KUALA LUMPUR: Arkitek terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan penyertaan beliau ke dalam politik adalah untuk mempastikan golongan profesional memainkan peranan dalam membentuk halatuju negara.
Raja Bahrin yang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai calon parti Islam itu di Parlimen Kuala Terengganu berkata, beliau akan mempastikan suara golongan profesional didengari dalam pentadbiran negara.
"Cukuplah Malaysia kehilangan seorang teknokrat besar negara, Datuk Seri Hassan Marican yang kini menjadi peneraju pelbagai badan korporat besar di Singapura dan antara bangsa.
"Saya akan mewakili golongan ini untuk bersama-sama menyumbang untuk negara," kata beliau ketika ditemui para wartawan selepas pengumuman itu.
Menurut Raja Bahrin, selama ini ramai golongan profesional yang menyertai politik namun jarang arkitek seperti beliau berbuat demikian.
(Gambar atas: Raja Bahrin menunjukkkan dokumen-dokumen dari Lembaga Arkitek dan PAM yang membersihkan nama beliau ekoran runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu)
"Semasa saya di Kuala Terengganu semalam, saya didatangi oleh sekumpulan profesional di Kuala Terengganu yang meminta saya mewakili golongan semacam mereka," katanya.
Ketika diumumkan sebagai calon, Raja Bahrin turut membuat beberapa penjelasan yang antara lain menolak bebanan kesalahan akibat runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizani Kuala Terengganu.
Beliau mengakui membuat rekabentuk stadium itu tetapi untuk bahagian konkrit sahaja kerana bumbungnya di buat secara 'design and build' (reka dan bina) oleh kontraktor dari Korea.
Bahagian konkrit stadium itu tetap utuh selepas bumbungnya runtuh.
"Jika mereka kata saya bersalah dalam runtuhnya bumbung stadium ini, dakwalah saya," kata beliau dalm sidang media itu.
Ketika ditanya apakah beliau mahu menyertai pilihan raya kali ini untuk dijadikan platform untuk membersihkan namanya, Raja Bahrin menafikannya.
"Antara isu-isu besar yang saya perjuangkan di Kuala Terengganu adalah mempertahankan Pasar Payang, royalti untuk Terengganu dan mempertahankan sebuah kampung di bandaraya Kuala Terengganu iaitu Kampung Ladang Tok Pelam.
"Kampung Ladang Tok Pelam(kanan) ini sangat unik kerana di sinilah industri kampung seperti membuat keris, pertukangan tembaga, perak, batek dan sebagainya berkembang pesat di Terengganu.
"Namun kampung yang sangat unik ini dimusnahkan untuk memberikan laluan kepada pembinaan jalan raya," jelas Raja Bahrin.
Bagi beliau, kampung sebegini perlu dipertahankan kerana ia adalah asas industri di Terengganu sebelum minyak dijumpai di negeri itu.
"Sampai bila kita mahu bertahan dengan minyak kerana ia akan habis... sepatutnya kita mempertahankan keunikan kampung ini," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan