Pada 7 Januari 2015, saya bersama Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk
Johari Abdul menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas isu penganugerahan kontrak pembaharuan
Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejumlah RM87.4 juta kepada syarikat
swasta MyEG secara monopoli, Ahmad Zahid masih membisu sehingga hari
ini.
Mengikut penjelasan syarikat MyEG kepada Bursa Malaysia, tugas mereka
termasuk untuk menggubal, mengenal pasti, menyelenggara, mengemaskini
serta menganalisa pengkalan maklumat pekerja-pekerja asing di
Malaysia.[1]
Saya amat terkejut dengan pendedahan ini kerana ianya membuktikan
bahawa terdapat ketirisan yang teruk di bawah Jabatan Imigresen Malaysia
sebelum ini, sehingga Pati bukan sahaja dapat menetap dan bekerja di
Malaysia, mereka atau majikan juga dapat memperbaharui PLKS mereka
sebelum ini!
Saya tidak faham mengapakah perkara ini boleh dibiarkan berleluasa
bertahun-tahun, dan tiada sebarang tindakan ataupun langkah diambil.
Kelonggaran dan ketirisan ini juga memberi gambaran seolah-olah terdapat
unsur korupsi dan penyelewengan oleh mereka yang berkuasa.
Yang lebih menyedihkan adalah percubaan menteri dan kerajaan Umno BN
menolak tanggungjawab ini kepada syarikat swasta secara monopoli
sehingga mereka bakal mengaut keuntungan sebanyak RM87.4 juta daripada
rakyat.
Ini belum lagi mengambil kira risiko pembocoran maklumat imigresen
dan bakal mengancam keselamatan serta kedaulatan negara. Mengapakah
pembaharuan PLKS dan pembersihan Pati mesti ditugaskan luar kepada
syarikat swasta dan tidak boleh dikendalikan oleh Jabatan Imigresen
sendiri? Mengapakah rakyat terpaksa membayar sebanyak dua kali, iaitu
sekali kepada Jabatan Imigresen dan sekali lagi kepada MyEG?
Saya memberi tempoh 3 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid
Hamidi untuk memberikan penjelasan kepada orang awam sebelum saya
membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lee Chean Chung
Adun Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat
Adun Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan