SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Sabtu, 24 Januari 2015

Mahkamah khas selesai kes pelancong

 mahkamah
KOTA KINABALU - Mahkamah khas untuk menyelesaikan kes jenayah membabitkan pelancong asing sebagai mangsa, saksi ataupun pesalah di Sabah dan Sarawak perlu diwujudkan segera.
 
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berkata usaha ini dilakukan supaya kes jenayah yang membabitkan pelancong asing yang berada di kedua-dua negeri itu dapat diselesaikan dengan cepat.
 
"Kita dalam usaha untuk mewujudkan mahkamah khas ini. Buat masa ini, saya minta pengamal undang-undang di Sabah dan Sarawak supaya menyelesaikan tuntutan kes mana-mana pelancong agar mereka tidak menunggu lama sehingga berbulan," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak di sini hari ini.
 
Malanjum berkata pada tahun lepas, terdapat 34 pelancong di Sarawak dan empat di Sabah yang didakwa atas pelbagai kesalahan di Mahkamah Majistret. - Bernama

Program Dialog Anak Muda Bersama Anwar di Ipoh, esok

KUALA LUMPUR 23 JAN- Orang ramai khususnya golongan muda dijemput hadir ke program Dialog Anak Muda Bersama Anwar Ibrahim yang dianjurkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak pada esok, 24 Januari.

Program itu akan diadakan di Pejabat KEADILAN Perak yang terletak di Jalan Pasir Puteh di Ipoh, berdekatan Tokong Tow Boo Keong Ipoh. 

Program yang membolehkan golongan muda berdialog dan berdiskusi bersama Ketua Umum KEADILAN itu dijadual berlangsung pada jam 3 petang hingga 5 petang.

Antara tetamu yang dijangka hadir ialah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Naib Ketua AMK, Tan Kar Hing yang juga Adun Simpang Pulai.

Selain itu, ia disertai mantan Ketua AMK Perak, Yunus Jamhari merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail dan Ketua AMK Perak, Mohd Azlan Helmi.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Sandrea Ng ditalian 012-5322152.
Minggu lalu, Program ‘Meet Anwar Selangor’ yang diadakan di Bandar Utama Petaling Jaya, mendapat sambutan hangat oleh kira-kira 500 anak muda.

Adakah Zahid menteri pertama tulis surat pada FBI? – Fahmi

KUALA LUMPUR 23 JAN-  Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi perlu tampil memberikan penjelasan sama ada beliau menteri pertama yang menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Fahmi merujuk laporan media yang memetik kenyataan bekas menteri KDN, Tan Sri Syed Hami Albar yang berkata tidak pernah menulis surat kepada FBI seperti dilakukan Zahid.

Fahmi
Menurutnya, laporan tersebut turut menyatakan mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga tidak pernah berbuat demikian.
“Maka ramai yang ingin tahu, adakah Zahid Menteri Dalam Negeri yang pertama berbuat sedemikian?

“Adakah wujud satu “Standard Operating Procedure” (SOP) bagi menteri-menteri kabinet untuk menulis surat kepada mana-mana badan atau organisasi atas nasihat peguam yang bukan Peguam Negara, seperti surat yang ditulis Zahid ini?.” ujarnya dalam kenyataan media.

Katanya, beliau ‘berdoa’ agar Zahid ‘dikurniakan keberanian’ untuk menjawab soalan-soalan tersebut, dan tidak berselindung di sebalik alasan teknikal dan undang-undang kukubesi seperti dibuat sebelum ini.

Syed Hamid Albar hari ini mengesahkan beliau tidak pernah menulis surat kepada FBI ketika mengetuai kementerian berkenaan.
Beliau bagaimanapun berkata, menulis surat kepada kerajaan asing adalah perkara biasa dalam urusan kerajaan, namun tidak pernah menulis kepada mana-mana agensi.

Zahid sebelum ini dikecam hebat kerana menulis surat kepada agensi asing itu untuk membebaskan raja judi, Paul Phua yang berdepan tindakan mahkamah di Amerika Syarikat.

Rabu, 21 Januari 2015

‘Polis sekongkol dengan penjenayah’ mengejutkan – Mahfuz

 
KUALA LUMPUR 20 JAN- Ketua Whip Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berhubung kerjasama pihak berkuasa dengan penjenayah.
Ini berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa “Raja Judi” Paul Phua bekerjasama bagi memastikan keselamatan negara seperti terkandung dalam suratnya kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
“Pendedahan yang dibuat Hanif Omar mengejutkan dan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan apakah bantuan yang diberikan Phua dalam soal keselamatan negara,” tegas Mahfuz dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Hanif baru-baru ini dilapor berkata, wujud prinsip kerjasama antara pihak keselamatan dengan penjenayah untuk mengatasi ancaman jenayah yang lebih berat.
Selain itu, bekas ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mengakui keistimewaan diberikan kerajaan kepada penjenayah yang bekerjasama jika mereka ditangkap di negara lain.
“Pihak berkuasa (negara tersebut) akan merujuk kepada Peguam Negara yang mungkin akan bawa perkara itu kepada Menteri Luar dan Kabinet.
“Jika mereka yakin pihak berkuasa negara lain itu mengharapkan pertimbangan istimewa, mereka akan menimbangkannya,” kata Hanif dipetik.
Menurut Mahfuz, jika keistimewaan itu benar-benar diberikan, ia boleh dianggap perbuatan melindungi penjenayah yang sedang didakwa atas kesalahan berkenan.
Ia katanya, seolah-olah satu pengkhianatan besar terhadap amanah yang diberikan rakyat kepada pihak berkuasa.
“Jikalau sebegitu bermurahnya hati kerajaan bertindak membela penjenayah, maka tidak hairanlah usaha pencegahan jenayah yang semakin parah di negara ini gagal.
“Kita mengecam sekeras-kerasnya, perbuatan bersekongkol dengan penjenayah tertentu membolehkan mereka berbuat sesuka hari dan terus bermaharajalela, ia seolah-olah mengkategorikan penjenayah tersebut sebagai berlesen dan direstui kerajaan,” jelasnya Mahfuz.

Pas persoal motif, dalang bunuh Altantuya

KUALA LUMPUR 20 JAN- Pas hari ini sekali lagi membangkitkan mengenai motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan meminta Mahkamah menjelaskan motif pembunuhan wanita warga Mongolia berkenaan.
Mahfuz Omar PCKetua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedua-dua tertuduh yang dijatuhi hukuman mati bukan polis biasa, sebaliknya anggota Unit Tindakan Khas yang bertindak mengikut arahan. “Persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini ialah apakah motif pembunuhan warga Mongolia itu, jika membunuh dengan niat, niat apa? “Mahkamah tidak harus sembunyikan motif, ia adalah elemen yang sangat penting yang menjurus kepada perlakuan membunuh, apatah lagi mereka disabitkan dengan tuduhan membunuh dengan niat,” tegasnya dalam sidang media hari ini.
 
Menurutnya, kehilangan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar yang dikesan berada di Australia menunjukkan ‘kelompangan’ sistem keselamatan negara sehingga tertuduh bolos dan mendapatkan perlindungan daripada tindakan ekstradisi. “Bagaimana tertuduh kes jenayah berat yang masih belum selesai kes perbicaraan boleh dengan mudah dibenarkan untuk ke luar negara? “Tambahan pula wajah tertuduh sememangnya sudah lama dibiarkan menjadi misteri dan tidak dapat dicam oleh masyarakat umum,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
 
Beliau turut menyatakan kesediaan bertemu Sirul jika individu tersebut mahu mendedahkan rahsia sebenar di sebalik pembunuhan itu, yang sebelum ini dikaitkan dengan pemimpin negara.

“Dalang sebenar dalam kes ini perlu didedahkan, saya harap Sirul boleh rungkai semua persoalan.“Sirul boleh hubungi saya dengan segera melalui telefon, email atau facebook. Saya bersedia bertemu beliau di mana-mana sahaja. “Saya mahu mendengar sendiri siapakah dalang dan motif sebenar pembunuhan tersebut,” tegasnya. Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, beliau merasakan terpanggil untuk bertemu Sirul selepas membaca kenyataan ibu Sirul yang mendakwa anaknya tidak diberikan keadilan seharusnya.

DAP jawab Mustafa Ali

Saya merujuk kepada laporan wawancara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bersama akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan pada 12 Januari 2015 yang juga dipetik oleh portal Malaysiakini.

Dalam wawancara tersebut, Datuk Mustafa Ali telah membuat beberapa andaian politik terhadap DAP, yang pihak kami merasakan tidak tepat sama sekali dan perlunya diperjelaskan secara terbuka melalui kenyataan ini.

Yang pertama, beliau mengandaikan bahawa DAP telah berputus-asa dalam usaha menuju ke Putrajaya dan berpuas hati dengan kedudukan sekarang dengan mentadbir kerajaann negeri Pulau Pinang dan hanya ingin memenangi kerusi tambahan di Sarawak.

DAP ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah berputus-asa dalam usaha menumbangkan BN di peringkat Persekutuan dan membentuk kerajaan yang baru di Putrajaya dalam kerangka Pakatan Rakyat.

Ini kerana DAP bersama-sama dengan PKR dan PAS membawa obor harapan 52 peratus rakyat Malaysia yang telah memberikan mandat kepada kami dalam pilihan raya umum ke-13.

Justeru itu, semua parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan harapan majoriti rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Putrajaya.

Itulah sebabnya DAP terus memberikan komitmen penuh untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kekal walaupun terdapat banyak isu dan perbezaan di antara kami dengan PAS dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Komitmen ini dapat dibuktikan dengan sokongan kami kepada rakan-rakan dalam PAS khususnya di Kelantan dalam menghadapi musibah banjir di pantai timur baru-baru ini.

Walaupun kami tidak bersetuju dengan kerajaan negeri Kelantan berkenaan dengan isu hudud, kami mengenepikan perbezaan tersebut untuk membantu dan menyokong usaha pemulihan pasca banjir di Kelantan atas dasar kemanusiaan.

Yang keduanya, Datuk Mustafa Ali mendakwa bahawa pimpinan DAP merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan PAS. Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak berniat untuk memburukkan sesiapa dalam PAS.

Kami hanya berpandangan kritikal terhadap keputusan PAS Kelantan untuk meneruskan usaha pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana keputusan tersebut bukannya konsensus dalam Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibawa untuk perbincangan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Hudud bukan dasar bersama

Umum diketahui bahawa pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia BUKANNYA dasar bersama yang dipersetujui oleh parti-parti Pakatan Rakyat.

Konsensus yang dicapai oleh ketiga-tiga parti pada 28 September 2011 ialah, walaupun hak parti PAS untuk memperjuangkan isu hudud dihormati, namun adalah ditegaskan bahawa apa-apa usaha untuk melaksanakan hudud di mana-mana negeri perlu dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan konsensus perlu dicapai.

DAP ingin menegaskan bahawa pucuk pimpinan PAS tidak pernah membangkitkan isu pelaksanaan hudud di Kelantan ataupun usaha mereka untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk membenarkan pelaksanaan hudud di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Itu yang menyebabkan DAP terpaksa mengkritik keputusan PAS secara terbuka.

Yang ketiga, Datuk Mustafa Ali membangkitkan soal isu pilihanraya kerajaan tempatan yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mengatakan bahawa PAS membantah keputusan tersebut.

DAP amat terkilan dengan pandangan tersebut kerana bagi kami, agenda pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan adalah selari dengan agenda pendemokrasian dalam semua peringkat kerajaan yang merupakan antara tunjang dasar bersama Pakatan Rakyat.

Kami tidak faham mengapa PAS tidak bersetuju malah membantah usaha untuk mengembalikan proses pilihanraya kerajaan tempatan. Mungkin hanya pimpinan tertinggi PAS sendiri sahaja yang mengetahui alasannya dan dapat menjelaskan sebab bantahan mereka.

Kesimpulannya, DAP tetap komited terhadap perjuangan Pakatan Rakyat untuk membawa politik baru di Malaysia dan menjadi alternatif kepada BN di peringkat persekutuan.

Kami yakin Pakatan Rakyat akan berjaya sampai di Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 sekiranya semua parti dalam Pakatan iaitu PAS, PKR dan DAP dapat terus memartabatkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama.

Dan menumpukan segala usaha kami secara bersama untuk memperjuangkan isu-isu keadilan, pentadbiran yang baik, memerangi rasuah, kebajikan rakyat dan pada masa yang sama mengenepikan segala isu yang tidak mendapat konsensus daripada ketiga-tiga parti.

PAS jawab DAP yang 'tak konsisten'

 
Pertamanya saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Anthony Loke (bawah), setiausaha organisasi DAP kerana mengakui dan mengesahkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak termasuk dalam polisi bersama Pakatan Rakyat.

Premis perbincangan kita sebenarnya bukan isu demokrasi tetapi pendirian DAP yang tidak konsisten tentang polisi bersama.

Ini kerana banyak lagi isu demokrasi yang belum selesai jika kita mahu bincangkan isu ini.

Sepanjang masa DAP menyatakan bahawa sebarang isu yang tidak termasuk dalam polisi bersama dan tidak dipersetujui oleh pimpinan tertinggi Pakatan tidak boleh dilaksanakan.

Isu kerajaan tempatan adalah contoh tentang sikap DAP yang tidak konsisten dalam hal ini.

Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati-matian berkata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama ia diteruskan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Ini yang menjadi persoalan.

Pendirian pemimpin Pakatan berkaitan isu kerajaan tempatan jelas, ia tidak mempunyai persetujuan bersama untuk dilaksanakan.

Ini boleh dibuktikan daripada perkara yang sama dikemukakan oleh Teresa Kok sewaktu menjadi pengerusi DAP Selangor yang mengemukakan isu pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.

Angkuh bila ada majoriti

Pendirian yang diambil oleh pimpinan Pakatan dalam mesyuarat-mesyuaratnya dalam isu ini jelas menolaknya sehingga ia dibincangkan bersama oleh ketiga-tiga parti di peringkat negeri.

Sehingga ini tiada sebarang keputusan dibuat oleh Pakatan di peringkat negeri.

Jelas tiada persetujuan di kalangan pimpinan. Tetapi dalam kes Pulau Pinang kerajaan DAP tanpa merujuk kepada pimpinan pusat, ia terus dilaksanakan.

Ini yang menjadi persoalannya. Apa sebabnya, kerana mereka ada majoriti dalam DUN Pulau Pinang.

Ini adalah gambaran daripada sikap arogan atau angkuh yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP apabila mereka memperoleh kuasa majoriti.

Hal ini juga dimanisfestasi oleh pimpinan DAP Sarawak yang membuat kenyataan, tidak perlu kerjasama PAS hatta PKR sekalipun hanya kerana DAP paling kuat di Sarawak.

Sifat arogan sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebahagian pemimpin DAP ini satu amalan yang tidak baik dalam konteks kerjasama politik sekarang.

Oleh itu saya menyeru kepada pemimpin DAP supaya jangan meneruskan amalan dan sikap seperti ini kerana sikap angkuh dan arogan ini bercanggah dengan amalan dan semangat setiakawan dalam kerjasama ini.


DATUK MUSTAFA ALI setiausaha agung PAS.

Paip pecah di Semenyih, 56,884 rumah terjejas

 
Sebanyak 56,884 rumah di Hulu Langat dan Sepang, Selangor akan mengalami gangguan bekalan air selama 36 jam mulai pukul 8 malam esok sehingga pukul 8 pagi Jumaat ini berikutan kerja-kerja kecemasan untuk membaiki paip pecah.

Paip utama yang pecah itu mendapat bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Semenyih yang diuruskan oleh pihak Konsortium ABASS Sdn Bhd dan kerja-kerja kecemasan itu perlu dilaksanakan segera, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan hari ini.

Sejumlah 44,661 rumah daripada 54 kawasan di Hulu Langat bakal menghadapi gangguan itu termasuk Seksyen 6, Bandar Baru Bangi; Bandar Sri Putra, Bangi; Taman Impian Putra; Taman Bangi Villa; Taman Bangi Indah; Bandar Bukit Mahkota, Pekan Bangi Lama, Desa Mahkota Bangi; Mutiara Bangi dan Taman Jernang Jaya.

Sementara itu, Wilayah Sepang melibatkan 12,223 rumah daripada 15 kawasan di antaranya Taman Warisan Bestari; Bandar Baru Salak Tinggi; Taman Kenanga; Kota Warisan; Taman Bunga Raya, Taman Mawar (1,2, Perdana, Emas Villa); Taman Dahlia; Taman Seroja; Taman Ixora; Kampung Geching Hulu; Desa Salak Permai, Taman Anggerik; Jenderam Hilir dan Sungai Buah.

Bagi membantu mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan terjejas, lori tangki dan tangki air statik Syabas diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk pengagihan bekalan air kecemasan.

Syabas juga ingin mengingatkan kepada para pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat serta mengelakkan pembaziran sepanjang kerja-kerja kecemasan ini.

- Bernama
 

Isnin, 19 Januari 2015

Abim masih berbisa tanpa Anwar

 Amidi Abdul Manan

KUALA LUMPUR – “Tidak adil membandingkan antara kepimpinan lama dan baharu yang menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), lebih-lebih lagi sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi presidennya.”
 
Demikian reaksi Presiden Abim, Amidi Abdul Manan ketika diminta mengulas mengenai badan itu yang dilihat makin sepi ketika ini.

 
Mengakui kelantangan NGO Islam itu kini agak pasif , namun Amidi berkata, ia tidak bermakna usaha dakwah terhenti di situ sahaja selepas zaman Anwar berlalu.

 
"Abim bertuah mendapat bekas Presiden dan dalam masa sama pengasas yang begitu berkaliber dan dihormati dalam kalangan gerakan Islam di seluruh dunia.

 
"Ketika saudara Anwar memimpin Abim, waktu itu berlaku gelombang kedua kebangkitan Islam pada abad ke-20 dan tidak terkecuali di Malaysia.

 
"Jadi sudah tentu dari segi pendekatan dulu dan sekarang sudah berubah, ketika itu beliau menampilkan Islam sebagai jawapan kepada seluruh permasalahan manusia, Islam mampu menjadi penyelesaian kepada masalah hidup," katanya kepada Sinar Online di sini, hari ini.

 
Beliau berkata lagi, perjalanan Abim dalam dunia dakwah tidak berubah namun ia perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa termasuk bersikap lebih berhati-hati apabila berdepan isu politik dan agama di negara ini.

 
"Sebab itulah kita menguar-uarkan antaranya Islam sebagai sistem hidup, sebagai satu cara hidup, Islam sebagai panduan kehidupan kepada semua.

 
"Perkara itu telah diterima oleh masyarakat dan adakah kita perlu untuk membuat penegasan yang sama, melakukan gerak kerja yang sama, sebagaimana Abim mula ditubuhkan, sudah tentu tidak.

 
"Perkara itu kita sesuaikan dengan keadaan, macam sekarang ini amalan usrah boleh diterima oleh pihak media seperti program Halaqah yang boleh memberikan imej kepada aktiviti keagamaan sedangkan istilah itu adalah istilah yang sinonim dengan gerakan Islam sendiri," ujarnya.

 
Dalam pada itu, beliau juga menafikan Abim ketandusan golongan pelapis untuk meneruskan kesinambungan NGO Islam itu sambil menegaskan muktamar adalah platform terbaik untuk tujuan tersebut.

 
"Saya kira perubahan antara 1970-an sehingga kini, dalam masa sama kalau hendak dikatakan dari segi pelapis, kita terus melatih.

"Kita boleh lihat sendiri kepada setiap kali bermuktamar, tidak kurang daripada 400 hingga 700 perwakilan seluruh negara hadir sama-sama berbincang khusus berkaitan dengan belia Islam sahaja.

"Dengan jumlah itu kita yakin dapat melatih mereka sebagai pelapis dan kader gerakan Islam pada masa akan datang," katanya lagi.

'Tiga Line' dari kaca mata pengkaji

 
Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) atau lebih dikenali sebagai Tiga Line antara NGO Melayu yang sangat terkenal dan mempunyai anggotanya di seluruh pelosok Malaysia.

Tetapi siapakah mereka, daripada mereka datang dan apa peranan mereka dalam masyarakat?

Persoalan itu dirakam oleh pengkaji Perancis Sophie Lemiere (kiri) yang cuba memahami daripada dalam jaringan Pekida di Malaysia dalam buku terbaru suntingannya Misplaced Democracy: Malaysian Politics and People.

Malaysiakini menyimpulkan dapatannya daripada bab berjudul “Gangsta & Politics in Malaysia” (Samseng dan Politik di Malaysia) kepada 13 soalan lazim.

1. Bagaimana Pekida bermula?

Menurut artikel dalam jurnal Asian Almanac pada 1978, ia bermula sebagai Tentera Sabilullah, yang disifatkan sebagai “organisasi jenayah” berasaskan agama yang dibubarkan pada tahun tulisan itu diterbitkan.

Ia kemudian digerakkan kembali oleh anggotanya sebagai Pekida dan Angkatan Sabilullah.

Angkatan Sabilullah dibubarkan oleh kerajaan selepas dituduh menjadi kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan PAS.

Untuk pengkaderan, anggotanya diberitahu ia ditubuhkan selepas rusuhan kaum Melayu-Cina pada 13 Mei 1969.

Lemiere bagaimanapun percaya perkara itu cuma mitos.

2. Kenapa Pekida digelar juga Tiga Line?

Nama Tiga Line merujuk kepada tiga jalur bendera Pekida iaitu merah (bermaksud darah atau kesetiaan), kuning (raja) dan hijau (Islam).

3. Siapa ahli Pekida?

Anggotanya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada peringkat bawahan kepada golongan elit atasan, termasuk ahli politik, ahli perniagaan, pegawai kerajaan, pegawai tentera malah artis.

Ia terbuka untuk 17 tahun ke atas. Tidak ramai perempuan menyertai kumpulan
itu atau mengambil bahagian dalam tindakan politik yang dibuatnya.

4. Siapa pimpin Pekida?

Sejak kematian PLB (“yang namanya tidak boleh disebut kepada umum”) pada 2006, pengikutnya yang digelar “paduka” mendakwa menjadi pewarisnya.

Ia menyebabkan wujud krisis kepimpinan dan wujud kumpulan serpihan seperti geng 77 (sebut: double seven) dan 36, yang mempunyai subkumpulan menggunakan nama lain serta logo seperti harimau dan naga.

5. Bagaimana hierarki Pekida?

Ia bermula daripada ahli biasa kepada pangkat “abang” dan kemudiannya “ayah”.

Terdapat empat peringkat abang, iaitu abang kawasan, abang cik, abang ngah dan abang long.

Peringkat lebih atas ialah kekanda, kemudian ayah atau ayahanda dan seterusnya paduka.

6. Adakan Pekida sebuah kumpulan samseng?

Pekida mempunyai dua bentuk iaitu entiti sah dirujuk sebagai “putih” dan kumpulan samseng bawah tanah digelar “merah”.

Menurut Bernama, Kementerian Dalam Negeri dalam kempen pembasmian kongsi gelap tahun lalu mendedahkan, terdapat dua kumpulan aktif Melayu, yang merupakan pecahan daripada Pekida.

Jawapan rasmi Pekida, bagaimanapun, menafikan mempunyai kaitan dengan aktiviti haram.

“Tidak semua anggota putih aktif dengan merah, seseorang itu boleh menjadi aktivis NGO itu tetapi tidak terlibat dengan samseng.

“Dengan kata lain, tidak semua anggota Pekida terlibat dalam aktiviti jenayah tetapi ramai juga yang melihat kepada peluang perniagaan daripada jaringan besarnya.”

Sumber:Disini

Sabitan buka seribu persoalan, kata peguam

 
Sabitan kesalahan terhadap bekas polis elit  Sirul Azhar Umar “membuka seribu persoalan” berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin.

Walaupun menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, Kamarul membangkitkan masalah berhubung motif pembunuhan itu.

“Motifnya tidak dikenal pasti terhadap anak guam sama (sama ada di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Perkara itu, katanya antara perkara yang dibahaskan orang ramai.

Kamarul (kiri), salah seorang daripada tiga peguam Sirul, juga membangkitkan isu panggilan telefon dan pesanan teks antara penganalisis politik Abdul Razak Bagind, DSP Musa Safri dan tertuduh pertama Azilah Hadri.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Sirul mendakwa beliau dijadikan “kambing hitam” untuk “melindungi rancangan mereka”.

Kamarul kemudian mencadangkan bahawa anak guamnya diperangkap dalam kes pembunuhan warganegara Mongolia itu.

Mahfuz menang saman akhbar RM150K

 
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar akan mendapat RM150,000 setelah menang saman terhadap New Straits Times Press (M) Bhd dan bekas ketua pengarang Berita Harian Datuk Ahmad Rejal Arbee. Ia berkaitan artikel dalam Berita Harian pada tahun 2000 berjudul "Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk".

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif hari ini menolak permohonan NSTP untuk merayu kerana tiada merit untuk membenarkannya.

Pada Mei tahun lalu, tiga anggota Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009, yang memutuskan artikel itu sebagai fitnah.

Mahfuz diwakili oleh peguam Azhana ‎Mohd Khairuddin manakala NSTP pula diwakili oleh Nad Segaram.
 

Malaysiakini

Saiful Bukhari dedah arahan TV3 'hentam' Daim

Saiful Bukhari Azlan, pengadu kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan arahan wajib membuat liputan TV3 terhadap program PKR yang didakwa bertujuan menyerang bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Saiful memuat naik komunikasi WhatsApp yang mengandungi arahan “must cover and use” (wajib buat liputan dan guna) kepada wartawan penyiaran Nik Suryani Megat Deraman pada 25 November lalu.

Arahan yang didakwa daripada “bos besar” itu mengarahkan Nik Suryani, yang juga isterinya, membuat liputan berhubung sidang media anggota parlimen PKR Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin (kiri).

Ia berkaitan desakan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan hasil siasatan terhadap dakwaan kes rasuah Daim di parlimen.

“Bukan niat untuk persoal mengapa TV3 attack (serang) Tun Daim, tapi mahu persoal mengapa beria sangat bagi coverage (liputan) pada PKR? TV3 dah jadi media PKR ke?

“Tak ada orang sendiri yang berani untuk dedah ke? Hari tu Shamsul Iskandar, sekarang ini (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim pula?” soalnya.

Saiful berkata, beliau ingatkan serangan terhadap Daim itu cuma sekali tetapi “rupanya makin menjadi-jadi”.

Berhenti kerana 'jijik'

Nik Suryani kini tidak lagi berkhidmat dengan TV3 setelah mengambil skim pemberhentian kerja “MSS”.

Hari terakhir beliau bertugas pada 15 Disember.

“Ada beberapa faktor, antaranya terasa seperti bermajikan pihak lawan, terasa jijik apabila diarah buat liputan PC (sidang media) Shamsul Iskandar-PKR, untuk tikam tokoh yang beliau sendiri hormati.

“Beliau mengambil keputusan drastik, berisiko, walau tidak ada jaminan pekerjaan lain. Hidup biar berprinsip. Rezeki di tangan Allah," katanya.

Daim (kanan) sebelum ini telah menyuarakan rasa terkejutnya terhadap perhatian luar biasa media mesra kerajaan terhadap dakwaan pembangkang berkaitan tuduhan yang dilemparkan padanya.

Serangan terhadap Daim, orang kuat Tun Mahathir Mohamad, dilihat bermula selepas bekas perdana menteri dan beberapa lagi tokoh mula bersikap kritikal terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

SPRM pada 1998, ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR), memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap Daim.

Bagaimanapun, kali ini, SPRM telah mengambil keterangan Daim dan akan bertemu dengan Anwar yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berkenaan kes itu.
 

Kerusi meja nasi kandar 'Line Clear' dirampas

Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hari ini merampas kerusi dan meja premis nasi kandar 'Line Clear' kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi tahun 2015.
  
Pengusaha restoran nasi kandar terkenal itu, Abdul Hamid Seeni Pakir, 65, mendakwa Restoran Line Clear yang beroperasi 24 jam itu didatangi sepasukan anggota penguatkuasa pada pukul 3.30 pagi dan mengangkut kira-kira 30 kerusi dan meja di kaki lima premis itu.
  
"Masa itu ada kira-kira 20 pelanggan di kedai dan pekerja hanya tengok penguatkuasa angkut barang itu masuk ke dalam lori mereka," katanya kepada pemberita di kedainya di Jalan Penang di Georgetown.
  
Beliau yang mengaku berniaga tanpa lesen sejak memegang giliran berniaga di premis itu pada 2008, mendakwa tidak menerima sebarang notis dan penjelasan daripada MPPP berhubung perkara itu.
  
Abdul Hamid berkata beliau dan tiga pewaris lain restoran yang diasaskan bapanya itu mengamalkan sistem giliran iaitu setahun operasi bagi setiap seorang  sejak 1950-an.

Abdul Hamid berkata beliau pernah memohon lesen sekurang-kurangnya lima kali iaitu pada 2006, 2009, 2010, 2011 dan 2012 namun tidak diluluskan MPPP.
  
Sementara itu, Jabatan Korporat Bahagian Perhubungan Awam MPPP berkata tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja 1979.
  
"Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan kerana pengusaha berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen bagi tahun 2015," kata jabatan itu dalam kenyataan di Georgetown.
  
Kenyataan itu menyebut MPPP telah mengeluarkan lesen kepada pengusaha baru mengikut keputusan yang dibuat MPPP pada 8 Okt tahun lepas.
  
Dalam sidang akhbar 2 Jun tahun lepas, Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP Azman Sirun berkata menurut rekod, lesen telah dikeluarkan atas nama Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latif Thulkarunai dan Pathumah Iskandar untuk menjalankan perniagaan di tapak itu.
  
-Bernama

Bagaimana pembunuh Altantuya boleh ke luar negara?

KUALA LUMPUR 17 JANUARI- Pengerusi Pemantau Jenayah MyWatch, Sri Sanjeevan mempersoalkan bagaimana suspek pembunuhan kes berprofil tinggi Altantuya Shaariibuu dibenarkan ke luar negara.

Menurutnya, pergerakan tertuduh, Koperal Sirul Azhar Umar yang juga bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) sepatutnya dipantau secara rapi selepas dibebaskan dengan ikat jamin.

“Bagaimanakah seorang suspek kes pembunuhan berprofil tinggi meninggalkan negara tanpa disedari? Ini mesti disiasat dan sepatutnya kita berasa malu dengan ketidakcekapan pihak berkuasa kita,” katanya dalam kenyataan.

Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Azilah Hadri didaapti bersalah kerana membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutan pada 13 Januari lalu.

Keputusan itu mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013 yang membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh warga Mongolia berkenaan.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan ketika keputusan perbicaraan dan peguamnya memaklumkan tidak dapat menghubungi tertuduh sejak enam bulan lalu.

Media kemudian melaporkan Sirul berada di Australia dan tidak mempunyai wang untuk kembali ke tanah air.

Kerajaan Australia bagaimanapun tidak membenarkan ekstradisi dibuat ke atas Sirul bagi menjalani hukuman gantung kerana tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Sanjeevan berkata, alasan kesempitan wang untuk tidak kembali ke Malaysia bagi menghadapi pendengaran di Mahkamah Persekutuan tidak dapat diterima sama sekali.

“Secara peribadi, saya ingin menawarkan tiket penerbangan percuma kepada Sirul untuk pulang ke Malaysia dari Australia,” ujarnya.

Menurutnya, jika alasan itu adalah benar dan tiada niat melarikan diri, beliau pasti tertuduh akan menerima tawaran berkenaan dan pulang ke Malaysia untuk dijatuhi hukuman.

 Sumber : Disini