Ahad, 23 Februari 2014
Anti hadis: Umat Islam jangan terkeliru
TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyeru umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan golongan anti hadis kerana golongan itu juga cenderung ke arah anti al-Quran.
Menurutnya, di dalam al-Quran jelas ada hujah padat bahawa sebagai umat Islam perlu patuh pada ajaran Islam dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh ALLAH SWT .
“Amat kesal apa yang berlaku hari ini, mana-mana yang terpesong dan terpengaruh dengan golongan anti hadis diminta bertaubat dan kembali pada jalan yang benar.
“Umat Islam jangan terkeliru dengan golongan ini kerana ia merosakkan akidah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dhuafat kepada seorang warga emas, Minah Salleh di Kampung Hutan Jambu di Kok Pasir, di sini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar.
Baru-baru ini, Kassim Ahmad merupakan seorang karyawan dan bekas aktivis politik mencetuskan kontroversi apabila mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai ‘kasta paderi’ serta mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan selain rambut bukanlah aurat bagi wanita.
Dalam pada itu, Ahmad menyeru agar jangan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam kerana agama Islam adalah agama rasmi negara.
“Menghina Nabi Muhammad, menghina al-Quran, itu boleh menyentuh sensitiviti umat Islam, elakkan perkara itu terjadi,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan