PERMATANG PAUH 20 APRIL: Kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti.
Ia berikutan pendaftaran calon bebas di dua kerusi itu, selain Pakatan Rakyat dan BN.
Pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 11.30 pagi tadi.
Di Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan Dr Mazlan Ismail (BN) dan Dr Abdullah Zawawi Shamsuddin (Bebas) dikatakan sebagai ganti Papagomo yang tidak hadir.
Calon KEADILAN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin ditandingi Mohd Nasir Abdullah (BN) dan Shamsuj Tabrij Ismail Merican (Bebas).
Bagi DUN Penanti, Calon KEADILAN, Dr Nurlela Ariffin bertemu Ibrahim Ahmad (BN) manakala di DUN Permatang Pasir, Salleh Man melawan Anwar Faisal Yahya (BN).
Ketika ditanya wartawan, Anwar berkata, pertembungan tiga penjuru tidak akan membawa banyak perbezaan di Parlimen Permatang Pauh.
"Tidak bawa banyak beza. Kita perlu teruskan langkah kita.
"Saya serahkan kepada kebijaksanaan rakyat Permatang Pauh yang sentiasa menyokong (untuk buat pilihan)," katanya selepas pencalonan.
Beliau juga melihat keadaan akan menjadi semakin mencabar sepanjang tempoh kempen, namun menyeru pendokong Pakatan bersabar.
"Ia akan jadi lebih kasar. Saya seru penyokong untuk bertenang, dan fokus kepada agenda dan manifesto, (serta) apa yang kita boleh berikan kepada rakyat," kata Anwar.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan