Kejatuhan harga minyak mentah yang mendadak di pasaran dunia
mendorong kepada kejatuhan harga petrol dan diesel di Malaysia. Walaupun
harga petrol dan diesel mula jatuh, rakyat masih menunggu agar perkara
yang sama berlaku dengan harga barang dan perkhidmatan yang lain.
KEADILAN sebelum ini menumpukan kepada mekanisme penetapan harga
petrol dan diesel untuk memastikan rakyat tidak terus membayar cukai
tersembunyi yang dikenakan Barisan Nasional sejak November 2014 lagi.
Harga petrol dan diesel yang diturunkan hanya sebulan sekali menyebabkan
rakyat terus membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi
berbanding harga pasaran.
Pada ketika ini, dianggarkan rakyat membayar harga petrol dan diesel
secara purata 30 sen lebih mahal dari harga pasaran sebenar. Bagi
keluarga yang menggunakan secara purata 200 liter petrol atau diesel
sebulan, ini bermakna mereka dicukai sebanyak RM60 sebulan. Jumlah ini
besar dan sekiranya KEADILAN berjaya mendesak Kerajaan Persekutuan
menukar mekanisme agar harga petrol dan diesel diturunkan setiap minggu,
rakyat Malaysia mempunyai lebihan wang sebanyak RM60 sebulan untuk
dibelanjakan.
KEADILAN kini beralih tumpuan kepada usaha untuk memfokuskan
perhatian rakyat kepada isu-isu berkaitan harga barang. Ini termasuk
mendedahkan pelbagai perjanjian dan struktur kos yang menyebabkan
kenaikan harga, tekanan kepada monopoli perniagaan yang mengherot harga
serta desakan agar Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa yang ada
padanya untuk menurunkan harga barang.
Kempen ini akan dikendalikan secara bersepadu dengan turut disertai
oleh ahli-ahli Parlimen yang lain. Saya sendiri akan menumpukan kepada
isu-isu dasar dan kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutua yang boleh
digunakan untuk menurunkan harga barang.
Saudara Manivanan Gowin, Ahli Parlimen Kapar dan Pengerusi Biro
Kepenggunaan akan mengetuai kempen menyemak harga dan memberi tekanan
kepada Kerajaan Persekutuan dan peniaga dalam sektor barangan runcit
seperti makanan, restoran dan lain-lain.
Saudara Wong Chen, Ahli Parlimen Kelana Jaya dan Pengerusi Biro
Perdagangan dan Industri akan mengetuai kempen menyemak tarif
telekomunikasi dan Astro agar bayaran yang dikenakan oleh
syarikat-syarikat telekomunikasi (talian telefon, internet dan
lain-lain) dan Astro berpatutan dengan mutu perkhidmatan yang setimpal.
KEADILAN berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan sekarang
adalah tidak memadai dan melepaskan tanggungjawab dengan menyalahkan
peniaga-peniaga yang kononnya tidak mahu menurunkan harga barang. Lebih
teruk lagi, menteri-menteri terbabit membiarkan sahaja aktivis Umno
menyebarkan dakyah kononnya harga barang tidak diturunkan kerana
ketamakan golongan peniaga Cina.
KEADILAN akan menentang sikap perkauman dan tidak bertanggungjawab
Umno dan menteri-menteri dalam isu harga barang ini sedangkan kuasa dan
cengkaman Umno/Barisan Nasional dalam kerajaan dan perniagaan sebenarnya
boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.Isu-isu ini akan terus dibawa dalam sidang media yang akan datang.
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agung
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden/Setiausaha Agung
Ahli Parlimen Pandan
MANIVANAN GOWIN
Pengerusi, Biro Kepenggunaan
Ahli Parlimen KaparWONG CHEN Pengerusi, Biro Perdagangan dan Industri Ahli Parlimen Kelana Jaya
13 Januari 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan