Ketua menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng menolak tanggapan bahawa Pakatan Rakyat tidak berjaya memperluaskan pengaruh di kalangan pengundi Melayu di negeri tersebut dalam pilihan raya sebelum ini.
"Kami masih belum menjalankan analisis lengkap namun mendapati majoriti di kebanyakan kerusi kami menigngkat. Ada pertambahan undi Melayu, contohnya di Sungai Pinang kami menang dengan 4,000 lebih dan itu dua kali ganda majoriti kami.
“Itu hanya boleh dicapai dengan mengekalkan undi Melayu atau pertambahannya sedikit. Saya rasa ia meluas di kesemua kerusi. Dan kami menang kerusi Melayu di Seberang Jaya, di Permatang Pauh,” katanya.
Tambahnya, kejayaan Pakatan Rakyat mengekalkan peguasaan di negeri tersebut menunjukkan bahawa rakyat negeri itu menolak “politik wang, keganasan dan gengsterisme”.
Bercakap dalam sidang medianya malam ini, beliau juga berterima kasih dengan PAS dan PKR dan berkata pertandingan kali ini juga amat sengit, terutama di kerusi DUN Air Putih yang ditandinginya.
Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR awal pagi ini menyatakan DAP menang 16 kerusi, BN dan PKR masing-masing sembilan kerusi, serta PAS satu kerusi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan