SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Khamis, 23 Mei 2013

AdAm Adli , Led Zeppelin Dan Siapa Najib

BELUM pun sempat kerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak panas di Parlimen. Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seperti berpatah balik dua bulan ke belakang. Rakyat masih tidak jemu untuk berdiri, berhujan, bersesak-sesak mendengar pidato pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Rakyat Malaysia telah bangun daripada tidur panjang. Kesedaran politik yang tersemai, putiknya sudah menjadi bunga. Sebab itu, BN hanya sekadar mampu senyum terpaksa menduduki semula Putrajaya. Mereka sedar bahawa kemenangan tipis mereka kali ini diselamatkan oleh sempadan kawasan pilihan raya dan kesaktian tangan-tangan ghaib.

Merai dan memanfaat jaminan Perlembagaan tetapi…

BN tidak lagi berhadapan dengan PR semata-mata. PR pula tidak akan sekuat sekarang tanpa dokongan pelbagai peringkat lapisan masyarakat berbilang kaum termasuk golongan masyarakat siswa yang baru keluar daripada bungkaman suara mereka.

Mahasiswa sedar, mahasiswa bangkit, mahasiswa yang ditunjangi anak-anak muda sudah tidak kekok untuk turun ke jalan berdemonstrasi menuntut hak mereka. Inilah suasana baru demokrasi di Malaysia. Hak berhimpun secara aman sebaik mungkin dimanfaat seperti yang dijamin Perlembagaan.

Bagaimanapun, suara rakyat, suara anak muda diperlakukan seperti dahulu. Saling tak tumpah seperti zaman Mahathir dan 1001 hikayat Melayunya.

Demokrasi masih pra-matang di Malaysia, transformasi yang diwar-warkan pemerintah BN hanya sekadar transformasi tong sampah. Suara rakyat, suara anak muda terus diperleceh.

Kita tidak perlu hairan mengapa Adam Adli ditahan mengikut Akta Hasutan lantaran beliau bangun melawan tirani kuasa pemerintah BN yang mahu agar demokrasi negara ini berdaulat.

Bermulanya era Aerosmith dan AUKU

Kebangkitan masyarakat siswa dan golongan cerdik pandai bukan perkara baru. Barisan nama seperti Abu Zer, Yunus Ali, Kamarazaman Yacob, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis mahasiswa sangat sinonim dengan zaman kegemilangan mahasiswa sebaris dengan kemunculan Deep Purple, Led Zeppelin dan Aerosmith.

Arus kebangkitan masyarakat siswa ini juga menyebabkan kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 1971 untuk mengekang pembabitan mahasiswa daripada berpolitik. Bermulalah saat malap bagi dunia akademik dan aktivisme mahasiswa.

“Satu orang pemuda dapat mengubah dunia..” Sukarno

Kita masih ingat lagi kepada sebuah daerah bernama Sidi Bouzid. Adapun pembangunan di Kuala Lumpur ini jauh bezanya dengan pembangunan di sana, jauh juga melangkaui sudut fikir dan budaya.  Apapun bezanya, Kuala Lumpur dan Sidi Bouzid tetap dihuni manusia yang punya hati dan perasaan; cita-cita dan wawasan. Sidi Bouzid dan Kuala Lumpur dihuni oleh manusia yang fitrahnya bebas.

Kalaulah Bouazizi tidak dizalimi, kalaulah gerainya tidak disita dan kalaulah beliau tidak dikasari. Maka beliau tidak akan mati. Kematian mahasiswa bernama Bouazizi ini rupanya menghidupkan lagi jutaan Bouazizi yang lain. Kerajaan Tunisia akhirnya tumbang dimakan sumpah rakyatnya yang setia. Bouazizi telah mengubah Tunisia, Bouazizi telah mengubah dunia, Bouazizi telah mencetuskan Arab Spring yang menggugat keangkuhan pemerintah.

Kita mahu aman, damai, undang-undang didaulatkan

Beza Bouazizi dan Adam Adli cuma pada ras dan fizikalnya. Sebagai anak manusia, jiwa kita tetap bebas merdeka. Kita tidak mahu penahanan dan penganiayaan terhadap Adam Adli menjadi titik tolak kepada Malaysia Spring yang dipropagandakan media kawalan pemerintah.

Kita mahu keadilan diberikan terhadapnya dan kita juga ingin agar Perlembagaan Persekutuan dihormati. Keamanan Malaysia harus dijaga dan ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat dan pemerintah. Atas nama Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, Adam Adli wajib dibebaskan.

BN harus akur, BN haru sedar, BN harus tegas; Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia. Perlembagaan ini juga yang menjamin hak warganya untuk bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman. Ini adalah hak asasi kita sebagai rakyat yang sering dipandang mudah pemerintah BN.

Pemerintah harus bermuhasabah, kembali bertaut pada Perlembagaan yang menjamin kebebasan dan hak asasi rakyat. Ini adalah perkara paling pokok dan perlu menjadi keutamaan yang perlu dipelihara sebaik mungkin melampaui batas agama, bangsa mahu pun ideologi politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan