SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Jumaat, 16 Januari 2015

Hilang punca rezeki sekelip mata

  Mesin pembakar tanah liat yang digunakan dalam pembuatan labu syaong rosak ditenggelami banjir.
 Mesin pembakar tanah liat yang digunakan dalam 
pembuatan labu syaong rosak ditenggelami banjir.
KUALA KANGSAR - Seorang pembuat labu sayong rugi kira-kira RM80,000 apabila semua acuan rosak setelah bengkel diusahakannya di Kampung Jias, di sini, ditenggelami air dalam kejadian banjir, baru-baru ini.

Nawawi Habil, 48, berkata, beberapa mesin juga dikhuatiri rosak setelah terendam dalam air selama 12 hari.

Menurutnya, berikutan bencana itu, dia hilang punca pencarian dan bingung memikirkan masa depan memandangkan tiada pekerjaan lain.

"Saya ada terima tempahan untuk Januari dan Mac ini dengan nilai mencecah RM1,800 tapi semuanya cair dalam banjir kerana belum sempat dibakar.

"Semuanya terlalu pantas dan saya tak sangka banjir menenggelamkan keseluruhan bengkel sebab bencana seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Nampak gaya, tempahan untuk hari mendatang pun terpaksa ditolak sebab kelengkapan untuk buat labu tiada," katanya.

Nawawi berkata, kejadian banjir kali ini juga menyebabkan mesin membakar tanah dan beberapa mesin lain di bengkel yang diusahakan sejak 2005 lalu rosak.

"Selepas air surut, saya masuk bengkel dan lihat banyak barang dipenuhi lumpur. Acuan yang dibuat daripada plaster kebanyakannya rosak dan labu juga ada yang pecah.

“Kini, saya menunggu semua barang tersebut kering dan saya akan cuba menghidupkan mesin yang ditenggelamkan air. Harap-harap, ia boleh digunakan semula,” katanya.

Dalam pada itu, Nawawi mengharapkan pihak berkaitan dapat membantu, terutama modal untuk memulakan semula perusahaannya.

“Cukuplah kalau saya dapat dapur untuk bakar tanah, mesin untuk bentuk labu dan acuan. Bila ada semua ini, saya boleh mulakan kerja.

“Barang lain biarlah saya usaha sendiri bila ada rezeki lebih nanti. Bagaimanapun, saya reda dengan bencana ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa agensi dan NGO pernah datang ke bengkelnya berikutan banjir berkenaan.

"Saya harap ada impak positif daripada kunjungan itu. Agak sukar untuk mulakan perniagaan selepas banyak mesin dan barang yang musnah.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya perlu teruskan hidup dan akan berusaha untuk meneruskan kembali perusahaan ini,” katanya.
 
 Sumber : Disini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan