[Berita Harian] PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati
ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah
membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum,
Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri
Ahmad Maarop.
Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa
kedua- dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Suriyadi berkata, notis alibi yang dikemukakan kepada pendakwaan tidak disokong oleh bukti kukuh oleh kedua responden.
Katanya, mahkamah mendapati kedua responden ada niat bersama untuk
melakukan pembunuhan itu yang disokong dengan bukti barangan peribadi
milik si mati yang dijumpai bersama responden kedua (Sirul Azhar).
Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas beliau gagal hadir untuk menerima penghakiman.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun
Hamzah, peguam bela, Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad mewakili
Azilah selaku responden pertama manakala Kamarul Hisham Kamaruddin
bertindak bagi pihak respoden kedua iaitu Sirul Azhar.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke
atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan
pembunuhan itu.
Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja,
Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20
Oktober 2006. -13/1/15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan