KUALA LUMPUR 11 Jan: Ahli Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) menempelak kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh yang menyarankan Himpunan Kebangkitan Rakyat ditukar lokasi.
Tian Chua berkata, langkah tersebut sengaja dilakukan untuk menganggu kelancaran himpunan di Stadium Merdeka, Sabtu ini.
“Setelah kita mempersetujui 27 syarat ketat dan membayar deposit sebanyak RM75,000, tiba-tiba Ketua Polis KL suruh kita pindah tempat.
“Ini taktik ‘flip-flop’ polis yang sengaja dilakukan supaya dapat bermain tarik tali untuk menganggu kita.
“Kita menolak sekeras-kerasnya saranan tersebut dan himpunan tetap akan berjalan di Stadium Merdeka seperti mana dijadualkan,” katanya depan hampir 500 hadirin, di Taman Rekreasi, AU3 Keramat Wangsa, malam tadi.
Menurut beliau, sebab utama panitia HKR memutuskan supaya himpunan itu diadakan di Stadium Merdeka adalah kerana stadium tersebut signifikan dengan kemerdekaan.
“Di sinilah laungan kemerdekaan bergema pada Ogos 1957.
“Jadi kita memutuskan untuk sekali lagi melaungkan kemerdekaan tapi dalam erti kata yang lebih besar, iaitu kemerdekaan untuk rakyat.
“Laungan kemerdekaan kali ini adalah agar segala tuntutan rakyat dapat diberi dan dikembalikan,” ujarnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan