SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 14 April 2014

Subsidi IPP 'Berdosa', Tidak Dapat Dimaafkan - Ku Li

[MK] Pemberian subsidi RM136.5 bilion kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) antara 1997 hingga 2011, sewaktu sebahagian subsidi barangan pengguna dihentikan, adalah "berdosa dan tidak dapat dimaafkan", kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Bekas menteri kewangan berkata, walaupun subsidi barangan pengguna bukan cara terbaik menangani kos sara hidup yang tinggi, ia masih lagi dapat diterima.

"Perkara yang tidak boleh dimaafkan dan berdosa adalah betapa mudahnya pihak berkuasa memberikan subsidi kepada pembekal tenaga nasional, pembekal tenaga bebas, dan organisasi bukan berkaitan tenaga yang lain.

"Yang menyedihkan adalah sewaktu pembekal tenaga ini berterusan menikmati harga petrol disubsidi, petroleum kepada pengguna - yang didakwa menelan belanja RM14 bilion pada tahun 2011 di pihak kerajaan - dihentikan sebahagiannya baru-baru ini," kata Tengku Razaleigh di ibu kota semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena pelancaran buku Malaysia Kaya Rakyat Miskin tulisan Anas Alam Faizli yang mengulas tentang tenaga, ekonomi, dan sistem pendidikan Malaysia.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra sebagai Ku Li itu mengulas pemberian subsidi petroleum oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat berpendapatan rendah yang sebenarnya tidak mampu untuk membeli bahan bakar itu pada harga pasaran yang sebenar.

Bekas pengerusi Petronas merangkap MP Gua Musang itu turut mengkritik cara kerajaan menguruskan pendapatan badan korporat nasional tersebut.

Memetik statistik daripada buku yang dilancarkannya, Tengku Razaleigh berkata hampir separuh trilion yang telah disumbangkan syarikat itu sejak tahun 1974 sehingga 2011 sepatutnya dimanfaatkan untuk menubuhkan tabung khas program pencen nasional seperti dilakukan sesetengah negara Scandinavia.

Namun beliau kesal apabila sebahagian daripada wang itu sebaliknya digunakan untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan iaitu Bank Bumiputra sebanyak dua kali pada tahun 1985 dan 1991 melibatkan wang sebanyak RM3.5 bilion.

Tambahnya, Petronas juga digunakan untuk menjamin pembinaan Menara Berkembar Petronas sebanyak RM6 bilion dan membina Putrajaya sebanyak RM22 bilion.

"Tindakan bermewah-mewah yang dipaksa ke atas Petronas ini menafikan syarikat ini daripada mengumpul rizab tunai untuk pelaburan semula bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

"Adalah penting buat Petronas untuk melihat ke hadapan dalam meneroka pelaburan dalam perniagaan selain minyak dan gas apabila mengambil kira sifat hidrokarbon sebagai sumber yang terhad," katanya.

Namun kini, Petronas digunakan sebagai tabung kecemasan oleh kerajaan apabila ia terdesak memerlukan wang, kata Ku Li lagi. -Ahmad Fadli KC/ 4/4/14


Berkaitan:

'Budaya untung atas angin daripada DEB'

[MK] Naungan politik yang menggalakkan amalan mengambil untung atas angin dalam perniagaan, berpunca daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang bercanggah dengan falsafah asalnya yang adil dan mulia.

Demikian hujah bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah di ibu kota semalam.

Menurutnya, amalan untung atas angin merujuk kepada cara mudah membuat duit melalui hubungan politik, tanpa perlu terlibat secara sihat dalam persaingan terbuka.

"Walaupun ia kedengaran seperti mahu menuding jari mencari salah dan pahit ditelan, jawapannya terletak pada DEB, atau lebih tepatnya pada DEB yang tersasar dalam pelaksanaannya.

"Jangan silap tentang DEB; falsafah dan idea di sebalik program kejuruteraan sosial ini adalah adil dan mulia.

"Namun, pelaksanaannya menjadi cacamarba dan salah kerana amalan naungan yang menjurus pertamanya, kepada kronisme dan untung atas angin yang kita sebutkan.

"Hasilnya, matlamat yang ditetapkan oleh pembuat polisi gagal dicapai dalam rangka masa yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena pelancaran buku Malaysia Kaya Rakyat Miskin tulisan Anas Alam Faizli yang mengulas tentang tenaga, ekonomi, dan sistem pendidikan Malaysia.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra sebagai Ku Li seterusnya berkata, amalan itu pada asalnya bertujuan mengupayakan segelintir mereka yang terpilih untuk berjaya sebagai usahawan dan pemilik ekuiti.

Kekayaan daripada golongan tersebut sepatutnya berkembang dan dapat dinikmati orang ramai, katanya lagi.

"Rancangan itu sepatutnya mewujudkan kesan pengganda yang akan sampai ke bawah untuk memanfaatkan masyarakat secara kewangan.

"(Sayangnya) rancangan itu gagal," kata Ku Li kerana ia menyebabkan ketidakseimbangan pendapatan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. - Ahmad Fadli KC/ 4/4/14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan