43 Pengundi Tidak Dikenali Di Daftarkan Di Enam (6) Rumah Di Parlimen Kuala Kedah
Kewujudan pengundi hantu menjadi isu paling utama yang mempersoalkan perjalanan PRU13. Menurut laporan-laporan yang telah dibuat sebelum, semasa dan selepas hari mengundi, pengundi hantu ini dipercayai didatangkan dalam dua bentuk; iaitu rakyat asing yang diberikan kad pengenalan dan mengundi; serta pengundi rakyat Malaysia yang mengundi lebih dari sekali kerana didaftarkan di beberapa tempat.
Beberapa hari sebelum hari pengundian, jentera Barisan Nasional di seluruh negara giat mengedarkan slip-slip mengundi yang menyatakan tempat dan saluran mengundi dari rumah ke rumah. Slip-slip ini diambil dari daftar undi induk yang dikeluarkan oleh SPR.
Di seluruh negara, banyak berlaku kejadian slip undi yang diedarkan oleh Barisan Nasional itu menunjukkan wujudnya pengundi-pengundi tidak dikenali yang didaftarkan di alamat-alamat dalam kawasan tertentu. Banyak pemilik dan pengundi asal di alamat-alamat tersebut telah tampil membuat laporan polis mempersoalkan kenapa ada pengundi lain yang didaftar dengan ramai di alamat mereka, sedangkan mereka telah tinggal di alamat itu dari awal dan tidak pernah mengenali nama-nama yang didaftarkan.
Saya sendiri membantu membuat 2 laporan polis di Pandan berhubung kejadian ini pada hari pengundian.
Hari ini, saya tampilkan 5 laporan polis yang dibuat berasingan di Parlimen Kuala Kedah yang menunjukkan bahawa 43 orang yang tidak dikenali telah didaftarkan di 6 buah rumah di dalam satu taman, iaitu Taman Sri Putra.
Saya juga sertakan satu salinan Borang 10A yang dikeluarkan oleh SPR sendiri di Parlimen Kuala Kedah, yang mengesahkan bahawa seorang pengundi iaitu Lim Tiek Hong dinafikan hak mengundi kerana ada orang lain telah mengundi bagi dirinya.
Laporan-laporan polis dan Borang 10A yang dikeluarkan sendiri oleh SPR mengesahkan bahawa keraguan wujudnya pengundi hantu yang didaftarkan berkali-kali ada asasnya. Kejadian seperti ini di seluruh negara memperkukuhkan persepsi rakyat bahawa PRU13 penuh dengan penipuan dan SPR tidak mempunyai kewibawaan untuk mempertahankan satu proses pilihanraya yang adil, bersih dan telus.
Oleh yand demikian, saya menyeru kepimpinan SPR untuk memberikan penjelasan yang masuk akal mengenai kejadian-kejadian ini kerana ada laporan polis khusus yang dibuat mengenainya. Saya juga menyeru supaya pasukan polis mula membuat kenyataan mengenai pelbagai laporan polis mengenai penyelewengan pilihanraya yang telah dibuat selama ini.
Jika 43 pengundi yang diragui boleh wujud di satu taman di Parlimen Kuala Kedah hanya di 6 buah rumah, bayangkan berapa banyak pengundi hantu yang sebegini yang boleh didaftarkan di seluruh negara.
Pengarah Strategi KEADILAN
27 MEI 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan