SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 10 Mac 2014

Anwar bayar jamin dan fail notis rayuan



PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Jumaat kerana kesalahan meliwat, membayar wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini. 
    
Ketua pembangkang itu menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam.
    
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan Anwar membayar ikat jamin itu sebelum pukul 11 pagi ini. Bagaimanapun, Anwar pagi tadi menghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di Kuala Lumpur dan tiba di Istana Kehakiman kira-kira 12.25 tengah hari.
    
Anwar, bersama-sama penjaminnya, ketua staf di ibu pejabat PKR Ibrahim Yaacob menemui Darmafikri di biliknya dan urusan itu selesai pada 12.45 tengah hari. Turut hadir abang Anwar, Rosli Ibrahim.
    
Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan pada 10 pagi ini dan menyerahkan salinan dokumen itu kepada Mahkamah Persekutuan.
    
Ramkarpal Singh berkata pihak pembelaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.
    
Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
    
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mendapati beliau bersalah.
    
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.
    
Hakim Balia memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA telah tercemar. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan