SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Jumaat, 4 Januari 2013

Lapan Pengguna Kenderaan Dilaporkan Selamat


Tujuh buah kenderaan melibatkan lima kereta, satu van dan sebuah motosikal tertimbus dalam kejadian tanah runtuh diPersiaran Putra Bahagia berhampiran Balai Polis Putra Heights, Subang Jaya petang semalam. Bagaimanapun lapan pengguna kenderaan terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata banjir lumpur berlaku di laluan itu akibat daripada runtuhan tanah dari Bukit Cermin yang sedang dalam proses pembinaan rumah semi-D."Tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam takungan air yang berhampiran dan menyebabkan kolam itu pecah."Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana jarak antara kolam dan jalan kira-kira 20 meter," katanya di lokasi kejadian.

Kenderaan-kenderaan yang pada mulanya tertimbus kemudiannya 'dihanyutkan' banjir lumpur itu dan pengguna-pengguna kenderaan itu dapat menyelamatkan diri, katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.12 petang dan sampai di tempat kejadian dua minit kemudian.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6.05 petang."Kejadian tersebut berlaku 500 meter daripada Balai Polis Putra Heights," katanya.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan jalan raya sedang dilakukan dan diharap selesai pada tengah malam ini supaya orang ramai dapat melalui semula jalan tersebut.

Manakala, pihak pemaju projek perumahan tersebut Kingsley Hills Sdn Bhd, Tan Sri Barry Goh berkata pembinaan rumah tersebut bermula pada awal tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

NONE"Kita mungkin terpaksa menghentikan projek pembinaan tersebut dan akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengenai tindakan seterusnya," katanya sambil menambah keluasan projek itu kira-kira 40.46 hektar.

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie meminta semua kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dihentikan sehingga satu kajian dibuat.
   
- Bernama

Awan Megah & syarikat berus gigi diberi projek Puspahanas

PETALING JAYA 4 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan projek penswastaan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) milik Kementerian Pertahanan kepada Awan Megah Sdn Bhd dan sebuah syarikat pengeluar berus gigi ketika menjawat Menteri Pertahanan.
Dalam sidang media hari ini, Pengarah Srategi KEADILAN, Rafizi Ramli menunjukkan bukti penganugerahan tersebut melalui satu surat perjanjian yang ditandatangani pada 8 Jun 2005.
Rafizi berkata, Kementerian Pertahanan memindahkan tiga bidang tanah iaitu PT220 (96.825 ekar), Lot 1158 (45.42 ekar) dan PT216 (81.085 ekar) sebagai balasan.
Perkara itu turut dinyatakan dalam surat perjanjian yang dilampirkan.
Menurut beliau, melalui semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Awan Megah tidak membuat sebarang aktiviti sejak ia ditubuhkan.
“Oleh kerana Awan Megah adalah syarikat Ali Baba, ia terpaksa lantik GuppyUnip Sdn Bhd (sebagai rakan kongsi).
“GuppyUnip dikuasai Cheong Chow Koh, melalui pegangan (saham) dari syarikat utamanya, Unip Berhad, sebuah syarikat pengilang berus gigi,” dedah Rafizi di ibu pejabat parti.
Tambah beliau, semakan melalui SSM menunjukkan GuppyUnip ditubuh pada 9 Disember 2009 dan tiada pengalaman dalam bidang pembinaan.

Zahid Hamidi Di Sapina


KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengeluarkan sapina kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) agar datang ke mahkamah 6 Januari ini.
Sapina itu dikeluarkan oleh mahkamah atas permohonan Datuk Husam Musa yang menyaman blogger Papa Gomo.
“Mahkamah telah meluluskan permohonan saya untuk sapina Menteri Pertahanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Ini kerana, Ahmad Zahid kenal siapa Papa Gomo ini apabila beliau membenarkan blogger ini memasuki kapal selam Scorpean sebelum ini,” kata Husam kepada Harakahdaily.
Husam menyaman Papa Gomo ekoran satu laporan fitnah yang dibuat blogger Umno itu melalui blognya.
Writ saman tersebut difailkan Husam melalui peguam Hisham Fauzi baru-baru ini dengan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta, memohon maaf secara bertulis, gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.
Selain itu injunksi menghalang defendan atau ejen atau pembantu berkomunikasi, memberi komen, mengulangi penerbitan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.
Defendan melalui blog; http://www.papagomo.com bertajuk ‘gambar ekslusif bakal MB Kelantan pimpin tangan China Doll’ diterbit pada 6 Disember tahun lepas cuba mengaibkan Husam dengan menyiarkan gambar tersebut.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri menyifatkan gambarnya dimanipulasikan sehingga memberikan gambaran plaintif sedang berpimpin tangan dengan seorang perempuan Cina.
Defendan atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris beralamat di Villa Apartment, Jalan 5/23 e, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur antara lain turut menulis;
“Tapi Kawe yakin rakyat Malaysia bijok dan crdik bilo keleh gambar ni. Ambo yakin sedikit sebanyak rakyat Kelantan akan buko mato kenal siapo hok dalam gambar ni.”
Dalam writ samannya Husam menjelaskan gambar itu sebenarnya menunjukkan beliau ketika itu bersama rombongan kerajaan Kelantan ke China sedang berjalan keluar dari sebuah bangunan dengan diikuti oleh jurubahasanya, seorang perempuan warganegara China.
Plaintif sebelum ini mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut supaya memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi. Bagaimanapun defendan gagal dan enggan berbuat demikian.
Harakahdaily.net

GFI Datang Ke Malaysia Untuk Jelaskan Aliran Keluar Modal


Badan pemantau kewangan – Global Finance Institute (GFI) – telah bersetuju untuk membentangkan kajiannya mengenai pengaliran keluar modal dari Malaysia dalam satu seminar yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi berkata seminar itu dijadual diadakan pada 17 Januari, manakala Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah bahawa beliau akan menulis kepada Bank Negara lewat hari ini untuk menjemput bank pusat itu secara rasmi menghadirinya.
GFI sebelum ini melaporkan kira-kira RM196.8 bilion telah dibawa
keluar dari Malaysia pada tahun 2010, meletakkan negara ini kedua selepas China dalam kedudukan global bagi pengaliran modal haram.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Anwar berkata pihaknya mahu GFI hadir menjelaskan butir-butir dan mekanisme bagaimana mereka mendapat angka tersebut dan kemudiannya pihaknya akan menjemput Bank Negara dan semua pihak yang berkaitan.
Anwar juga pernah sebelum ini berkata beliau mahu menjemput Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar untuk menjelaskan isu tersebut.
Rafizi berkata adalah sukar untuk membawa GFI datang ke Malaysia, dan oleh itu, beliau berharap untuk mendapatkan seberapa ramai yang mungkin bagi menghadiri seminar tersebut, terutama ahli ekonomi.
Katanya, konsep ‘dana haram’ adalah benar-benar baru dan ia bukan konsep ekonomi tradisional.
“Kebanyakan orang tidak memahaminya. Saya akan bertaruh bahawa kebanyakan orang di Bank Negara pun tidak memahaminya,” katanya sambil menambah bahawa seminar itu merupakan peluang yang baik bagi mereka untuk melihatnya dari dekat.
Mengenai perkara yang berasingan, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu tidak menerima sebarang maklumbalas dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai status pendaftaran Pakatan Rakyat sebagai pakatan politik.
Beliau berkata, Pakatan pada mulanya memohon di bawah jawatankuasa penaja yang diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.
Apabila Zaid meninggalkan PKR pada tahun 2010, ROS menghubungi Pakatan sekali untuk memberitahu bahawa mereka perlukan jawatankuasa penaja yang baru.
Gabungan itu memohon semula dengan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai pengerusi baru jawatankuasa penaja pada tahun yang sama, dan sejak itu ia tidak pernah mendengar apa-apa dari ROS walaupun beberapa susulan telah dibuat dalam sebulan.
Saifuddin berkata, adalah tanggungjawab ROS untuk menghubungi pihaknya mengenai apakah keperluan atau prasyarat yang mereka perlu penuhi untuk mendapatkan kelulusan.
“Saya tidak fikir tugas mereka adalah hanya untuk menerima permohonan dan berdiam diri. Ia tidak adil sama sekali,” katanya.
Malaysiakini

DAP Mahu Saman Blogger, Berita Harian Berhubung Isu Tanah Di Kelantan

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham telah memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang blogger pro-BN dan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu yang didakwanya telah melaporkan berita palsu terhadapnya dan rakan separtinya, Nga Kor Ming.NONEBerita tersebut didakwa berkaitan dengan kontroversi baru-baru ini yang melibatkan beliau dan Nga yang berkaitan dengan satu isu tanah di Kelantan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ngeh (kiri) berkata bahawa tindakan undang-undang telah dimulakan terhadap blogger pisau.net, Mohd Jeffrey Amin Abdul Hamid dan Berita Harian kerana didakwa memfitnah beliau dan Nga.

Ngeh menyaman Mohd Jeffrey kerana posting di blognya yang bertajuk "Hot! Tanah 10,526 Ekar Sebagai Syarat Nizar Jadi Menteri Besar Perak Adalah Benar" pada 17 Disember.
NONEBerita Harian pula berdepan dengan tindakan undang-undang itu bagi artikel bertajuk"Hutan Sungai Relai Gondol" yang disiarkan di muka depan pada 27 Disember dan satu ulang-siar posting pisau.netmengenai isu itu.

"Notis undang-undang sedang dikeluarkan kepada mereka dan tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap mereka yang memfitnah kami," kata Ngeh, yang merupakan ahli Parlimen Beruas.

Menurut Ngeh, pisau.net telah "secara palsu dan berniat jahat" melaporkan bahawa kerajaan Kelantan telah menganugerahkan kepadanya dan Nga 10,526 ekar tanah sebagai pertukaran untuk perjanjian bagi melantik pemimpin PAS, Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak pada tahun 2008.

Beliau mendakwa bahawa blogger itu menggunakan nama samaran 'Encik Pisau Suka Hiris' untuk blog untuk menyembunyikan identitinya.

[Baca berita penuh]

KEADILAN Terus Bongkar Salah Guna Wang Pencen Tentera


KUALA LUMPUR 4 Jan: KEADILAN hari ini akan meneruskan siri pendedahan penyelewengan berhubung anugerah kontrak kepada Awan Megah Sdn Bhd sehingga menyebabkan salahguna wang pencen tentera berjumlah RM160 juta.
Pendedahan oleh Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin itu akan dibuat pada sidang media di ibu pejabat parti, Petaling Jaya 11 pagi ini.
(Berita menyusul

Anwar ajak pemimpin dunia kutuk penerbitan hina Rasulullah


KUALA LUMPUR 4 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak pemimpin dunia mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan karya sebuah majalah satira di Perancis yang menghina Rasulullah.
Beliau juga mendesak karya berkenaan ditarik semula dan mengecam keras penghinaan terbaru dengan melakar kisah kehidupan Rasulullah saw.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata ada batas yang membezakan antara penghinaan dan penyelewengan agama dengan kebebasan bersuara dan hak berkarya.
“Hak kebebasan berkarya bukan alasan untuk disalah guna oleh pihak tertentu yang berkepentingan.
“Allah swt melarang sama sekali menggambarkan Nabi Muhammad saw dalam apa jua cara, melainkan seperti yang digambarkan dalam al-Quran,” katanya.
Sebuah majalah satira Perancis, Charlie Hebdo baru-baru ini menerbitkan karikatur Rasulullah.
Muka depan majalah itu memapar gambar Yahudi Ortodoks menolak serban seorang individu yang digambarkan sebagai Nabi Muhammad saw.
Majalah yang turut memuatkan gambar bogel itu terbit ketika bantahan meruncing terhadap filem anti-Islam tersebar di internet.
Pada kenyataan di facebook malam tadi, Anwar percaya karya itu bertujuan menimbulkan provokasi terhadap umat Islam dan cuba membangkitkan kekacauan.
Katanya, Perancis perlu bertanggungjawab dengan bertindak terhadap mereka yang sengaja mencetuskan provokasi itu dengan segera.
(Untuk baca kenyataan penuh, klik ini)

Kedutaan Jepun Sahkah Serah Wang Pampasan



(Pertemuan Sekretariat Jejak dengan wakil Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jepun di Malaysia mengesahkan kerajaan negara itu telah menyerahkan sejumlah wang pampasan kepada kerajaan Malaysia untuk diserahkan kepada buruh paksa pembinaan landasan keretapi Thailand Myanmar.

Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun ke Malaysia, Takaharu Suegami, ketika mengesahkan penyerahan wang itu berkata,

"Berdasarkan maklumat yang dikaji, kami dapati wang tersebut diserahkan sekitar tahun 1990an.

"Kami akan merujuk kepada Tokyo selepas ini (untuk maklumat lanjut)," kata beliau.

Ketika ditanya, siapa penerima pampasan ini, pegawai kedutaan Jepun itu berkata, "Kami tidak tahu macam mana kerajaan Malaysia mengagihkan wang pampasan itu."

Bagaimanapun, Takaharu berjanji akan merujuk balik dengan Tokyo berdasarkan dokumen yang diberikan hari ini.

Sekretariat Jejak mencari bekas buruh paksa dan waris landasan maut Siam Burma  yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin mengunjungi Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang pampasan itu.

Turut bersama dalam kunjungan itu, Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Ketua Operasi Jejak Safarizal Saleh, Penolong Pengerusi Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946 dan beberapa orang lagi wakil dari Jejak.

Dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, Nizar mendakwa, kerajaan Jepun telah membayar RM207 bilion kepada kerajaan Malaysia sebagai pampasan kepada buruh paksa pembinaan keretapi itu.
Namun sehingga kini, tidak ada sebarang wang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mangsa atau waris mereka.

(Rombongan bergambar di perkarangan kedutaan selepas berjumpa pegawai kedutaan)

Dalam kunjungan hari ini, Sekretariat Jejak juga meminta pihak negara Jepun memberi maklumat bila dan berapa jumlah pampasan kepada buruh binaan itu di hantar ke negara  ini dan siapa yang mengesahkan penerimaan itu.

Dalam pertemuan sejam itu, Nizar turut meminta pihak Jepun menyerahkan senarai nama rakyat Malaysia yang menjadi buruh binaan landasan kereta api Siam-Burma 1942 hingga 1946 itu.

"Kita jumpa dengan pihak kedutaan Jepun petang ini, untuk mengesahkan maklumat yang kita perolehi itu benar atau sebaliknya.

"Sekiranya pihak Jepun masih menyimpan senarai buruh atau mangsa-mangsa dari Malaysia ini sila majukan kepada kami," katanya ketika ditemui.

Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan beberapa surat pengesahan dan dokumen rasmi kepada wakil Kedutaan Jepu berkenaan.

Salah satu surat tersebut dari Kementerian Kewangan bertarikh 29 Mac 2011 menjelaskan,  "kertas pertimbangan bagi kelulusan pengeluaran wang pampasan kepada buruk paksa  ke Burma 1942 hingga 1946. Sukacita dimaklumkan peruntukan sejumlah RM207 billion telah diangkat oleh kelulusan kerajaan di mana prosesnya dimaklumkan kepada pejabat Peguam Negara dan di peringkat Kementerian Sumber Manusia".

Menurut Nizar, pihaknya sehingga kini tidak tahu di mana pampasan itu berada sama ada masih disimpan di dalam Perbendaharaan Negara atau Amanah Raya kerana tidak ada sebarang penjelasan dibuat kerajaan sehingga kini.

"Kita tidak tahu. Kalau wang itu masih ada dalam simpanan kerajaan kenapa tidak diberi balik kepada mangsa. Mangsa ada 30,000 yang boleh balik semula ke Malaysia walaupun ada yang meninggal dunia tetapi mereka masih ada waris melalui Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Kereta Api Siam Burma 1942-1946".

Mengikut rekod persatuan bekas buruh paksa ini, jumlah 30,000 buruh ini melibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Nizar yang juga Ajk PAS Pusat berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta wang pampasan.

"Banyak! pemberian pampasan ini kepada mangsa lebih baik dari ETP yang dibuat oleh kerajaan, sekurang-kurangnya dapat mengatasi sedikit masalah ekonomi orang Melayu," katanya.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

Khamis, 3 Januari 2013

Doa Bertemu Jodoh Untuk Wanita Sahaja



Pernah dengar istilah anak dara tua (andartu), anak dara lanjut usia (andalusia), janda berhias dan sebagainya?

Sebenarnya penulis dan ramai pihak tidak begitu gemar hendak melabelkan seseorang wanita yang tidak berkahwin itu dengan pelbagai gelaran sedemikian.

Namun di sebalik pelbagai gelaran itu, kita kena terima hakikat, memang jumlah wanita yang belum berkahwin cukup ramai ketika ini

Ada pendapat mengatakan, antara punca wanita tidak berkahwin bukanlah kerana mereka lebih selesa hidup bersendirian daripada menanggung risiko dalam perkahwinan tetapi disebabkan tidak ramai lelaki yang layak dijadikan suami.

Sudahnya, suami orang juga yang diintai, lebih-lebih lagi suami misali, kerana mereka tentunya memikat hati banyak wanita.

Malah ada tinjaun menunjukkan, fenomena pelajar perempuan menguasai institut pengajian tinggi (IPT) dewasa ini telah mewujudkan semakin ramai golongan wanita yang enggan berkahwin.

Penulis difahamkan, yang merisaukan ramai wanita andartu ialah, masa berlalu, tetapi mereka tetap tidak mempunyai calon yang sesuai dan memahami diri mereka, dalam masa yang sama mereka juga takut untuk tangkap muat, bimbang kalau menyesal di kemudian hari.

Bagi Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Madya Dr. Anisah Abdul Ghani , dalam menghadapi tekanan hidup, apatah lagi ke atas golongan tanpa suami, maka menjaga hubungan dengan Allah adalah amat-amat diperlukan.

Ini kerana golongan sebegini sering dilempar dengan pelbagai tohmahan yang sudah pastinya menyentap dan mengguris hati kecil seorang wanita.

Ditambah pula dengan lemparan gelaran dan jolokan seperti ‘janda berhias’, ‘janda meletup’ ‘andartu’ dan ‘andalusia’ seperti yang disebutkan di awal tadi.

Padahal sepatutnya, golongan ibu tunggal harus dibela kebajikan dan dijaga sensitiviti mereka.
Besar kemungkinan juga, segelintir wanita yang tidak berkahwin itu bukannya memilih, jauh sekali menafikan sunnah Nabi.

Tetapi semua itu adalah dugaan Allah Yang Maha Mengetahui.
Sayangnya, itulah realiti masyarakat kita yang sesuka hati melabelkan seseorang itu tanpa meletakkan diri mereka ditempat si pulan itu.

Hakikatnya, lelucon yang berlebihan dan sindiran yang menyakitkan itu memberi kesan kepada mental, spiritual dan emosi individu yang dimaksudkan itu.

Tambah memburukkan keadaan apabila ada segelintir mengaitkan golongan sebegini dengan perlakuan maksiat dan tidak bermoral.

Meskipun tidak dinafikan ada kes sedemikian, namun punca utamanya bukanlah disebabkan oleh status mereka itu.

Lantaran itu, selagi individu yang terpaksa memikul bebanan atas tuduhan yang tidak berasas ini berpegang dengan pendirian setiap sesuatu itu adalah dengan kehendak-Nya, kata Anisah, mungkin tekanan ini dapat dikurangkan atau dijadikan penawar atau sebagai pemujuk hati.

Ermmm…menarik juga apa yang dikatakan pensyarah ini.

Apapun, alang-alang kita menyentuh bab ini, penulis ada terjumpa sepotong doa dalam laman web Darussyifa khusus untuk kaum wanita (seperti di atas)  yang mengharapkan jodoh atau dipertemukan insan yang soleh sebagai teman hidup mereka.

Darussyifa ini merupakan satu pusat perubatan cara Islam yang cukup terkenal di negara ini yang diterajui oleh Datuk Dr. Haron Din.

Mana tahu dengan mengamalkan doa ini, akan dimakbulkan harapan dan seterusnya bertemu dengan jejaka idaman yang diidamkan, InsyaAllah

Ikhlas Kah Rais Yatim ? Dan Bersungguh Kah Umno ?


RAIS YATIM DAN UMNO DOK TUNGGU APA LAGI?

Amanat: Penjelasan 'live', Umno tunggu apa lagi?

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Umno untuk segera memberikan ruang kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang muncul secara langsung di televisyen bagi menjelaskan polemik berkaitan isu 'Amanat Hadi'.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, Umno sewajarnya tidak perlu berlengah selepas Presiden PAS itu telah menyatakan hasrat mahu membuat penjelasan secara langsung sama ada di saluran RTM ataupun TV3.

Sebelum ini katanya, Umno bertali arus menggunakan seluruh saluran mereka menyerang Tuan Guru Abdul Hadi dengan mencabar Presiden PAS itu menjelaskan 'amanat' yang dikeluarkan kira-kira 30 tahun dahulu di Banggol Peradong.

"Umno nak tunggu apa lagi? Ustaz Hadi sudah buat permintaan. Segerakan kemunculan Presiden PAS di TV1 dan TV3.

"Saya harap akan ada suatu tindakan dalam masa yang terdekat untuk menunjukkan komitmen mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, Umno kini dilihat tersepit dengan permintaan Presiden PAS itu sehingga terpaksa mencipta pelbagai alasan untuk mengelaknya.

Malah katanya, Umno kini dilihat cuba 'mencuci tangan' dengan meletakkan pula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta mufti untuk berdepan dalam isu ini.

"Umno jangan guna institusi agama termasuk mufti untuk menggagalkan permintaan Ustaz Hadi ini.

"Taktik ini samalah seperti yang digunakan untuk membatalkan Debat PAS-Umno pada tahun 1985," katanya lagi.

Najib wajar dijemput


Sebelum ini ketika bercakap kepada Sinar Harian, Salahudin secara sinis mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut dipanggil bersama dalam forum yang dicadang Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Salahudin berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di televisyen bersama Ustaz Hadi adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, jemputan dibuat itu adalah perkara kedua, yang penting bagi PAS penjelasan amanat presiden perlu dibuat secara langsung di televisyen.

Dalam laporan media kelmarin, Rais berkata, tokoh agama dan mufti akan turut dijemput untuk bersama dalam satu forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Ustaz Hadi bagi memperjelas amanatnya.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatarbelakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita."

HD

Nikmat Sebagai Rakyat Malaysia Akan Terhakis Sedikit Demi Sedikit. Pendidikan,Air,Eletrik akan Datang Ubat Pula.... Mana Lagi Hak Rakyat Malaysia ?




PETALING JAYA 2 Jan: Orang ramai tidak lagi berpeluang mendapat ubat percuma dari hospital atau klinik kerajaan sebaliknya perlu menanggung sendiri kos menerusi swasta ekoran dasar baru yang bakal dilaksana Kementerian Kesihatan tidak lama lagi.

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri berkata, maklumat diterimanya menyatakan Kerajaan Persekutuan menangggung RM1.2 bilion untuk membiayai ubat-ubatan pesakit dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.

Oleh sebab itu, kementerian dikatakan terpaksa menghentikan pengedaran ubat-ubatan secara percuma.

“Antara ubat paling banyak diberi kepada pesakit ialah paracetamol (ubat demam) dan ubat penahan sakit, piriton (selsema) dengan kos 10 sen setiap biji. Kementerian membelanja lebih RM1.2 bilion dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun.

“Maka satu sistem baru akan diperkenal dalam masa terdekat. Kementerian Kesihatan tidak lagi membekalkan ubat kepada pesakit, tetapi perlu membelinya sendiri di farmasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Yahya berkata, sistem itu jauh berbeza pada masa kini apabila kementerian menanggung segala kos rawatan, konsultasi dan perubatan.

“Kami mendesak dasar baru itu dibatal serta-merta kerana ia jelas membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah selain kos sara hidup setiap hari kian melonjak.

“Kita juga desak dasar sedia ada dikekalkan kerana kami yakin jika kewangan negara diurus dengan tata kelola baik termasuk membasmi rasuah, rawatan kesihatan percuma boleh diberi kepada seluruh rakyat sebagaimana dinikmati di beberapa negara Eropah,” katanya.

Mengikut data Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), ketika ini, 72 peratus daripada 12 juta pekerja Malaysia bergaji RM700 hingga RM1,500 sebulan dengan purata mereka mempunyai tiga orang anak. Dasar baru ini pasti akan membebankan rakyat.

Turut hadir dalam sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Aminuddin Harun dan Setiausaha Kewangan (MTUC), Alias Awang. -KD

Cuntoh Terbaik Untuk Orang Malaysia


Betuika ni..PASTI mana_la yang bertuah ni. menerima pelajar Kaum India ? Jom Baca


Islam untuk semua. PAS untuk semua!

PASTI Siti Sarah di seksyen 7 Bangi menerima pelajar berbangsa India beragama hindu. Mereka semakin mendekati Islam.
Mudah-mudahan Allah mencampakkan hidayah dalam hati-hati mereka. Amin.

(kredit gambar : Pasti Serdang)

Ola Bamba Buat Hal Lagi Minah NIh....



Zarina, 26, bersama seorang lagi rakannya, pelajar kolej swasta, Mohamad Fakhruzaim Mohamad Fawzi, 26, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat No C-3-10 Armanee Condo, Jalan PJU 10/1C Damansara Damai pada jam 5.30 petang, 30 Disember 2012. Majistret Nazri Omran membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan ditetapkan pada 8 Februari ini. 

Ada-ada saja dengan Zarina. Ingatkan dia sudah insaf setelah terbabit dengan pelbagai kontroversi seperti gambar separuh bogel dan gambar seksi dengan majalah FHM. Dalam serbuan kira-kira tiga hari lepas, pasukan polis menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan sejurus menerima maklumat daripada orang awam mendakwa kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Menurut sumber:- Ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek berada dalam rumah berkenaan dan mereka pada mulanya enggan bekerjasama apabila tidak membuka pintu walaupun polis sudah memperkenalkan diri. Selepas pegawai yang mengetuai serbuan mengetuk pintu rumah, suspek wanita membuka tingkap, tetapi segera menutupnya semula selepas menyedari kehadiran polis.
Buat pengetahuan anda, Zarina juga pernah ditangkap polis pada satu Ops Perayaan Tahun Baru Cina 2010 di LCCT kerana disyaki mengambil dadah. Pada masa itu, dia mengaku mengambil dadah Ketamin dan Syabu, tetapi pada masa pengakuan dibuat dia masih belum menjalani ujian air kencing. Apa agaknya alasan tak masuk akal yang akan diberikan Zarina berikutan penangkapan ini? Bersama kita nantikan.

Berbagai Cara Untuk Memajukan Perniagaan ( Gunting Rambut Guna Api)




Contohilah Lelaki Cina Ini...

KASIH AYAH...Lee menyuap keropok kepada anaknya yang memasuki tahun satu di SK Kampung Tengah, semalam.


[HM] KUALA TERENGGANU: “Saya tertarik untuk memakai tudung apabila melihat rakan yang bertudung kelihatan cantik, sopan serta tidak perlu mendandan rambut yang pasti mengambil masa lama,” kata Lee Jing Hwa, 7, yang mencuri tumpuan apabila memakai tudung ketika mendaftar sebagai pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, Manir, di sini, semalam.

Jing Hwa, satu-satunya pelajar berketurunan Cina di sekolah itu, hadir ke sekolah dengan berbaju kurung dan kelihatan tidak kekok memakai tudung seperti pelajar perempuan Islam.

Bapanya, Lee Chee Peng, 50, berkata, anak perempuannya itu mula memakai tudung sejak berusia lima tahun ketika belajar di Tadika Kemas berhampiran rumahnya di Taman Sri Manir.

Menurutnya, walaupun ada tadika Cina dekat rumahnya, dia memilih menghantar anaknya itu ke Tadika Kemas bagi membolehkannya bergaul dengan kanak-kanak Melayu.

“Saya mahu dia mengalami persekitaran berbeza dan bercampur dengan rakan dari bangsa lain memandangkan negara kita berbilang kaum.

“Guru di tadika tidak memaksanya memakai tudung, malah membenarkan dia memakai gaun, tetapi dia lebih suka pakai baju kurung dan bertudung kerana baginya nampak lebih comel,” katanya yang tidak kisah dengan penampilan anak kelima daripada enam beradik itu.

Menurutnya, semua anaknya belajar di sekolah kebangsaan supaya mereka menguasai bahasa kebangsaan menerusi pergaulan dengan rakan Melayu.

“Bagi mempelajari bahasa Cina, saya menghantar mereka ke kelas tambahan.

“Sebelum ini, ramai rakan termasuk keluarga mempertikaikan keputusan saya menghantar anak ke sekolah kebangsaan, tetapi akhirnya mereka faham dan kagum kerana semua anak saya termasuk Jing Hwa dapat bercakap bahasa Melayu dan Cina dengan baik,” katanya.


P/s: Saya kata contohilah lelaki Cina yang juga bapa kepada murid perempuan comel ini bukanlah meminta agar rakan-rakan bukan Melayu memakaikan anak mereka tudung, tetapi mengikut jejaknya menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan dan berusaha memastikan anak-anak dapat bergaul dengan rakan-rakan daripada bangsa lain.

Menurut lelaki ini, tindakannya menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan dipertikai oleh rakan dan ahli keluarga. Mengapa hal ini berlaku? Walhal rakyat Malaysia sepatutnya mengutamakan sekolah kebangsaan yang menggunakan medium bahasa kebangsaan dan menempatkan murid daripada pelbagai latar masyarakat. Untuk memastikan murid bukan Melayu menguasai bahasa ibunda masing-masing, subjek Mandarin dan Tamil diwujudkan di sekolah kebangsaan. Langkah ini turut memberikan peluang kepada murid Melayu mempelajari bahasa tersebut.

Tindakan masyarakat bukan Melayu meminggirkan sekolah kebangsaan menyebabkan masalah ketidakfasihan berbahasa kebangsaan dalam kalangan mereka yang berakar umbi sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu gagal ditangani sepenuhnya sehingga hari ini. Bukan setakat itu, pengasingan murid berdasarkan jenis sekolah menyukarkan kita untuk mewujudkan masyarakat yang benar-benar bersatu juga.

Salut Lee Chee Peng!