SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Jumaat, 3 Mei 2013

Kekalkah Dakwat Kekal ?


Pada 30/4/2013 suatu sejarah baru telah tercipta di dalam negara Malaysia. Itulah julung kalinya, dakwat kekal digunakan dalam suatu pengundian pilihan raya.
Perkara 19(4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 {“PPP”] menyatakan, “…ketua tempat mengundi atau mana-mana orang yang bertindak di bawah kuasanya hendaklah membuat suatu tanda pada jari telunjuk kiri pengundi itu dengan menggunakan dakwat kekal …”
Tan Sri Aziz selaku Pengerusi SPR banyak kali memberikan jaminan bahawa dakwat ini akan tahan lama sehingga 7 hari, iaitu sehingga 5 Mei 2013. Tujuan dakwat kekal ini digunakan adalah untuk mengelakkan kebarangkalian orang boleh mengundi 2 kali.
Ini kerana sudah menjadi rahsia yang diketahui ramai, berlaku banyak pertindihan nama dalam daftar pemilih dan berlaku penyamaran yang mana ada pihak yang keluar mengundi bagi pihak orang lain.
Namun, harapan umum untuk melihat ketelusan SPR dalam penggunaan dakwat kekal ini akhirnya pecah bersepai. Menurut laporan yang diberikan oleh saksi yang berwibawa, dakwat kekal ini hanya tahan 30 minit sahaja dan sangat mudah ditanggalkan.
Laporan daripada petugas di Shah Alam menyatakan dakwat itu boleh tanggal hanya dengan digosok dengan tisu. Ada yang memberitahu, dengan tiga kali basuhan semua dakwat kekal itu hilang sepenuhnya.
Setelah itu, seorang suri rumah yang menjadi isteri kepada seorang pegawai polis telah membuat laporan polis berkaitan dakwat yang tidak kekal ini.
Di Pulau Pinang, seorang mejar askar juga turut membuat laporan polis yang sama. Nurul Izzah dan Tian Chua juga telah membuat laporan polis yang sama.
Dalam respon awal pada waktu tengahari, Pengerusi SPR telah menafikan perkara ini dan tetap menyatakan bahawa dakwat tersebut adalah kekal.
Setelah tersebar meluas di facebook gambar dan video klip yang menunjukkan dakwat itu tidak kekal, maka petangnya SPR mengakui perkara itu berlaku tetapi tidak meluas.
Kemudian, diberikan pula alasan, dakwat itu hilang tetapi tidak hilang sepenuhnya. Setelah itu, dibuat pula alasan, dakwat itu masih boleh dilihat dengan kanta pembesar.
Terakhir sekali, Setiausaha SPR pula menyalahkan kerani SPR kerana gagal menggoncang botol dakwat menyebabkan ianya tidak sebati dan tidak kekal. Dinyatakan pula, botol itu kena digoncang setiap 2 jam.
SPR boleh memberikan pelbagai alasan tetapi janganlah alasan itu sangat ‘membongsaikan’ akal dan intelek pengundi. Projek pembodohan rakyat oleh SPR ini nyata menaikkan amarah pengundi.
Alasan demi alasan diberikan SPR tetapi pengundi semakin nampak SPR telah memberikan jawapan yang tidak konsisten.
Kemungkinan juga SPR telah ditipu dan disabotaj oleh pembekal dakwat. Siapa sebenarnya pembekal dakwat? Berapa untung projek membekal dakwat ini? Siapakah kroni yang mendapat untung?
Sebelum berlaku peristiwa yang memalukan ini, sudah ada desakan supaya SPR membuat demonstrasi calit dakwat ini tetapi SPR dengan angkuh menyatakan hanya 3 orang sahaja yang tahu warna dakwat tersebut.
Sebenarnya, inilah kesilapan terbesar SPR dan pasukan guaman yang mendrafkan peraturan ini. Per. 19(4) PPP ini langsung tidak memperincikan takrifan ‘kekal’ dan tiada pula digazetkan spesifikasi dakwat kekal ini.
Sepatutnya spesikasi dakwat kekal ini digazetkan jika benar SPR jujur dan telus. Kita semua tertanya-tanya, berapa lamakah dakwat kekal ini boleh tahan. Apakah kandungan di dalamnya.

SPR mendakwa ianya terdiri daripada silver nitrate yang akan meresap ke dalam kuku dan kulit tetapi nyata ianya omongan kosong Pengerusi dan Setiausaha SPR. Para pengundi masih ingat janji yang tidak ditepati Pengerusi SPR sebelum ini, Tan Sri Abdul Rashid Abd Rahman sewaktu pilihan raya 2008 bila mana beliau mengatakan dakwat telah dibeli tetapi di saat akhir telah membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal tersebut.
Daripada rentetan kronologi peristiwa yang berlaku, dapat disimpulkan bahawa SPR tidak serius dalam isu penggunaan dakwat kekal ini.
Peguam Negara gagal menasihati SPR dalam mendrafkan peraturan yang telus dan berkesan. SPR sendiri gagal melatih kakitangan dan kerani mereka untuk membuat goncangan ‘ala gangnam’ ke atas botol dakwat dan yang penting sekali, pengundi sudah sedar warna sebenar SPR ini.
Integriti SPR sudah hilang sepenuhnya dan pengundi nampaknya tidak lagi boleh berharap kepada ketelusan SPR kerana SPR sudah jadi bahan lelucon untuk PRU 13 ini.
Justeru, para pengundi sekalian, ini kali lah!!! Ubah untuk harapan masa hadapan.
*Penulis adalah seorang peguam yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang undang-undang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan