SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Khamis, 20 Februari 2014

Muflis: K'jaan Digesa Buat Polisi Baru, Tingkat Pendapatan Rakyat


KUALA LUMPUR: Melihat kepada angka muflis yang semakin meningkat dan membimbangkan, kerajaan digesa mengambil satu langkah jangka panjang bagi mengatasi perkara tersebut dengan merangka satu polisi baru.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membentangkan Akta Pendapatan Adil dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat, sekaligus mengelak bertambahnya bilangan muflis di negara ini.

Tegas beliau, dengan meningkatnya pendapatan rakyat, kerajaan akan mendapat lebih banyak sumbangan ekonomi daripada rakyat ekoran kuasa membeli rakyat yang turut meningkat.

"Kita perlu sedar, keadaan muflis ini berlaku kerana rakyat sudah tidak mampu membayar segala kenaikan yang berlaku sejak kebelakangan ini. Ditambah pula dengan keadaan negara yang mengalami inflasi yang kini semakin meningkat 3.2 peratus," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dzulkefly berkata risiko meningkatnya situasi muflis ini apabila kadar pinjaman semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka turut naik, sekaligus meningkatkan ansuran bulanan kereta, rumah dan pinjaman peribadi.

Katanya tindakan itu kan menyebabkan semua institusi perbankan negara turut menaikkan kadar pinjaman purata mereka dalam semua bentuk pinjaman dan bakal 'melahirkan' lebih ramai rakyat muflis di negara ini.

Jelas beliau, kenaikan OPR tersebut pasti berlaku memandangkan ketika ini negara sedang mengalami inflasi sebanyak 3.2 peratus.

Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengingatkan rakyat untuk berbelanja secara berhemah bagi memastikan diri mereka tidak terbeban dan menjadi muflis.

"Rakyat perlu berbelanja secara berhemah.  Bukan berjimat-cermat. Jimat-cermat ini bukan caranya. Kalau berjimat hingga bawa bekal ke pejabat, apa jadi pula dengan peniaga nasi lemak di tepi-tepi jalan? Kita kena ingat, ekonomi ini satu sistem yang bergantung antara satu sama lain.

"Justeru, yang saya ingatkan adalah berbelanja secara berhemah iaitu memikirkan keperluan berbanding kehendak. Kalau pinjaman perumahan, kereta memang sudah menjadi keperluan. Tapi kad kredit mungkin boleh dielakkan," tegas Dr. Dzulkefly.

Namun, dalam masa sama, kerajaan diingatkan untuk menunjukkan contoh yang baik dengan berbelanja secara berhemah bersama-sama rakyat.

"Janganlah kerajaan sibuk menyarankan rakyat untuk berjimat-cermat, berbelanja dengan berhemah tapi dalam masa sama mereka bermewah-mewah dan melakukan pembaziran," tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan