KUALA LUMPUR 5 Feb: Keputusan kes saman fitnah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail terhadap Utusan Malaysia ditangguh sekali lagi ke 18 Februari ini untuk menentukan jumlah bayaran ganti rugi dan permohonan maaf oleh akhbar kawalan Umno itu.
Keputusan kes itu sepatutnya diumum hari ini, tetapi terpaksa ditunda kerana salah seorang ahli lembaga pengarah Utusan tidak hadir.
Bagaimanapun, menurut Azan, Utusan sedia membayar gantirugi dan permohonan maaf seperti yang dituntut sebelum ini, dan akan ditentukan pada tarikh yang ditetapkan.
“Kita tak mendesak untuk mencapai keputusan cepat, jadi tak apa. Kita tunggu 18 Februari, untuk mengetahui jumlah gantirugi yang Utusan perlu bayar, beserta permohonan maaf yang mereka setuju untuk buat,” jelas Azan mengulas penangguhan tersebut, di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi KEADILAN Terengganu itu memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap editor, Zulkiflee Bakar dan Utusanpada April 2010 ekoran penyiaran artikel bertarikh 6 Mac yang mendakwa beliau keluar KEADILAN dan turut meletakkkan gambarnya bersama ahli politik yang keluar sebelum itu.
Pada 8 Mac 2010, Utusan sekali lagi menyiarkan berita kononnya Azan tidak keluar KEADILAN tetapi meletak semua jawatan termasuk sebagai Timbalan Pengerusi KEADILAN Terengganu dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri ketika itu.
Azan diwakili peguam, A Vasudevan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan