untitled
Hudud menjadi mekanisme bagi mengatasi jenayah dan pelaksanaannya memerlukan suasana yang kondusif.
Pandangan berkenaan disuarakan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bagi menyangkal salah faham pihak tertentu terhadap pelaksanaan hukuman berkenaan.
“Hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah,” tulisnya dalam blog Minda Tajdid.
Jelasnya, sesetengah pihak yang kurang memahami Islam membayangkan undang-undang hudud adalah untuk mencari pesalah.
Malah, katanya, terdapat jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud terutamanya jenayah yang pelbagai hukuman takzir.
Tambahnya, ramai yang mendakwa hak peribadi individu akan terganggu sekiranya undang-undang hudud dilaksanakan.
“Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak, malah turut menggambarkan intipan penguatkuasa agama dalam mencari pelaku maksiat, “jelasnya.
Katanya lagi, undang-undang hudud sangat menggalakkan kemaafan sesama sendiri dan diselesaikan di luar mahkamah.
“Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.”katanya.
Malah, mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti takzir iaitu dengan hukuman dengan budi bicara hakim.
Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, undang undang hudud hanya untuk orang Islam dan bertujuan untuk memberi pengajaran kepada umat Islam yang lain.
Jelasnya, undang-undang ini harus diluluskan oleh perlembagaan kerana kebanyakkan rakyat Malaysia adalah beragama Islam.
“Kita tidak boleh mempertikai hukum Allah, kalau secara jelas orang Islam berzina, maka dia patut dihukum mengikut cara Islam,” katanya.
Jelasnya, mahkamah Syariah perlu tegas supaya undang-undang ini dapat dipraktiskan dengan segera.
Katanya, mahkamah Syariah adalah perantara untuk menghukum pelaku di bawah hukum Islam.
“Jika sesuatu hukuman diputuskan di mahkamah Syariah, maka perkara itu perlu dimuktamadkan di situ tanpa membawa kepada mahkamah sivil,” katanya kepada The Rakyat Post.