![]() |
JALAN Thambypillai, Brickfields, Kuala Lumpur menterjemahkan betapa
negara ini mempunyai kemajmukan bangsa selain mengiktiraf hak kaum lain
selain orang Melayu. Ia turut menyingkap sejarah keterbukaan sistem Jus
Soli pada tahun 1945 di bawah Malayan Union.
Perlaksanaan pada tahun berikutnya telah membuka laluan masuk hampir
sejuta kaum asing terutama Cina dan India. Sistem yang diperkenalkan di
Jerman pada peringkat awalnya diaplikasikan di Tanah Melayu sebagai
syarat mendapatkan kemerdekaan yang termeterai pada Ogos 1957.
Itu adalah fakta sejarah yang menyumbang kepada kewujudan Jalan
Thambypillai. Namun, jalan yang terletak di tengah-tengah ibu kota dan
sekelilingnya dimonopoli hutan bata itu menyimpan kisah tersendiri
apabila ia menjadi pusat pelacuran tertua dan gejala sumbang.
Lorong yang berlangitkan nafsu dan berlopakan dosa itu tidak hanya
menjadi tumpuan satu kelompok usia sahaja, sebaliknya ia turut ditagih
oleh golongan remaja. Fenomena itu dilihat sebagai satu kudis yang kian
parah jika tidak dirawat.
Pelacur
Sekali imbas, memang agak sukar untuk mengesan sebarang aktiviti tidak
sihat di lorong hitam ini. Namun itu adalah fakta kedua Jalan
Thambypillai yang turut dihurung pelacur warga asing untuk mencari
rezeki.
Malam itu, kelihatan beberapa kumpulan remaja sedang asyik berbual
sambil ekor mata mereka memerhati pelacur-pelacur yang berlegar-legar di
kawasan itu. Asap rokok turut tidak lekang di mulut mereka sambil
merangkul erat tubuh rakan perempuan masing-masing. Penulis yang membuat
tinjauan di kawasan tersebut cuba mendekati seorang remaja lelaki
selepas mengetahui dia merupakan antara pengunjung bawah umur dan kerap
hadir di lorong itu. Pemuda berkulit cerah itu sedia menerima pelawaan
untuk minum bersama penulis.
Dia yang menyarung baju T berwarna hitam bercetak gambar kumpulan rock
legenda tempatan dan berseluar jean pendek rona biru membahasakan diri
sebagai Fitri. Fitri, 16, turut memperkenalkan seorang lagi rakan lelaki
yang juga teman sekelasnya.

RUMAH merah di Jalan Thambypillai menjadi sarang kepada remaja memuaskan nafsu mereka.
Menurut Fitri, dia sering berkunjung ke lorong itu jika rasa tertekan
ekoran terbeban dengan lambakan kerja rumah dan latih tubi yang
diberikan guru sekolah. Hatinya hanya tenang selepas menikmati gelagat
kupu-kupu malam beraksi berahi sambil mencari pelanggan.
“Saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti pelacuran ini selepas dibawa
oleh jiran sejak tiga tahun lalu. Ketika itu saya baru tingkatan satu
dan saya gemar bergaul dengan orang yang lebih dewasa.
“Mereka memang mahir dengan selok-belok aktiviti ini selain kerap
berkunjung di beberapa kawasan yang menawarkan aktiviti seks termasuk di
Jalan Chow Kit dan lorong-lorong sunyi di Bukit Bintang, Kuala
Lumpur,”jelasnya.
Menurut Fitri, pada umur yang masih muda, dia mula menjejakkan kaki ke
kelab malam dan merokok. Dia mengakui gaya hidup sebegitu memberi
ketenangan kepadanya. Ekoran gemar menghabiskan masa hingga lewat malam,
dia sering ponteng sekolah akibat terlewat bangun. Ketika remaja lain
sibuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah pada waktu
malam, lain pula ceritanya dengan Fitri. Sekitar pukul 9 malam, Fitri
dan rakannya sudah bersidai di Jalan Thambypillai sehingga awal pagi.
Ketika membuat tinjauan, mata penulis turut tertumpu pada satu pintu
masuk yang menggunakan daun harmonika, namun di dalamnya diterangi
pancaran cahaya berwarna merah. Bagi pengunjung tetap, ruang berkenaan
merupakan syurga dengan layanan kelas pertama pelacur warga asing.
Menyembunyikan
Bagi memastikan segala kegiatan mereka berjalan lancar, ada dua lelaki
yang ditugaskan berkawal di pintu masuk dan di dalam ruang itu.
Ruangan yang dipanggil ‘rumah merah’ itu turut memenuhi Jalan
Thambypillai sepanjang 300 meter itu. Perniagaan haram tersebut ibarat
mendapat permit sah selain menjadi lokasi tumpuan para remaja.
Fitri memberitahu, dia berjaya menyembunyikan kegiatan itu daripada
pengetahuan ibu bapanya dengan alasan ke pusat tuisyen selain mempunyai
perbincangan berkumpulan di rumah rakan.
“Mereka tidak banyak soal. Mereka juga jarang bertanya mahupun menghubungi saya jika pulang lewat ke rumah.
“Lagipun, saya bawa persalinan lain di dalam beg sandang. Selepas
bergembira di lorong itu, saya akan tukar semula baju di tandas di
stesen minyak berdekatan sebelum pulang ke rumah,” katanya yang berharap
tiga adiknya tidak mengikut jejak langkahnya itu.

FITRI banyak menghabiskan masanya ke kelab malam akibat terpengaruh dengan ajakan teman. – Gambar hiasan
Paling mengejutkan apabila dia mengaku turut terjebak dalam aktiviti
pelacuran itu dan melanggan seorang pelacur Indonesia pada harga
serendah RM10.
“Mungkin nasib menyebelahi saya pada hari tersebut apabila seorang pelacur Indonesia menawarkan RM10 bagi menikmati tubuhnya.
“Kebiasaan, khidmat pelacur ditawarkan pada harga RM30 dan kami mampu
membayarnya. Mereka tidak kisah dengan umur, janji ada pelanggan untuk
berseronok.
“Mereka gembira dapat duit, kami pula senang hati dapat puaskan nafsu.
Adakalanya disebabkan terlalu ketagihan, saya akan berjimat duit belanja
RM5 sehari yang diberikan ibu bapa saya demi melanggan ‘ayam’,” ujarnya
sambil memberitahu dia ketagihan seks selepas menonton video lucah
bersama rakan.
Jalan Thambypillai yang sugul pada waktu siang berubah wajah menjelang
malam. Perkhidmatan seks mendominasi perniagaan lain di lorong itu dan
turut berkembang dek menampung permintaan pelanggan.
Di lorong itu, kedengaran bapa ayam merayu-rayu pelanggan supaya
melanggan pelacur-pelacur di bawah seliaannya. Sementara itu, rakan
Fitri yang hanya ingin dikenali sebagai Nick, 16, berkata, kehadiran
mereka bukanlah sesuatu yang pelik. Bahkan, golongan dewasa menerima
kunjungan mereka sebagai ‘tetamu’ di lorong itu.
Ikat perut
“Apa nak hairan, mereka yang datang ke sini pun kerana dahagakan seks.
Golongan itu tidak akan memberi nasihat kerana mereka sendiri pun
terjebak dalam perbuatan haram ini.
“Ada juga warga emas yang sudah beruban datang menempah pelacur. Kalau
pelanggan yang kaya, mereka hanya singgah untuk mengambil seorang wanita
masuk ke dalam kereta dan terus beredar,” katanya menggambarkan khidmat
yang ditawarkan bak memesan makanan di restoran makanan segera secara
pandu lalu.
Nick memberitahu, dia turut mengikat perut untuk mengumpul duit bagi
melacur ‘ayam’. Malah dia sanggup berjudi di sebuah pusat perjudian yang
menjalankan operasi secara rahsia di sebalik sebuah kedai makan yang
terletak di jalan sama.

DENGAN bayaran serendah RM10, remaja boleh mendapatkan khidmat seks daripada pelacur warga asing.
Penulis turut menghampiri seorang bapa ayam yang mengusahakan perniagaan pelacuran melibatkan wanita warga asing.
Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Richard, 50, berkata, sejak setahun lalu, kawasan ini kerap dikunjungi remaja sekolah.
“Jumlah itu dilihat semakin bertambah ekoran tiada tindakan daripada
pihak berkuasa. Serbuan jarang dilakukan dan tahun ini hanya dua kali
kawasan ini digempur polis.
“Selalunya, mereka hanya membuat rondaan bagi mencegah jenayah ringan seperti meleraikan kes pergaduhan dan ragut,” katanya.
Richard memberitahu, kebanyakan pelanggan bawah umur itu ketagihan seks
angkara mereka sering mengakses laman web lucah dengan mudah. Malah ada
antara mereka yang menonton video porno ketika melacur ‘ayam’ bagi
mendapatkan kepuasan yang maksimum.
“Akibat ketagihan, akan timbul rasa ingin mencuba dan mempraktiskan aksi ditonton.
“Lama-kelamaan, ia menjadi kebiasaan dan mereka tidak kisah bercumbuan
secara terang-terangan,” kata lelaki setengah abad itu sambil
memberitahu penulis pelacur dari negara gajah putih baru saja tiba.-
Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan