JOHOR BAHRU 13 APRIL: Rakyat Johor akan terus melarat jika negeri itu ditadbir Umno BN selepas pilihan raya umum nanti, kata Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Chua Jui Meng.
“Di bawah Umno BN, masa depan rakyat bertambah gelap terutama golongan berpendapatan rendah. Kais pagi makan pagi, kais malam makan malam.
“Orang Melayu pula berterusan diketepikan, lihat apa jadi di Pengerang, Nusajaya dan Pelepas?”
“Tanah mereka di sana dengan sesuka hati dirampas, jadi apa yang rakyat dapat?,” katanya ketika berucap depan hampir 2,000 hadirin di New York Hotel sempena pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat Johor, petang tadi.
Katanya, masalah ekonomi negara juga di tahap amat membimbangkan dan ia terbukti dengan aliran wang haram yang begitu tinggi.
“Negara kita di bawah pimpinan Umno BN mendapat pengiktirafan yang amat memalukan apabila dilabel antara negara paling korup di dunia,” sinisnya.
Justeru katanya, jika Pakatan diberi mandat membentuk kerajaan negeri, segala tawaran dalam Manifesto akan dilaksana seberapa segera demi kebahagian rakyat.
“Kunci kepada permasalahan itu adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan menitik berat masalah rakyatnya. Kita berikrar jika dipilih sebagai kerajaan, segala masalah ini dan amalan rasuah akan kita selesaikan.
“Kita merupakan kerajaan yang berpegang pada prinsip. Dengan manifesto ini, kita tidak akan memperhambakan rakyat, tapi biar kita menjadi hamba kepada rakyat,” kata bekas menteri kesihatan itu.
Beliau berkata, antara kandungan menifesto ditawar kepada rakyat Johor adalah program satu keluarga satu rumah, bantuan kepada ibu tunggal dan ibu tinggal, bantuan pendidikan dan lain-lain.
“Kita juga akan memastikan Johor bebas dari diskriminasi antara kaum, segala bantuan-bantuan akan kita berikan terbuka kepada semua kaum tidak kira melayu, Cina, India mahupun orang asal di sini.
“Saya percaya rakyat Johor sudah bersedia untuk melakukan perubahan. Manifesto yang kita lancarkan hari ini adalah manifesto yang mencukupi segala yang dimahukan rakyat johor,” katanya diringi tepukan gemuruh hadirin

Tiada ulasan:
Catat Ulasan