AMPANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak mempunyai asas dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.
Katanya, bukannya kerajaan negeri mahupun Gabungan Menuntut Royalti Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) yang tidak mempunyai asas dalam isu itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Mustapa yang menyatakan tuntutan royalti perlu ada asas yang disiarkan sebuah akhbar tempatan.
Ahli Parlimen Marang itu menyatakan, Pakatan Rakyat sentiasa konsisten dalam soal royalti petroleum sebanyak 20 peratus seperti mana yang telah dipersetujui dalam Buku Jingga.
"Kita mempunyai asas dalam soal tuntutan royalti di Kelantan, bagi saya Mustapa sendiri yang tidak mempunyai asas.
"Apa yang pasti soal pemberian royalti, kita dari PAS sentiasa konsisten dengan apa yang telah dipersetujui bersama Pakatan Rakyat dan terkandung dalam Buku Jingga iaitu sebanyak 20 peratus yang melibatkan Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak termasuk juga mana-mana negeri yang mempunyai minyak," jelas beliau pada satu majlis di sini semalam.
Mustapa selaku Pengerusi BN Kelantan dalam satu kenyataan sebelum ini telah mempersoalkan bayaran tuntutan royalti minyak dan gas di Kelantan perlu mengemukakan asas yang kukuh untuk memastikan tuntutan mereka dipenuhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan