KUALA LUMPUR, 10 Feb — Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan Barisan Nasional (BN) diberikan mandat dua pertiga majoriti Parlimen bagi menarik kerakyatan rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, kata peguam. Pakar-pakar perundangan yang dihubungi The Malaysian Insider turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa kerakyatan adalah perkara pokok bagi hak asasi manusia buat rakyat negara ini.
Jelas mereka, hak itu tidak seharusnya ditarik demi menjaga Perlembagaan Persekutuan.
"Cadangan Dr Mahathir itu akan meruntuhkan semangat dan struktur Perlembagaan," kata Pakar Perlembagaan Syahredzan Johan kepada The Malaysian Insider.
Jelas Syahredzan, terdapat beberapa peruntukan dalam dokumen yang membentuk "struktur utama" Perlembagaan yang tidak boleh dipinda, dan jika dipinda, pindaan itu sendiri melanggar semangat Perlembagaan.
"Apa peruntukan itu, tidak dijelaskan. Namun secara amnya, peruntukan itu memberikan hak kepada individu untuk kerakyatannya tidak ditarik," kata peguam itu, dan menambah kerakyatan itu adalah salah satu daripada hak tersebut.Walaupun ianya boleh dipinda, Syahredzan menegaskan struktur Perlembagaan telah menetapkan untuk memastikan ianya tidak diganggu.
Meminda Perkara Tiga Perlembagaan berkenaan kerakyatan memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-raja, tegas Syahredzan."Jika ia dipinda, ia akan dicabar di mahkamah," tambahnya.Sementara itu, N. Surendran bersetuju dengan Syahredzan, sekaligus turut melabel cadangan tersebut sebagai "tidak masuk akal" yang akan memberikan kesan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat, tetapi juga rakyat Malaysia.
"Kerakyatan adalah perkara utama dalam hak asasi manusia di Malaysia. Cadangan Dr Mahathir akan memudahkan untuk menarik kerakyatan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PKR itu lagi.
Peguam Mohamed Hanipa Maidin pula menambah telah ada peruntukan dalam Perlembagaan berhubung kerakyatan Malaysia."Untuk menarik kerakyatan bukan perkara mudah ... Saya tidak pasti peruntukan mana yang dimaksudkannya (Dr Mahathir)," kata Hanipa.
Syahredzan bagaimanapun menjelaskan Peruntukan Artikel 24 hanya merujuk kepada mereka yang memperoleh kerakyatan, dan Artikel 25, ianya merujuk kepada rakyat yang "tidak setia" melalui naturalisasi.Peguam itu berkata adalah hipoktitikal untuk menghalang rakyat daripada mempersoalkan Perkara 153 berkenaan hak Melayu dan Bumiputera, dan mencadangkan penarikan kerakyatan."Kamu tidak boleh memilih apa yang disukai kerana politik," tegasnya.
Semalam dalam program yang dianjurkan Human Development Club di Bandar Tun Razak, seorang pengunjung bertanya kepada Dr Mahathir apa tindakan yang boleh diambil terhadap peguam seperti Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Dr Mahathir, berkata kerakyatan hanya boleh ditarik apabila Perlembagaan dipinda. Menjelaskan perkara itu, majoriti dua pertiga Parlimen diperlukan untuk meminda Perlembagaan."Jadi saya harap kemenangan akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN)," tambahnya.Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerajaan boleh menarik kerakyatan mereka yang menerima kerakyatan negara lain, atau mengamalkan hak eksklusif rakyat negara lain.
Perkara 25 pula menetapkan kerajaan hanya boleh melucutkan kewarganegaraan sesiapa yang menjadi warganegara melalui pendaftaran atau penaturalisasian jika berpuas hati bahawa orang itu telah menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan.
The Malaysian Insider.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan