
JENGKA: Felda perlu diselamatkan. Tapi siapa penyelamatnya? Orang Felda juga – iaitu anak peneroka Felda yang kini di perantauan.
“Anak peneroka harus menjadi agen perubahan dan penyelamat Felda dan harta orang Melayu. Mereka kena balik mengundi dan pastikan maklumat mengenai penyelewengan di Felda yang ditutup di media massa sampai ke tangan ahli-ahli keluarga mereka,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) kepada Harakahdaily.
Bagi Tuan Ibrahim, jika generasi kedua dan ketiga Felda tidak berusaha menyelamatkan harta-harta Felda yang diusahakan oleh ibu-bapa mereka segalanya akan tergadai di bawah pemerintahan Umno.
Selain itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru para kakitangan Felda untuk mengambil peluang di pilihanraya umum ke 13 untuk membebaskan diri daripada cengkaman Umno.
“Mereka juga boleh menjadi agen penyelamat Felda dan harta orang Melayu dari dalam. Golongan ini sebenarnya harus membebaskan diri daripada cengkaman Umno yang selalu memaksa melakukan aktiviti yang melaksanakan agenda Umno,” tambah Tuan Ibrahim.
Beliau juga berharap para generasi kedua dan ketiga Felda akan menyampaikan mesej bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, semua peneroka yang sudah selesai membayar hutang akan diberi balik geran tanah ladang dan tapak rumah.
“Wang tabung tanam semula bernilai RM17,000 akan dipulangkan bagi para peneroka yang telah menebang pokok asal,” katanya.
Kedua-dua tawaran, terutamanya pemulangan geran tanah ladang dan tapak rumah adalah untuk menjamin masa depan generasi kedua dan ketiga peneroka di Felda.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan