Bila minyak rendah dan ringgit menjunam
Pada 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi waktu-waktu sukar.
Ini kerana kita sedang berhadapan dengan
hentakan berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di
samping penyusutan nilai Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak
krisis kewangan Asia pada tahun 1997.
Harga minyak mentah Brent terus menurun.
Sehingga kini, ia menyusut sebanyak 53 peratus berbanding tahun lepas,
yakni daripada purata AS$108 setong pada Januari 2014 kepada AS$51
secara purata bagi bulan Januari 2015.
Nilai Ringgit kini merupakan matawang
Asia yang paling lemah, mengesampingkan nilai Yen. Ia menyusut kepada
RM3.55 untuk setiap AS$1daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober
2014, ringgit menyusut hampir 8.3 peratus.
Benar, matawang Asia lain turut menyusut
dan terkesan ke atas dolar Amerika Syarikat, tetapi matawang kita jatuh
hampir dua kali ganda jika dibandingkan dengan dolar Taiwan dan dolar
Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding
dolar Amerika Syarikat.
Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM2,300 satu tan.
Dampak pada hasil negara
Pendapatan daripada minyak dan gas
membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan.
Belanjawan Persekutuan 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober tahun
lepas berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara AS$100 ke
AS$105 setong.
Malah sebelum penyusutan ke tahap
semasa, Petronas memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada
anggaran purata AS$70 ke AS$75, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan
kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus.
Ini bermakna pengurangan sebanyak RM19.4
bilion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM242 bilion ke atas
unjuran belanjawan 2015.
Kini, ketika harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas pendapatan negara?
Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku
penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana yang dilapor oleh Maybank
Research dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan pendapatan
sebanyak RM8.4 bilion akan melangkaui penjimatan subsidi dan
mengakibatkan defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) dan bukannya seperti sasaran 3 peratus untuk 2015.
Menurut Goldman Sachs dan Morgan
Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung antara AS$40 ke AS$50
pada tahun 2015. Ini bermaksud kesan ke atas pendapatan kerajaan dan
defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis memberi
peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah sehingga 5
peratus. Ini akan berlanjutan sekiranya nilai ringgit Malaysia terus
menyusut dan harga minyak sawit mentah terus jatuh.
Dari segi pelaburan ekuiti, menurut
Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA), Malaysia mencatatkan prestasi
pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014. Meskipun bursa saham
Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan
positif, bursa saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.
Selain daripada faktor-faktor yang
dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran keluar modal
asing daripada kedua-dua pasaran bon ringgit (45 peratus daripada
keseluruhan Sekuriti Kerajaan Malaysia [MGS] dan ekuiti).
Tarikan pasaran yang lemah serta
ketidaktentuan fiskal akan mendorong ringgit menyusut ke tahap terendah
dalam sejarah serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos
pembiayaan (nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus).
Apa harus dilakukan?
Pertama sekali, korupsi dan ketirisan
perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat membentangkan dalam
belanjawan bayangan Pakatan 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya
pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu
menjimatkan hampir RM20 bilion, bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran
KDNK.
Kedua, kita harus menghentikan budaya
pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang diselimuti melalui
proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap. Kerajaan
perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk bawah hamparan luar kunci
kira-kira.
Tiada sebarang alternatif kepada tata
kelola yang baik selain daripada maklumat yang benar dan telus berhubung
kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan dibebani
skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.
Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional
yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera
melibatkan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, para ekonomis,
pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.
Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah
ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk memantau harga
komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala
langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang
konsensus dicapai.
Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk
memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak
menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud keperluan
memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam
bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan
kemanusiaan untuk mangsa banjir.
Perlu diingatkan bahawa negara-negara
yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti Norway (yang
mempunyai tata kelola pengurusan dan pentadbiran yang baik) juga berada
dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang
berikutan harga minyak yang rendah.
Diakui bahawa pergerakan harga komoditi
antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Sungguhpun begitu,
kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan
kewangan negara.
Di sinilah kerajaan gagal dan terus
gagal meskipun Pakatan berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi
yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang
dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan
kerajaan untuk bertransformasi?
Pengajaran dari banjir
Inilah sikap yang sama yang
mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru ini. Banjir
merupakan satu fenomena saban tahun yang berlaku berabad lamanya, tetapi
tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh
pihak kerajaan.
Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai menghulur bantuan.
Melangkaui batas agama dan bangsa yang
berbeza, sokongan dan kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir
merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan
peri penting kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan
Pakatan dan NGO.
Zaman sukar menanti kita kesan daripada
perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan pertumbuhan ekonomi
yang turut menguncup. Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan jangan
menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.
Tatkala inflasi berterusan meningkat di
saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan berhadapan dengan
kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan terus
melebar.
Justeru, kami menggesa kerajaan agar
telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat menantikan pengumuman Selasa
ini dan menjangkakan usaha kerajaan Persekutuan yang serius lagi
bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.
DATUK SERI ANWAR IBRAHIM penasihat
Ekonomi Negeri Selangor. Tulisan ini daripada ucapan dasar di program
“Meet Anwar” di One World Hotel pada hari ini.
Sumber : Disini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan