[The Malaysian Insider] Terkejut dengan pendedahan Putrajaya yang RM800
juta setakat ini dibelanjakan bagi membantu mangsa banjir, Ketua
Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa perkara tersebut diaudit secara
terperinci.
Selain mengelakkan keraguan, katanya, rakyat Kelantan berhak mengetahui
ke mana peruntukan bantuan tersebut disalurkan memandangkan negeri itu
yang paling teruk terjejas akibat banjir.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa, hasil turun
padang dilakukannya di negeri tersebut, beliau mendapati ia tidak
mencerminkan menerima peruntukan besar sepertimana dilaporkan.
"Memandangkan Kelantan negeri yang paling teruk terjejas, sepatutnya
sebahagian besar daripada perbelanjaan tersebut, katalah sekitar RM500
hingga RM600 juta, dibelanjakan untuk negeri Kelantan," katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Semalam Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata
hampir RM800 juta dibelanjakan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan
Negara (MKN) bagi membantu mangsa banjir di negeri yang terbabit musibah
itu baru-baru ini.
Peruntukan berkenaan membabitkan pembekalan makanan, operasi logistik dan pembersihan rumah mangsa.
"Saya melawat Kota Baru sebanyak tiga kali, ke Kuala Krai dua kali,
malah pergi ke kawasan 'ground zero' di Manek Urai dan juga Gua Musang.
"Saya langsung tidak merasakan sejumlah RM500 ke RM600 juta dibelanjakan di Kelantan untuk membantu mangsa banjir," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahmad mendedahkan jumlah RM800 juta yang
dibelanjakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak secara
terperinci.
"Kita tidak boleh terlalu berjimat dalam usaha membantu mangsa banjir, namun kita juga tidak boleh membazir walau satu sen pun.
"Semua perbelanjaan kerajaan dalam menangani bencana banjir ini mestilah
memberi manfaat langsung kepada mangsa dan bukannya usahawan, kroni dan
pihak yang cuba membuat untung daripada bencana ini," katanya.
Beliau juga meminta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua murid yang
terjejas akibat banjir akan dibekalkan dengan dua set pakaian seragam
sekolah, buku teks, buku latihan dan semua keperluan persekolahan yang
lain.
"Ia akan menjadi bukti perbelanjaan yang begitu besar benar-benar memberi manfaat kepada mangsa banjir.
"Bukannya satu angka fantasi RM800 juta yang dikatakan akan dibelanjakan
untuk mangsa banjir, tetapi mereka tidak mendapat manfaat secara
terus," katanya.
Selain itu, beliau berkata tidak bersetuju dengan peraturan mewajibkan
pelajar memakai seragam sekolah bulan pertama persekolahan bagi kawasan
yang terjejas banjir.
Katanya, pemakaian seragam hanya boleh dilaksanakan sehinggalah setiap pelajar dibekalkan dua set pakaian seragam percuma.
Mengulas hasratnya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak mengenai pelan tindakan lima perkara mengatasi bencana
banjir, beliau mengakui memahami situasi Najib yang kini dijangkiti
E-Coli.
Maka, beliau tidak mendesak agar pertemuan itu dapat dilaksanakan
sebelum hari ini, iaitu hari mesyuarat Kabinet mingguan diadakan.
"Saya harap beliau cepat sembuh supaya dapat mempengerusikan mesyuarat
Kabinet bagi memastikan menteri dapat membuat keputusan secara kolektif
terhadap pelan tindakan lima perkara yang dicadangkan," katanya.
Susulan laporan peruntukan RM800 juta untuk bencana banjir oleh
kerajaan, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Malaysia (PAC)
Datuk Nur Jazlan Mohamed akan memanggil MKN bagi memperincikan jumlah
tersebut.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Jazlan berkata jumlah itu besar dan memerlukan ketelusan dalam cara menguruskannnya.
"Isunya sekarang ialah mengenai bajet tambahan ini. Banyak pihak akan
mempersoalkan mengapa kerajaan tidak boleh buat bajet yang tepat.
"PAC cuma panggil bagi mengetahui sama ada bajet tambahan ini betul-betul berhemah dan telus," katanya. – 7 Januari, 2015.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan