KUALA LUMPUR 22 MAC: Tiga aktivis mahasiswa ditahan polis petang ini dalam satu perhimpunan aman dinamakan ‘Occupy RTM’ di Angkasapuri bagi menuntut perdebatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Safwan Anang ditahan selepas cuba melepasi pintu pagar utama Angkasapuri.
Manakala Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (UM), Abdul Muqit Muhammad dan aktivis Muhammad Aqram Ahmar turut ditahan selepas cuba menghalang Safwan daripada ditahan.
Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Pantai.
Hampir 30 aktivis mahasiswa berhimpun bagi mendesak pengurusan RTM memberi maklum balas mengenai permintaan mereka agar RTM menganjurkan debat antara PM dan wakil mahasiswa.
Surat permohonan dihantar 1 Mac lalu, namun sehingga hari ini RTM tidak memberikan sebarang jawapan.
Selepas solat Jumaat tadi, kira-kira 40 orang mahasiswa berarak dari Masjid Ar-Rahman dekat UM ke pintu masuk Angkasapuri.
Mereka memasang empat khemah untuk berkampung dan menuntut jawapan daripada pengurusan RTM.
Difahamkan kira-kira 30 anggota polis mengawal keadaan.
Kumpulan mahasiswa kini beralih dari Angkasapuri ke hadapan balai tersebut untuk menuntut pembebasan rakan mereka.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan