Tun Daim Zainuddin adalah antara segelintir pemimpin veteran Umno yang masih yakin kepada Perdana Menteri dan menyokong supaya Najib diberikan mandat untuk terus menerajui negara dengan dasar-dasar transformasi.
Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Pesekutuan Ahmad Zamri Khuzaimi mempersoalkan, bagaimana Tun Daim boleh mengangkat Najib sedangkan Transformasi gagal memerangi rasuah, khususnya terhadap pemimpin-pemimpin negara serta skandal-skandal lain yang memalukan negara.
Menurutnya, tidakkah Tun Daim mendengar tentang berita tentang Kapal Selam Scorpene, model Altantuya yang mati dengan misteri, kisah lembu RM250 juta dan banyak lagi yang tidak dapat diselesaikan pada zaman Najib.
"Disebalik kejayaan yang diangkat melangit Daim Zainuddin terhadap kepemimpinan Najib, sebenarnya Transformasi Najib gagal, dan antara kegagalan beliau yang paling ketara adalah memerangi rasuah, khususnya terhadap pemimpin-pemimpin negara serta skandal-skandal lain yang memalukan negara.
"Belum pernah terjadi seorang Perdana Menteri dikaitkan dengan skandal besar seperti skandal komisen kapal selam Scorpene bernilai RM 500 juta yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis. Belum pernah juga terjadi para pembantu dan pengawal peribadi PM disabitkan dengan hukuman bunuh model Mongolia, Altantuya Shaaribu sehingga dihukum mati,"ujar Ahmad Zamri dalam kenyataan yang dihantar kepada pihak media.
Beliau berkata dalam era Najib juga berlaku skandal rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo, dakwaan rasuah sebanyak RM40 juta Umno Sabah melibatkan Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman dan skandal 'mega' yang sedang meletup melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dan keluarganya yang didakwa terlibat menyelewengkan hasil negeri.
Katanya, memang lumrah tindakan Daim sebagai pemimpin Umno, 'masuk bakul angkat sendiri' mengangkat pemimpin sendiri dengan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat dan sebaliknya sekiranya Daim memuji Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat dengan menghentam Datuk Seri Najib, maka ia adalah suatu berita menggemparkan yang tidak akan dimuatkan dalam ruangan media utama negara.
Beliau yakin, rakyat sudah cukup matang, bijak dan tahu siapakah pemimpin yang layak diberikan mandat atau ditolak dalam PRU ke 13.
"PM sudah diberi tempoh empat tahun untuk melaksanakan segala janji dan pembaharuan. Tempoh empat tahun sejak 2009 sehingga 2013 sudah cukup untuk melihat segala hasil tangan beliau. Hendak uji apa lagi?,"tambahnya-BO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan