Teka-teki bilakah Parlimen akan dibubarkan yang menjadi tanda tanya setiap rakyat khusus di Selangor akhirnya terjawab apabila Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membuat pengumuman pembubaran Dewan Rakyat semalam berkuatkuasa 3 April 2013. Ketidaktentuan tentang tarikh pembubaran sebelum ini telah serba sedikit telah memberi kesan negatif terhadap kerancakan aktiviti ekonomi negara termasuk juga di Selangor.
Hari ini saya telah mengadap Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Shah di Istana Alam Shah bagi menghadiri upacara pembubaran DUN Selangor berkuatkuasa hari ini 4 April 2013. Dengan pembubaran tersebut maka mulai saat ini negeri Selangor akan ditadbir oleh Kerajaan Sementara (caretaker government). Ini bermakna Menteri Besar dan semua ahli Exco Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan tugas sebagai sebuah kerajaankecuali yang melibatkan pembuatan polisi-polisi atau dasar-dasar baharu serta pengeluaran dana negeri.
Bagi mengelakkan kesusahan yang kami telah tanggung sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 yang mana kebanyakan peruntukan DUN telah habis digunakan, saya dan Pegawai Kewangan Negeri telah buat keputusan pada bulan lalu bahawa semua Adun dan Exco hanya boleh menggunakan 50 peratus daripada peruntukan masing-masing. Ini bagi memastikan peruntukan mencukupi selepas pilihan raya selesai diadakan untuk membolehkan kerajaan baharu melaksanakan tugas dengan berkesan agar kebajikan rakyat tidak terabai.
Kerajaan Pakatan Rakyat telah mewujudkan pentadbiran reformasi; bersih, telus dan penuh pertanggungjawaban selama 5 tahun sejak diberi mandat oleh rakyat negeri ini pada mac 2008. Kami amat bangga kerana sepanjang tempoh ini, tiada seorang Exco, Adun atau pegawai tinggi kerajaan yang menghadapi tuduhan salah guna kuasa ataupun rasuah.
Harapan saya dan barisan Exco agar pengundi di Selangor membuat penilaian terbaik berdasarkan pencapaian kami selama 5 tahun. Kami bukan sahaja mengekalkan Selangor sebagai negeri paling maju dengan jumlah pelaburan tertinggi tetapi pada masa yang sama kami mengutamakan kebajikan rakyat dengan program-program pembangunan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada seluruh pengundi dan rakyat Selangor agar terus memberikan kami mandat agar kami dapat meneruskan sebuah pentadbiran reformasi.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan