SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 10 Mac 2014

Hukuman penjara Anwar leburkan konsensus nasional

KUALA LUMPUR: Semangat rekonsiliasi nasional yang dicanang Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak lebur dan tenggelam bersama arus hipokrasi dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ‘semangat palsu’ rekonsiliasi nasional itu gagal diterjemahkan dengan jujur sungguhpun Ketua Pembangkang telah menyahutnya dengan agenda Konsensus Nasional.
“Detik hitam ini tanpa kita sedari telah mencambah rasa prejudis pendokong dan penyokong PKR khasnya dan Pakatan Rakyat amnya, terhadap kerajaan BN.
“Walau kita akui kepentingan rakyat harus dikedepankan, namun penindasan dan pendakwaan yang bersifat ‘mala fide’ ini terus menyukarkan keadaan dan mengusutkan lagi ruang kematangan berpolitik,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor.
Menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai satu lagi titik hitam kepada sistem kehakiman negara, beliau  menggesa Anwar dibebaskan terus daripada pendakwaan-pendakwaan yang bersifat serangan peribadi.
Menurut beliau, Malaysia sewajarnya sudah melepasi tahap kematangan berpolitik dan mampu fokus kepada agenda pembangunan negara, bukan lagi serangan-serangan politik kotor yang mensasarkan batang tubuh pemimpin.
Rakyat  khususnya penyokong Pakatan Rakyat diminta bertenang dan tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan.
“Konspirasi terancang ini harus diteliti dan ditangani secara bijak dan praktikal,” tegasnya.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Jumaat lalu mendapati Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Mohd Lazim pada 2008 sekaligus mengetepikan keputusan tidak bersalah Mahkamah Tinggi pada 2012 dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan