KUALA LUMPU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad menyifatkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa Barisan Nasional (BN) kalah di kawasan pengundi yang mengutamakan demokrasi mengesahkan bahawa parti tersebut tidak demokratik.
Dalam forum yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Rabu lalu, Saifuddin berkata, BN kalah di kawasan-kawasan di mana para pengundinya lebih mengutamakan demokrasi termasuk penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan ketelusan, rasuah serta pilihan raya yang bersih dan adil.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Saifuddin kerana kenyataannya yang mengesahkan kepada semua rakyat bahawa BN tidak demokratik," kata Khalid.
Malah, katanya, sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri lagi BN tidak bersifat demokratik dengan berdalihkan alasan "demokrasi ala-Malaysia".
Sependapat dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kemenangan Pakatan Rakyat lebih didorong oleh isu di mana rakyat yang mengundi Pakatan bertekad mahu memulihkan demokrasi.
"Mereka juga mahu kerajaan yang komited untuk mewujudkan negara berkebajikan, bersifat telus, mengamalkan tadbir urus yang baik (good governance) dan lain-lain amalan yang pro-rakyat," katanya.
Khalid bagaimanapun tidak sependapat dengan pandangan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu yang menyatakan BN menang di tempat-tempat di mana pengundi mahukan pembangunan seperti jalan dan sekolah baru.
"Umno sebenarnya menang kerana kejayaannya mengapi-apikan perkauman.
"Orang-orang Melayu terutamanya yang tidak mendapat maklumat yang sebenarnya mengundi BN kerana takut orang-orang Cina akan memerintah Malaysia jika tidak mengundi BN," katanya.
Dengan kejayaan kempen perkauman Umno menakut-nakutkan mereka, kata beliau, pengundi-pengundi yang mendapat maklumat berat sebelah itu lebih sanggup mengundi BN "yang zalim".
"Ia sekaligus membuktikan hanya isu perkauman sahaja yang menjadi tempat Umno berpaut dan hanya perkauman sahajalah yang parti itu boleh gunakan untuk survivalnya," kata Khalid.
Bagaimanapun, di tempat-tempat di mana pengundi-pengundinya lebih bermaklumat dan peka terhadap perlunya negara yang lebih demokratik, mereka memberikan kepercayaan kepada Pakatan.
"Contohnya apa yang berlaku di Shah Alam di mana 70 peratus pengundi adalah orang-orang Melayu. Ia membuktikan kematangan pengundinya dan menolak kempen perkauman Umno serta lebih berminat kepada isu yang lebih besar dan penting.
"Mereka tolak calon yang dengan sengaja memakai imej pelampau Melayu untuk kepentingan dirinya," kata Khalid sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Pakatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan