PENIAGA KATA TIADA AYAM RM1 SEEKOR .. DATIN SERI WAN AZIZAH.
Calon PKR N25 Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mendapati tidak ada ayam yang dijual dengan harga RM1 seperti mana yang didakwa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Wan Azizah dalam sesi bertemu peniaga di Pasar Kajang seawal jam 8.00 pagi tadi turut bertanya beberapa peniaga ayam sama ada mereka ada menjual ayam dengan harga RM1 seekor.
"Saya tanya peniaga ayam, ayam satu ringgit ada? Mereka cakap tak ada. Mereka terus tunjuk tanda harga yang ditulis ayam sekilo RM8.40," ujar Wan Azizah kepada wartawan.
Menurutnya, Pasar Kajang perlu diberi perhatian khususnya dari segi infrastruktur yang perlu diperbaiki dan paling penting adalah kebersihan.
"Hari ini kita hanya bertemu dengan peniaga di sini, sebagai memperkenalkan calon dan kita akan adakan pertemuan selanjutnya dengan peniaga.
"Kita akan senaraikan keutamaan dan perkara yang pertama kita perlu buat," katanya yang akui suka ke pasar untuk membeli barang keperluan dapur.
Pada kesempatan itu Wan Azizah turut membeli petai dan diberi sejambak bunga ros oleh peniaga pasar kajang.
"Semalam saya pergi pasar malam, saya dapat nangka madu dan daging. Saya dapat petai dan saya akan masak sambal petai," ujarnya yang mengakui petai adalah ulam kegemarannya tetapi hanya makan untuk masa-masa tertentu sahaja.
Pasar Kajang merupakan satu-satunya pasar yang ada di sini, menyebabkan ianya menjadi tumpuan utama penduduk Kajang.
Pelbagai barangan yang boleh diperoleh di Pasar Kajang dari barangan basah, kering, serta pakaian juga terdapat beberapa kedai borong yang turut menjadi tumpuan para peniaga kecil-kecilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan