
Hasan berkata, seramai
2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara akan digerakkan
dalam operasi itu, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir,
dan pemantauan ditumpukan kepada kilang pengeluar barangan, pengimport,
peniaga runcit dan pasar raya. - Foto Blog KPPM
Bermula esok
sehingga Mac nanti, ‘Ops Pasca Banjir’ akan dilaksanakan penguat kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK), bagi memantau harga makanan dan barang keperluan asas
harian di pasaran.
“Operasi secara besar-besaran itu
bertujuan memastikan barangan makanan dan keperluan adalah mencukupi dan
dapat dibeli dengan harga berpatutan, semasa dan selepas banjir,”
kata Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek.
Hasan berkata, seramai 2,000 pegawai
penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara akan digerakkan dalam operasi
itu, terutamanya di negeri yang terjejas akibat banjir, dan pemantauan
ditumpukan kepada kilang pengeluar barangan, pengimport, peniaga runcit
dan pasar raya.
Beliau berkata demikian selepas majlis
penyerahan bantuan barangan keperluan sekolah kepada mangsa banjir, yang
disumbangkan lapan pasar raya dan pasar raya besar bernilai RM1.5 juta,
hari ini.Barangan itu akan disalurkan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir, termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
Hasan berkata, ‘Ops Pasca Banjir’ itu
juga bertujuan menyelesaikan isu aliran bekalan makanan dan barang
keperluan, serta mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang
mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara tidak munasabah.
“Saya juga mengharapkan pengguna untuk
terus memaklumkan kepada kementerian, jika terdapat peniaga yang
menaikkan harga barangan, supaya tindakan segera terhadap mereka dapat
diambil,” katanya sambil menjelaskan, pihaknya mengambil berat rungutan
orang ramai yang mendakwa harga beberapa barangan naik mendadak di
beberapa kawasan, baru-baru ini, selepas banjir.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri
Alias Ahmad pula berkata, kementerian itu akan memastikan barangan bukan
makanan, seperti petrol dan diesel mencukupi di kawasan-kawasan
terlibat banjir.
Mengenai dakwaan Naib Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa penurunan harga petrol dan
diesel, telah mendatangkan kerugian kepada syarikat dan pengusaha stesen
minyak, jelasnya, kementeriannya mempunyai tiga pilihan bagi menangani
perkara itu, namun beliau tidak dapat mendedahkannya sekarang.“Kita tidak dapat umumkan sekarang,
kerana ia masih dalam peringkat perbincangan bersama syarikat dan
pengusaha stesen minyak,” katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan