeringan idea dalam meneruskan kepimpinan negara.
Najib, katanya juga berhadapan pelbagai pergolakan dalaman termasuk agihan kerusi yang masih belum selesai.
"PM juga tertekan dengan kemungkinan kehilangan kerusi Presiden Umno jika gagal memulihkan BN seperti yang dikatakan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
"Walau apapun rakyat tetap menunggu ketibaan hari mereka untuk menobatkan kerajaan baru dan barisan kepimpinan baru yang lebih berwibawa dan mampu menggalas amanah. insyaAllah,” tambah Tuan Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan