
Politik bipartisan memberi kesan positif persekitaran siasah di negara ini.
Selain membentuk suasana yang lebih sihat, ia akan memantapkan persefahaman antara parti politik, khususnya antara parti kerajaan dan pembangkang.
Mengulas isu berkenaan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad berpandangan pendekatan berkenaan akan menjamin kestabilan negara kerana semua pihak saling bantu membantu dalam sebarang isu atau masalah yang dibangkitkan.
Beliau yakin pendekatan itu mampu merapatkan jurang perbezaan pandangan, bahkan semua pihak terbabit dapat memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar dan program yang dilakukan kerajaan.
“Ia juga mampu mengelakkan suasana tegang kerana ada ketikanya kedua pihak BN-PR wujud gencatan atau ‘ceasefire’ sebab menangani isu bersama secara bipartisan,” katanya kepada The Rakyat Post.
Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini di mana kuasa rakyat yang dilestari melalui parti politik boleh mewujudkan persekitaran politik yang sihat.
Saifuddin yang dipetik portal Astro Awani berkata, suara rakyat mampu menjadi kuasa pendesak untuk BN dan PR duduk semeja membincangkan kerjasama politik.
Malah, katanya, sekiranya rakyat berterusan meminta agar rekonsilasi nasional diadakan, ia akan berlaku.
“Kalau rakyat berterusan meminta, ada masanya ahli politik perlu mendengar dan ia akhirnya akan menjadi kenyataan.”
“Kajian beberapa pihak seperti Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan Merdeka Center menunjukkan rakyat mahukan perbincangan politik BN dan Pakatan berlaku.”
Pendekatan bipartisan itu turut disokong penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang menyifat kan gabungan ini harus dipertingkat kan dengan nilai-nilai penyatuan bagi melahirkan politik yang lebih matang.
Katanya kaedah itu perlu bagi memberi jaminan kepada masyarakat untuk menyelesai kan sebarang masalah secara kolektif.
“Kita tidak boleh berkompromi dan melangkaui politik dalam isu negara bangsa dan kenegaraan. Kita mesti bersatu walaupun mempunyai perbezaan ideologi dalam politik,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Namun, katanya, kuasa rakyat yang harus menentukan keperluan pendekatan itu sama ada perlu atau tidak.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan