Cerita Peribadi Siapa Lebih Sensasi?
Kalau
mereka kata mereka ada maklumat “juicy” (mengiurkan) mengenai Daim atau
mana-mana pengkritik bos mereka, mereka kena ingat mungkin orang ini
mempunyai maklumat yang lebih menyelerakan mengenai bos mereka.
Mungkin
diayah murahan mengenai para pengkritik Mohd Najib boleh merosakkan
imej mereka, tetapi mereka bukan PM dan mereka pun tidak berkedudukan
politik.
Tetapi cerita-cerita yang menyelerakan mengenai Mohd
Najib, kalau ada, boleh menjatuhkan beliau. Setidak-tidaknya pun beliau
tidak nyenyak tidur malam yang lebih teruk daripada gangguan bunyi
motosikal pelumba haram seperti yang isterinya, Rosmah Mansor, ceritakan
baru-baru ini.
Para pendiayah dan laskar siber wajib sedar,
iaitu ketika mereka masih merangkak dalam dunia maklumat dan propaganda,
para pengkritik Mohd Najib sudah pun makan sekarung garam dan kenal bos
mereka dari A ke Z.
Daripada cuba membunuh pembawa khabar (the
messengers) adalah lebih baik mereka tajamkan sedikit pemikiran dan
jawab kritikan terhadap bos mereka satu persatu.
Kalau mereka
kurang faham, biar saya beri sedikit “hint” dalam bentuk soalan,
khususnya berkaitan ekonomi sebab saya yakin ramai daripada mereka tidak
faham ekonomi. Antaranya:
1. Mengapakah PM tidak mengisytiharkan
darurat kerana banjir besar sedangkan kerajaan mengisytiharkan darurat
ketika berlaku wabak SARS pada tahun 2009 dan jerebu pada tahun 2013?
2.
Bagaimanakah PM, sebagai Menteri Kewangan, hendak melestarikan
(sustain) Belanjawan 2015 apabila harga minyak mentah sudah jatuh di
bawah paras AS$50 setong sedangkan anggaran belanjawan adalah antara
AS$100 hingga AS$105 setong?
3. Apakah laskar siber Mohd Najib
peduli membaca berita ekonomi untuk mengetahui bahawa harga minyak
mentah Brent yang digunakan sebagai penanda aras telah jatuh kepada
AS$48.90 setong Jumaat lepas dan harga di New York jatuh kepada AS$46.85
pada hari Rabu, iaitu paras paling rendah sejak April 2009?
4.
Bolehkah GST dan punca-punca lain pendapatan menampung kejatuhan hasil
akibat kemerosotan harga minyak mentah yang menyumbang hampir 40% kepada
perolehan kerajaan?
5. Apakah implikasi kejatuhan nilai ringgit
terhadap kos import, khususnya import bahan makanan seperti beras,
gandum, jagung, gula, kacang soya, susu dan daging yang bernilai lebih
RM35 bilion setahun?
6. Apakah potensi inflasi import (imported inflation) ke atas harga barang pengguna akibat kejatuhan nilai ringgit?
7. Sebanyak manakah kita dapat menambah eksport negara kerana nilai ringgit jatuh dan eksport kita menjadi lebih murah?
8.
Mengapakah prestasi pasaran saham kita buruk sehingga dikalahkan oleh
Filipina, Indonesia dan Thailand dan banyak lagi pasaran membangun?
9.
Tidak percaya tanyalah peneroka Felda atau sesiapa saja yang melabur
dalam saham Felda Global Ventures Berhad. Bukankah harga saham FGVB
telah merosot daripada harga IPO RM4.55 pada tahun 2012 kepada RM2.18
pada 9 Jan, kejatuhan lebih 50 peratus?
10.
Apakah sebabnya rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh daripada
RM441.9 bilion pada akhir 2013 kepada RM405.5 bilion – merosot RM36.4
bilion- dalam masa 12 bulan hingga akhir bulan lalu?
11. Adakah Bank Negara masuk ke pasaran bagi mempertahankan nilai ringgit dan rugi?
12.
Apakah akan terjadi kepada sistem perbankan negara dan penarafan
antarabangsa pasaran modal kita kalau 1MDB gagal memenuhi obligasi
hutangnya yang berjumlah RM42 bilion itu?
13. Apakah kesan kejatuhan nilai ringgit terhadap hutang 1MDB yang kebanyakannya dalam mata wang dolar Amerika?
14.
Apakah tepat laporan CIMB (yang dibina oleh adik PM sendiri) pada awal
bulan ini bahawa 1MDB “telah gagal” membayar balik pinjaman sebanyak RM2
bilion kepada Maybank yang sepatutnya dilakukan pada Disember lalu?
15. Apakah tepat unjuran CIMB bahawa Maybank terdedah kepada RM5.5 bilion hutang 1MDB?
16.
Apakah tepat unjuran jika Maybank (milik PNB) membuat peruntukan
(provision) hutang lapuk bagi tahun kewangan 2015 akibat pinjaman 1MDB
keuntungan bersihnya akan merosot 5.6 peratus?
17.
Adakah benar syarikat-syarikat yang menjual IPP hujung hayat kepada
1MDB belum mendapat bayaran sepenuhnya dan mempunyai opsyen membeli
balik IPP itu dengan harga potongan?
18. Dan satu soalan yang
mudah – mengapakah kerajaan tidak memberi penjelasan terperinci dan
terus terang mengenai apa sebenarnya terjadi kepada pesawat eksekutif
TUDM yang membawa PM ke Hawaii, tetapi tidak membawa beliau balik?
Para
pendiayah, laskar siber PM dan kaki ampu perlu faham dan ada keutamaan.
Yang hendak dipertahankan adalah PM – peribadi beliau, dasar beliau,
prestasi beliau dan kesesuaian beliau untuk terus memerintah.
Peribadi,
dasar, prestasi dan kesesuaian beliau untuk terus memerintah tidak akan
menjadi bertambah baik dengan membunuh pembawa khabar ngeri.
Atau
apakah pendiayah, laskar siber dan pengampu PM mempunyai agenda sendiri
yang mirip sokong bawa rebah dan gunting dalam lipatan?
Perdana
Menteri wajib berhati-hati terhadap musuh dalam selimut yang mendakap
dan menggosok belakang beliau, tetapi di tangan keris terhunus.
Wallahuaklam.
Sumber : Disini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan