Ahad, 28 April 2013
(Taskforce) membidas tindakan Umno Titiwangsa
Taskforce Tanah Kampung Bharu (Taskforce) membidas tindakan Umno Titiwangsa menaikkan sepanduk mahu membela isu tanah Kampung Bharu sejak semalam.
Sepanduk tersebut menyatakan bahawa Umno Titiwangsa akan mempertahankan tanah Kampung Bharu dan tidak mengizinkan walau seinci pun tanah kampung Bharu digadaikan kepada sesiapa pun.
Bagi Taskforce, tindakan Umno Titiwangsa menaikkan sepanduk di merata-rata tempat di sekitar Parlimen pada ketika ini sudah terlambat.
Dalam keadaan Parlimen sudah dibubarkan dan menanti pilihanraya umum ke 13 akan diadakan, baru sekarang Umno Titiwangsa mahu bersuara untuk mempertahankan tanah Kampung Bharu.
Mengapa sejak dahulu lagi ketika kami penduduk kampung ini mahu mengadakan dialog dan perbincangan terbuka bersama Umno Titiwangsa, mereka tidak hadir, tidak bersuara malah tidak menunjukkan muka pun?
Nampak sangat terdesaknya Umno Titiwangsa mahu meraih undi simpati khususnya dari pengundi di Kampung Bharu ini.
Lebih penting dari itu, mengapa ketika Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu dibacakan di Parlimen sejak 2010 dan akhirnya ia diluluskan pada tahun 2011 tidak ada sekelumit suara membantah akta tersebut dibangkitkan oleh wakil UMNO di Parlimen?
Malah, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik tanpa segan silu tergamak meneruskan pembacaan tersebut dan akhirnya ia diluluskan oleh suara majoriti BN di Parlimen.
Bagi Taskforce, tidak ada pengkhianatan yang lebih besar selain daripada tindakan Umno menggadaikan tanah milik bangsa mereka sendiri kepada pihak lain.
Tindakan Umno Bahagian Titiwangsa menaikkan sepanduk pula seolah-olah menghina penduduk Kampung Bharu yang sudah muak dengan mainan politik mereka.
Taskforce menegaskan, UMNO Bahagian Titiwangsa jangan bermain wayang dengan penduduk kampung ini.
Warga Kampung Bharu masih mengingati kejadian tersebut dan setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN penggal dahulu pasti tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah.
Taskforce mengingatkan Umno Bahagian Titiwangsa, sekiranya benar Umno mahu memperjuangkan tanah Kampung Bharu, maka Taskforce akan menganjurkan satu Perhimpunan Penduduk Kampung Bharu serta dialog bersama calon PAS Titiwangsa, Sdr Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami dan calon BN Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
Majlis ini akan diadakan pada hari Ahad, 28 April 2013, pada jam 9.30 malam bertempat di perkarangan surau Khatib Koyan, Kampung Bharu.
Taskforce mencabar Ketua Umno Bahagian merangkap calon BN Titiwangsa supaya tampil pada majlis tersebut dan menjelaskan apakah pelan dan langkah BN sekiranya mereka terus mendapat mandat memerintah kelak.
Jika beliau gagal hadir dalam majlis tersebut, kami akan membuat suatu kejutan yang pastinya akan mengecewakan dan menghampakan beliau selamanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan